Wednesday, October 31, 2012

Sajak - Aida Dalam Kenangan

Hati saya terpanggil untuk menulis sebuah sajak khas untuk wanita istimewa ini setelah mendapat jemputan dari KanWork untuk menghadiri Majlis Tahlil arwah Aida yang asalnya pada 3 November tetapi kemudiannya ditunda ke 10 November 2012.
                               

  
AIDA DALAM KENANGAN (Duduk depan bertudung hijau)

Aida
Kau sangat istimewa kerana ketabahan dan ketaqwaan mu,
Kau sentiasa pasrah,
Sebelas tahun, ya, sebelas tahun kau berjuang mengharungi dunia kanser,
Kau lalui liku-liku kehidupan dengan gagah, sabar dan tenang,
Kau tidak pernah mengeluh walaupun berat tanggungan mu,

Aida
Anda Istimewa Dan Amat Disanjungi kerana:
Kau seorang perwira KanWork,
Bekerja tanpa mengenal penat lelah,
Membantu tanpa mengharapkan balasan,
Tanganmu sentiasa terbuka untuk memberi dari menerima,
Kau ibarat sebatang lilin yang menerangi dunia kami,

Aida
Keayuan mu dan kelembutan suara mu pengubat dukalara,
Senyuman mu penawar mimpi ngeri,
Kata-kata mu sebagai penenang jiwa,
Keikhlasan mu sebagai penambat hati,
Kau wanita hebat yang sukar dicari ganti,
Kau hanya SATU bukan seribu,

Aida
Kini perjalanan mu telah sampai ke destinasi,
Perjuangan mu telah tiba ke garis penamat,
Penderitaan mu telah dinoktahkan,
Kau telah berjaya mengharungi dugaan dari Yang Maha Esa,

Aida
Pemergian mu di tangisi dan dirindui,
Kami kehilangan seorang sahabat sejati,
Tapi,
Kami redha atas kehendak Illahi,
Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh mu AIDA yang dikasihi.
AMEEN

Nukilan:
Rakan Seperjuangan mu Kak Rokiah












3K - Kembara Kesedaran Kanser Bermula Di sini

Petugas Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah (KanWork) memaklum dan melamar saya  melalui email dan sms untuk turut serta dalam program 3K iaitu Kembara Kesedaran Kanser yang akan diadakan pada 13 hingga 14 Oktober2012 di Tanjung Karang, Selangor. Pada mulanya saya keberatan untuk turut serta kerana ada urusan peribadi yang perlu ditangani.

Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Maha Mengetahui kerana dengan izinnyalah juga urusan peribadi saya dipermudahkan sehingga saya dapat mengikuti program ini. Saya menghubungi KanWork menyatakan setuju untuk menyertai program ini dan mohon dimaklumkan tentang tugas saya di Tanjung Karang (TK). Tanpa berlengah, saya menghubungi Pn. Umie untuk tumpang kenderaan ke TK.

Pada pagi 13 Okt. kami berlima menaiki kenderaan yang dipandu oleh Lucy ke TK. Kami sesat dan dalam hujan lebat akhirnya kami sampai ke dewan berkenaan. Hidangan minum pagi telah disediakan dan kami dijemput untuk menikmatinya. Selepas menjamu selera, kami mula set up bahan-bahan pameran untuk tontonan dan tatapan para pengunjung.

Tepat jam 10 pagi pameran dibuka untuk orang ramai dan dalam keadaan hujan lebat masih ramai orang kampung berbilang bangsa yang datang ke pameran kami. Berbagai soalan berkenaan kanser dilontarkan kepada kami dan boleh dikatakan beberap orang daripada pengunjung adalah bekas pesakit kanser atau mempunyai saudara mara yang mengidap sakit kanser.

Sesungguhnya pameran ini adalah sangat bermakna bagi kami kerana kami dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pengunjung pameran di Tanjung Karang. Semoga pameran ini dapat diteruskan oleh CaRe dan KanWork demi untuk kesedaran dan pencegahan kanser dikalangan rakyat jelata.

