Thursday, March 11, 2010

Selamat tinggal Herceptin

Herceptin

Alhamdulillah hari ini berakhirnya rawatan herceptin yang saya lalui sebanyak 17 cycle mulai dari tahun 2009. Macam mana saya dapat melaluinya? tak tahulah tapi yang pasti dengan bantuan dan sokongan terutamanya dari suami yang sabar dengan karenah saya, anak-anak, menantu dan juga adik-beradik, ipar,besan serta rakan-rakan yang tidak jemu menalipon, menghantar sms memberi perangsang kepada saya untuk melaluinya dengan tabah. Terima kasih semua, hanya Allah yang akan membalas jasa baik kalian.

Saya sungguh bersyukur kerana dapat melalui rawatan tersebut dengan lancar sepertimana yang dijadualkan. Tadi, selepas mendapati pemeriksaan darah dan lain-lainnya okay, barulah saya dapat bertemu dengan doktor. Doktor memaklumkan bahawa hari ini merupakan rawatan herceptin terakhir dan pada masa itu betapa seronoknya rasa dan hanya Allah yang mengetahuinya. Saya meminta pendapat doktor tentang pod didada kanan saya samada boleh dikeluarkan secara pembedahan kerana agak sukar untuk maintainnya (perlu flush dua bulan sekali agar tidak infection yang mungkin akan affect jantung). Doktor menasihatkan supaya simpan dulu untuk setahun atau dua tahun kerana peratus untuk kanser berulang amat tinggi dalam tahun-tahun ini berbanding selepas lima tahun survivor.

Kepada pesakit-pesakit kanser yang belum memasang pod untuk rawatan kimoterapi bincanglah dengan beberapa orang doktor dan fikirlah dulu sebelum bersetuju untuk menjalani pembedahan pemasangan pod tersebut. Ingatlah pasang pod tidaklah sesusah mana pun tapi untuk menjaganya tidaklah semudah yang dikatakan kerana pod tersebut melibatkan jantung.

Saya akur dengan pandangan dan nasihat doktor supaya pod tersebut disimpan untuk beberapa tahun. Diakhir sesi pertemuan, doktor menasihatkan saya supaya jangan lupa makan ubat Temoxifen setiap hari dan jagalah supaya sakit ini tidak berulang kembali. Kebetulan pada hari ini saya bertemu dengan seorang pesakit kanser(seorang guru) survivor dua tahun yang menjalani kimoterapi semula kerana serangan kanser kali kedua. Marilah kita berhati-hati supaya penyakit tidak berulang kembali.

Semasa hendak meninggalkan wad tersebut saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas di wad onkologi yang bertungkus lumus merawat saya tanpa mengira masa. Sambil berjalan menuju ke lif, hati saya mula merasa sedih kerana teringat kepada kawan-kawan yang tidak sempat habis rawatan kerana atas panggilan illahi. Kepada pesakit-pesakit kanser yang sedang menerima rawatan, laluilah dengan tabah, confident dan jangan mengaku kalah. Mohonlah kepadanya kerana Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha berkuasa, Maha mengabulkan permintaan kita. Cubalah mohon tanpa mengira siang atau malam. Selamat Berjuang Kawan-Kawan!