Wednesday, September 29, 2010

kembali ke rahmahtullah

Suatu hari nanti....

Pagi-pagi lagi se awal lebih kurang jam 4.45 pagi saya menerima sms dari tunang beliau dan kemudian panggilan talipon dari seorang rakan yang memaklumkan bahawa En. Ahmad Tajuddin yang mengidap penyakit kanser pancreas telah kembali ke rahmahtullah. Semalam baru saya bertanya kabar dari tunang En T tentang perkembangan En T. Menurut tunangnya, doktor beri masa hanya tiga minggu memandangkan allahyarham sudah tidak mahu makan dan di beri bantuan penafasan dengan oksigen. Seolah-olah macam baru semalam saya ziarah allahyarham di Hospital Universiti Kebangsaan malaysia (HUKM). Semasa lawatan tersebut beliau masih boleh bergurau senda lagi walaupun dalam keadaan menanggung sakit.

Allahyarham yang saya kenali ini masih muda baru berumur 27 tahun dan pernah bertugas bersama-sama saya pada tahun 2007-2008. Mudah untuk meminta bantuan dan pertolongan bagi menyelesaikan kerja-kerja di pejabat. Cakap aje akan muncullah beliau di depan meja saya dengan idea-idea untuk menyelesaikan tugasan. Baru saja dalam tiga bulan ini beliau dapat detect sakit kanser pancreasnya. Mula-mula sakit macam kembong perut/angin dalam perut dan apabila ke klinik diberi ubat untuk sakit tersebut, sehinggalah satu hari beliau mengadu sakit kuat dan di bawa ke hospital di Kg. Baru, Kuala Lumpur. Apabila dimasukkan ke HUKM, doktor kata sakitnya di tahap tiga tapi dalam lebih kurang satu setengah bulan sahaja sakitnya telah merebak ke organ lain. Belum sempat untuk menjalani rawatan kimoterapi walaupun telah menjalani pembedahan untuk meletakkan kimo-pod.

Saya berharap sesiapa yang membaca blog ini apabila merasa sakit, jumpalah doktor dengan segera dan kemudian cepat-cepat dapatkan second opinion dari doktor lain tentang sakit yang dialami. Manalah tahu, mudah-mudahan dengan bertindak cepat kita dapat mencegah sakit tersebut dari merebak dan mengubati sakit berkenaan.

Marilah kita sedekah alfatihah kepada allahyarham En. Ahmad Tajuddin dan doakan semoga roh beliau dirahmati Allah dan ditempatkan dikalangan para solihin. Insyaallah

Wednesday, September 22, 2010

JUSA oh JUSA - Pelik tapi benar

Usaha tangga kejayaan

Kenaikan pangkat merupakan satu isu yang sangat sensitif. Apa tidaknya.Ada pegawai yang bekerja bertungkus lumus bertahun-tahun jabatan tidak nampak dan tidak dinaikkan pangkat sewajarnya.Mana tak pegawai-pegawai ni tak kecil hati. Bila nak suruh kerja carilah pegawai-pegawai ini tapi bila naik pangkat kebanyakkannya yang dapat tu adalah siapa yang menyabit rumput dengan mereka, siapa yang pandai berlakon di depan mereka, siapa yang pandai kipas mereka dan bermacam-macam cara dan karenah lagi.
Saya menulis kerana ramai kawan-kawan yang seangkatan dengan saya yang talipon, datang pejabat saya mencurahkan isi hati kekecewaan mereka. Ada yang kecewa sehingga mohon untuk optional atau buatlah kerja seadanya menunggu masa bersara.Siapa yang rugi?Jawablah sendiri.Tepuk dada tanya diri sendiri sebab akhirnya nanti kita semua akan accountable pada Yang Maha Esa (Allah)atas semua perbuatan kita di dunia ini.