Tuesday, October 30, 2012

Rumah Banglo, Rumah Teres

Alhamdulillah, kami ditakdirkan untuk berhijrah dari Johor Bahru ke Putrajaya pada tahun Mei 2004. Semasa tinggal di rumah kediaman yang disediakan oleh kerajaan di presinct 11, suami saya sibuk mencari tanah untuk kami buat rumah dan dapatlah di Taman Desa Sentosa (TDS), Bangi. Semasa kerja-kerja mendirikan rumah hendak dimulakan, kami membuat sedikit majlis doa selamat di tapak tersebut dan menjemput ustaz serta jemaah surau TDS.
 Pada tahun 2006, apabila rumah kami siap, kami pun berpindah ke Taman tersebut. Maklumlah orang baru ke tempat baru. Kami  membuat kunjung hormat ke rumah Ketua Taman, Tok Penghulu dan penduduk pioneer di situ untuk menjalin perhubungan kejiranan dan silaturrahim.

 Kumpulan Yassin


Wanita Anggun

Pilihan kami untuk bermastautin di sini adalah tepat kerana kami merasa selesa dengan masyarat di Taman ini. Pergaulan di antara penduduk rumah teres dan banglo sangat akrab dan mesra tanpa mengira status dan  berjalan dengan baik. Semasa saya dalam rawatan kimoterapi, ramai kawan-kawan TDS datang menziarah saya. Begitu juga bila kita dengar kawan-kawan dari rumah teres sakit, kita akan ziarah dan beri sokongan moral. Kerjasama yang diberikan oleh penduduk di sini bukan setakat ziarah semasa sakit tapi kunjung mengunjung semasa open house raya, menyediakan makanan berbuka puasa untuk jemaah surau TDS, menyempurnakan jemputan bacaan yaasiin oleh satu kumpulan yaasiin wanita TDS, mengurus (mandi, kafan, solat) jenayah wanita TDS atau ibu bapa mereka yang tinggal bersama di TDS, bergotong royong untuk majlis Qurban setiap Raya Haji (lelaki urus binatang Qurban dan wanita memasak di surau TDS), solat hajat untuk anak TDS yang hendak menjalani peperiksaan, solat hajat untuk penduduk  TDS yang sakit atau akan menjalani pembedahan, kelas feqah dan banyak lagi aktiviti yang kami buat bersama-sama tanpa mengira status. Seronok memang seronok kerana kita mengamalkan cara hidup islam.

Ibadah Korban - Si Kecil turut membantu

Gotong royong melapah lembu


 Kaum wanita gotong royong untuk memasak daging korban

Chef Ziela dan gang sibuk memasak sop daging korban


Terkenang saya semasa saya duduk di rumah teres Bandar Baru UDA, Tampoi, Johor Bahru. Depan rumah saya adalah rumah-rumah banglo yang penduduknya terdiri dari orang Malaysia dan orang Singapura. Rumah banglo disana mempunyai kumpulan yaasiin wanitanya sendiri dan tidak bercampur dengan kumpulan yaasiin rumah teres. Begitulah keadaan masyarakat di sana.

Jika difikirkan, harta benda yang kita ada di dunia ini tidak bawa ke kubur pun. Yang kita bawa nanti adalah  sedekah jariah atau ilmu memberi kepada faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya. Renung-renungkanlah ya!.

Sunday, October 7, 2012

Hari Ini Dalam Sejarah


 Senaman Qigong

Tiba-tiba saya dapat sms dan email dari petugas KanWork meminta saya turut serta dalam senaman qigong di Taman Tasek Cempaka, Bangi. Sudah lama saya tidak turut serta dalam senaman tersebut kerana urusan rumahtangga dan memenuhi jemputan bacaan yaasiin, tahlil dan macam-macam lagi aktiviti.Saya maklumkan yang tidak dapat hadir tapi pihak KanWork minta saya hadir sebab ada penggambaran oleh RTM1 dan director program ini minta saya hadir untuk di wawancara selepas senaman nanti. Saya berasa pelik dari mana beliau tahu tentang saya yang kerdil ini. Saya dimaklumkan oleh pihak KanWork bahawa director tu kenal saya melalui blog rokiahsurvivor ini.Alhamdulillah ada juga yang baca blog saya dan nampak faedah sharing pengalaman  dalam blog itu.