Kali ni saya nak cerita pasal naik pangkat JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam)kerana sekarang tengah hangat dibualkan di jabatan saya semenjak senarai kenaikkan pangkat diedarkan pada tanggal 20 September lalu. Alkisah teringatlah saya sebelum ini pada beberapa orang pegawai yang tidak dapat naik pangkat JUSA. Ada yang menangis dan ada yang merajuk. Mereka yang merajuk tidak terus merajuk tapi menulis surat panjang lebar kepada jabatan, kata orang boleh buat novel menceritakan tentang apa yang mereka telah buat dan curahkan kepada jabatan seolah-olah mereka tidak di bayar gaji atas khidmat mereka selama ini.

Akhirnya pegawai-pegawai ini dapatlah jawatan JUSA yang di mimpi dan idamkan selama ini. Hduplah pegawai-pegawai JUSA ini seperti dalam cerita fairy tale iaitu happy ever after. Seronoklah mereka kerana dapat glamour,duit gaji/elaun banyak, kuasa besar, dapat kereta perdana dan sebagainya lebih-lebih lagi jika ditempatkan sebagai pengarah negeri. Cakap aje semua akan diuruskan.Tapi yang tak sedapnya ada pegawai yang dah dapat JUSA tapi lupa untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Kebanyakkan kerja di delegate aje tanpa dibincang bersama.Alahai,kesiannya pegawai-pegawai bawahan. Nasib badan, terima ajelah.

Berbalik kepada senarai kenaikan pangkat JUSA yang dikeluarkan pada bulan September ini, betapa seronoknya apabila saya dapati nama sahabat saya Dato' M ada dalam senarai tersebut. Apa lagi, tanpa berlengah saya terus cari Dato' M untuk ucapkan tahniah kerana dinaikkan pangkat ke JUSA C dan ditempatkan sebagai pengarah negeri. Bak kata orang double happinesslah.Dato' M ini terkenal dengan soft spoken dan lemah lembutnya. Beliau jarang bercakap tapi bila bercakap membuat mulut kita ternganga. Apa taknya, keluarlah hadis-hadis dan cerita-cerita zaman nabi untuk kita contohi.

Apabila bertemu, saya ucap tahniah tapi terperanjat besar saya apabila beliau maklumkan saya bahawa beliau menolak tawaran tersebut atas alasan kesihatan dan khuatir tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan sepenuhnya sebagai pengarah negeri. Kata saya pada Dato M bahawa ramai orang lain yang sakit tapi masih menerima jawatan tersebut tapi kenapa tidak dengan Dato M ini. Jelas Dato m bahawa hendak meletakkan kepentingan jabatan didepannya berbanding dengan kehendak peribadinya.

Beliau berasa berdosa kepada Allah jika menerima tanggungjawab ini dan setiap bulan mendapat tambahan elaun ribuan ringgit yang sangat lumayan tetapi hakikatnya tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan setimpalnya untuk jabatan. Beliau merasakan bahawa kuasa dan tanggungjawab adalah amanah dari allah SWT yang pastinya akan disoal dan dihisab oleh Allah di Padang Mahsyar nanti.

Rasanya dalam sejarah perkhidmatan awam, baru kes pertama bagi insan terpilih ini yang menolak jawatan glamor dan berprestij tu. Martabat beliau memang tinggi kerana tidak pentingkan wang ringgit, kuasa dan kedudukan. Apa yang istimewa tentang Dato M ini ialah beliau tidak tamak dan berpuashati dengan jawatan Timbalan Pengarah yang dipegangnya sekarang.

Tahniah Dato M di atas keputusan yang berani dan mencipta sejarah. Semoga Allah akan melimpahkan lagi rahmat, ketenangan, kesihatan dan kebahagiaan ke atas Dato M dan keluarga.

Kepada pembaca blog ini, cerita ini pelik bagi sesetengah orang tapi benar berlaku. Hanya orang yang terpilih sahaja akan berani buat keputusan ini. Bagaimana keputusan kita jika ditawarkan jawatan JUSA tu agaknya?

Monday, September 13, 2010

Selamat Menyambut Hari Raya

Salam Aidilfitri

Hari ini hari raya yang ke empat. Saya telah mula bertugas di pejabat. Seronoknya kerana jalan raya lenggang dan dapatlah saya sampai ke pejabat dengan cepat dan lancar. Selalunya 20 hingga 30 minit tapi hari ini tidak sampai pun 15 minit dah sampai pejabat. Best betul jika hari-hari macam ni.