Rakan-rakan bersama senaman Qigong

Persediaan sebelum rakaman

Pada hari yang dijanjikan iaitu 6 Oktober tepat jam 8.00 pagi saya telah terpacak di lokasi tapak senaman qigong. Sifu qigong dan rakan ahli persatuan KanWork telah berkumpul menunggu kehadiran krew RTM1.
Apabila crew RTM sampai, kami pun berkumpul untuk senaman qigong dan penggambaran dimulakan. Selepas tamat penggambaran, crew RTM mula untuk mewawancara kanser survivors bagi mendapatkan maklumat tentang kehidupan mereka selepas sakit kanser. Oleh kerana kesuntukan masa, crew RTM mohon supaya penggambaran diteruskan di rumah saya pada keesokkan harinya pada jam 8.30 pagi. Saya bersetuju dan menjemput kawan-kawan kanser survivors yang terlibat dan tidak terlibat dengan penggambaran ke rumah saya pada 7 Okt. 2012 untuk support program RTM ini.
Se awal jam 8.00 pagi kawan-kawan kanser survivors telah datang ke rumah saya dan pada jam 9.30 pagi mucullah crew RTM1. Buat pertama kali diadakan penggambaran di rumah saya dan sudah tentu kami sekeluarga excited. Crew RTM mula set up camera dan lain-lain peralatan dan selepas itu bermulalah penggambaran mengenai kisah hidup saya selepas kanser.
Sebenarnya, THERE IS LIFE AFTER CANCER. TO ME LIFE IS MORE COLOURFUL AND MEANINGFUL AFTER CANCER. IT ALL DEPEND ON INDIVIDUAL TO COLOUR AND BRING MEANING TO THEIR LIVES. Hidup perlu diteruskan. Ajal maut semua adalah ketentuan ALLAH.  Mengalami sakit kanser memberi kita seribu macam pengajaran. Suka, duka, sakit, stress dan bermacam-macam lagi.  Berdasarkan pengalaman tersebut,  kita perlulah menghargai apa jua yang dianugerahkan oleh Allah dan bersyukur atas nikmat/dugaan tersebut.
Memandangkan kita diberi peluang kedua selepas kanser, sewajarnya kita berseyukur kerana masih diberi peluang dan  seharusnya pada pandangan saya kita gunakan masa terhad yang diberi dengan sebaik-baiknya.
Bagi rakan kanser survivors yang masih berkerjaya dalam perkhidmatan awam, swasta atau persendirian/berniaga, tugas dan tanggungjawab perlu diteruskan demi mengisi masa yang ada, berkongsi pengalaman, mencari rezeki dan sebagainya. Yang penting apa juga yang dilakukan hendaklah kita ada passion terhadapnya. Sebagai contoh, seorang rakan survivors saya Pn. Umie membuka salon dan mengajar aerobik sebelum kanser dan masih diteruskan selepas kanser kerana ia bukan sahaja sebagai punca rezeki tetapi adalah untuk mengisi masa lapang dan minat serta passion dalam bidang tersebut.
 Saya pula memang berminat dalam tanam menanam pokok. Minat ini saya teruskan selepas kanser bagi menghiburkan saya dan hasil tanaman dihadiah/disedekahkan pada kawan-kawan. Di samping itu, saya juga meluangkan masa untuk menghadiri kelas agama, kumpulan yaasiin, buat jualan amal untuk mengisi tabung KanWork  dan sebagai volunteers untuk membantu pesakit kanser lain (house visit/phone call). Kegemaran saya juga turut berubah selepas kanser, dari suka  menonton filem/drama  kepada mendengar dan menonton ceramah-ceramah agama.  Bukan sahaja untuk mendalami/ulangkaji tentang  agama islam, tetapi juga  saya cuba mengelak dari stress semasa menonton filem/drama seram dan ganas.   Sebagai ingatan pada saya dan pembaca blog ini, stress  is not good for health and  survivors. Saya belum jumpa kajian mengaitkan stress dengan kanser tetapi dari temubual saya dengan beberapa orang pesakit kanser yang berulang(recurrence cancer after 5,9,11 and 12 years survivors), mereka memang mengalami stress kerana bebanan kerja, suami meninggal dunia, masaalah keluarga dan sebagainya.


Imam Shuaib Webb

Walaubagaimanapun,  jika sebelum ini kita sibuk dengan duniawi, pada saya, dewasa ini  kita sepatutnya lebih  mendekatkan diri  pada Allah yang Maha Kuasa. Tidak salah jika kita terus berkerjaya atau ada aktiviti-aktiviti harian yang lain tetapi biarlah kerjaya dan aktiviti itu kearah menanam saham akhirat. Seperti kata Imam Shuaib Webb (TV Al Hijrah), gunakan Al Quran sebagai GPS kita supaya kita tidak sesat dalam hidup ini. Kita perlu bersedia sebelum Allah menjemput kita menemuinya. Sujudlah Pada Yang Esa Dan Taburlah Budi dan Bakti sebelum kita disemadikan buat selamanya. Hidup hanya sekali tetapi peluang dan peringatan TIDAK mungkin DUA kali.
Fikir-fikirkanlah!

Thursday, October 4, 2012

Hargai Kesihatan Anda Sebelum Terlambat

Entah kenapa, tiba-tiba saya rasa gelisah dan hati tidak tenteram bila teringat pn. ros. Tengahari ini iaitu 4 oktober, saya pergi menziarah rakan kanser survivor pn . ros yang tinggal di putrajaya. Saya bawa bersama air buah roselle yang saya buat malam tadi dan juga kerepek ubi. Sebelum itu, saya sudah talipon ros memaklumkan akan ziarah ini dan mohon jangan dijamukan apa-apa untuk kami. Kebetulan saya berpuasa pada hari ini dan rakan saya pula dalam keadaan tidak selera makan kerana mengandung. Kali terakhir saya ziarah beliau adalah pada tahun 2011 bersama pn. wan hanisah. Oleh kerana kami adalah volunteers, pihak hospital putrajaya minta kami buat home visit ke rumah Ros. Semasa lawatan kami pada tahun 2011, beliau masih dalam cuti sakit barah payudara untuk menjalani rawatan di hospital Putrajaya. Ros adalah seorang guru muda yang mempunyai seorang anak perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan dua.
Hari ini saya agak terkejut apabila melihat ros kerana mukanya bengkak, kedua-dua kakinya bengkak, tangan kirinya juga bengkak dan di bandage. Rupa-rupanya kanser ros telah merebak ke  kulit. Tiga suku anggota ros kecuali muka dan tangan kanan yang masih belum di mamah oleh sel kanser. Ya Allah sungguh kasihan melihat penderitaan ros. Semasa kami berbual, beliau beberapa kali mengerang kesakitan kerana luka-luka di badannya. Saya mohon untuk melihat dan sungguh kasihan kerana badan ros, kedua-dua belah kakinya, tangan kirinya telah di bandage dan kelihatan kesan darah di bandage tersebut. Saya dimaklumkan oleh ros yang beliau mendapat khidmat hospital swasta untuk menukar bandagenya setiap hari dan juga merawat kedua belah kaki dan tangan kirinya yang bengkak. Nurse mengambil masa lebih dua jam untuk menukar bandage ros pada setiap hari dengan bayaran
RM 100.00 tidak termasuk merawat anggota yang bengkak. Saya tidak dapat bayangkan apabila nurse buka bandange ros. Pasti sakit kerana kuping-kuping kulit akan ikut sekali melekat pada bandage tersebut. Ya Allah, kau berilah kekuatan pada hambamu ini dan ringankanlah sakitnya.
Menurut ros, beliau juga menghadapi kesukaran untuk makan kerana tekaknya kering dan susah untuk telan. Doktor sekarang sudah tidak beri apa-apa ubat  untuk ros dan sekarang ros hanya buat dressing setiap hari.
 Atas sebab kesihatan ros, beliau telah di medical boardkan oleh jabatannya. Begitulah lumrah hidup yang ibarat pepatah melayu, sudah jatuh ditimpa tangga.
Apa yang mampu saya katakan pada ros adalah perkataan tabah, sabar dan berdoalah kepada Allah yang maha mengetahui atas segalanya. Sebelum saya balik, saya doakan semoga Allah ringankan sakit ros dan di beri kesihatan yang baik. Mendengar doa saya, ros menangis dan saya biarkan beliau menangis supaya ros dapat release tension yang dialaminya selama ini. Ros memang tabah kerana dalam masa kami berbual, beliau tidak sedikitpun  mengeluh atau complaint tentang sakitnya,  kecuali mengerang menahan kesakitan.
Kepada pembaca blog ini, jagalah kesihatan anda dan berdoalah kepada Allah semoga sihat dan dalam rahmatnya. Marilah kita berdoa, semoga Allah meringankan sakit pn. Ros dan beri kekuatan, dipertingkatkan iman kepada beliau bagi menghadapi dugaan ini serta pulihkan sakit pn.ros. Ameen.