Di pejabat pula hanya ada beberapa orang pegawai bukan islam yang terpaksa bekerja kerana rakan-rakan mereka yang beragama islam bercuti menyambut hari raya selepas sebulan berpuasa di bulan ramadan. Tahun ini mereka bercuti lama sebab sekolah pun cuti. Tanggal 20 September baru pejabat mula penuh semula. Selalunya waktu begini saya mengambil kesempatan untuk berpuasa di bulan syawal sebab lepas ni banyak sangat sambutan hari raya rumah terbuka.

Di hari yang mulia ini teringat saya kepada beberapa orang rakan survivor yang saya hubungi sebelum menyambut hari raya. Kasihan dan sedih bila di beritahu yang penyakit kanser mereka datang semula. Ada yang recur kali ketiga dan ada kali kedua dan ada pula kansernya telah merebak ke organ lain. Seorang rakan survivor talipon saya baru-baru ini memaklumkan bahawa sakit beliau semakin teruk selepas jatuh dalam tandas. Sekarang sukar untuk berjalan dan berada dalam kemurungan. Beliau telah pun berjumpa dengan doktor pakar di HUKM untuk rawatan.Ini merupakan satu tindakan yang baik. Jika sakit, cepat-cepatlah jumpa doktor.Jadikan doktor sebagai rakan untuk berbincang dan hospital sebagai tempat untuk berlindung.

Saya mendoakan agar mereka semua tabah menghadapi dugaan dan mohonlah kepada Allah agar diringankan bebanan sakit dan mohonlah agar cepat sembuh.Semua dugaan datang dari Allah kerana kita adalah makhluk ciptaan yang Maha Esa. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, mohonlah dan insyaallah akan dimakbulkan. Kata orang cakap memang mudah tapi yang menanggung tu alahai siksanya. Nak buat macam mana lagi sebab semuanya adalah dugaan dari Allah. Mahu tak mahu kita kena redho.

Saya bercakap sebab saya pun mengalaminya. Dalam pertengahan bulan ramadan saya telah dimasukkan ke hospital swasta sebab mengidap demam denggi. Lebih kurang 30 botol air dimasukkan selama beberapa hari di wad. Bukan masuk air sahaja tapi satu hari dua kali di ambil darah untuk diperiksa khususnya pemeriksaan ke atas platelet darah dan sel darah putih. Tak dapat puasa 9 hari sebab dalam rawatan. Doktor merawat saya dengan rapi kerana memandangkan saya adalah kanser survivor. Terima kasih kepada suami yang tunggu saya di wad, anak, menantu dan saudara mara yang memberi sokongan dan berdoa agar saya cepat sembuh.

Bagi orang yang belum kena sakit demam denggi, jagalah agar nyamok tu tidak membiak di rumah dan menyusahkan hidup kita. Jika batuk, selsema dan kena demam panas yang mana badan menggigil(badan panas tapi kaki tangan sejuk dan rasa seram sejuk) dan demam tu sekejap ada dan sekejap tak ada, cepat-cepatlah pergi jumpa doktor sebelum ianya terlambat. Rawatlah sebelum parah kerana demam denggi boleh bawa maut.

Istimewa untuk rakan-rakan survivor yang lain yang masih sihat, mereka perlu berwaspada dan perlu banyak berdoa dan bersyukur kepada Allah atas nikmat kesihatan yang dipinjamkan sekejap ini. Beringatlah sewaktu makan pada hari raya ini agar jangan terlebih makan yang akan memudaratkan diri sendiri juga.

Bagi rakan-rakan yang masih sihat perlu juga jaga pemakanan agar tidak sakit di kemudian hari kelak. Kesihatan amat berharga. Kita akan tahu betapa mahal harganya bila kita sudah sakit. Jagalah kesihatan belum terlambat. Semoga Allah memberi kita kesihatan terbaik sehingga akhir hayat. Insyallah. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Dzahir Batin.