Tuesday, October 30, 2012

Rumah Banglo, Rumah Teres

Alhamdulillah, kami ditakdirkan untuk berhijrah dari Johor Bahru ke Putrajaya pada tahun Mei 2004. Semasa tinggal di rumah kediaman yang disediakan oleh kerajaan di presinct 11, suami saya sibuk mencari tanah untuk kami buat rumah dan dapatlah di Taman Desa Sentosa (TDS), Bangi. Semasa kerja-kerja mendirikan rumah hendak dimulakan, kami membuat sedikit majlis doa selamat di tapak tersebut dan menjemput ustaz serta jemaah surau TDS.
 Pada tahun 2006, apabila rumah kami siap, kami pun berpindah ke Taman tersebut. Maklumlah orang baru ke tempat baru. Kami  membuat kunjung hormat ke rumah Ketua Taman, Tok Penghulu dan penduduk pioneer di situ untuk menjalin perhubungan kejiranan dan silaturrahim.

 Kumpulan Yassin


Wanita Anggun

Pilihan kami untuk bermastautin di sini adalah tepat kerana kami merasa selesa dengan masyarat di Taman ini. Pergaulan di antara penduduk rumah teres dan banglo sangat akrab dan mesra tanpa mengira status dan  berjalan dengan baik. Semasa saya dalam rawatan kimoterapi, ramai kawan-kawan TDS datang menziarah saya. Begitu juga bila kita dengar kawan-kawan dari rumah teres sakit, kita akan ziarah dan beri sokongan moral. Kerjasama yang diberikan oleh penduduk di sini bukan setakat ziarah semasa sakit tapi kunjung mengunjung semasa open house raya, menyediakan makanan berbuka puasa untuk jemaah surau TDS, menyempurnakan jemputan bacaan yaasiin oleh satu kumpulan yaasiin wanita TDS, mengurus (mandi, kafan, solat) jenayah wanita TDS atau ibu bapa mereka yang tinggal bersama di TDS, bergotong royong untuk majlis Qurban setiap Raya Haji (lelaki urus binatang Qurban dan wanita memasak di surau TDS), solat hajat untuk anak TDS yang hendak menjalani peperiksaan, solat hajat untuk penduduk  TDS yang sakit atau akan menjalani pembedahan, kelas feqah dan banyak lagi aktiviti yang kami buat bersama-sama tanpa mengira status. Seronok memang seronok kerana kita mengamalkan cara hidup islam.

Ibadah Korban - Si Kecil turut membantu

Gotong royong melapah lembu


 Kaum wanita gotong royong untuk memasak daging korban

Chef Ziela dan gang sibuk memasak sop daging korban


Terkenang saya semasa saya duduk di rumah teres Bandar Baru UDA, Tampoi, Johor Bahru. Depan rumah saya adalah rumah-rumah banglo yang penduduknya terdiri dari orang Malaysia dan orang Singapura. Rumah banglo disana mempunyai kumpulan yaasiin wanitanya sendiri dan tidak bercampur dengan kumpulan yaasiin rumah teres. Begitulah keadaan masyarakat di sana.

Jika difikirkan, harta benda yang kita ada di dunia ini tidak bawa ke kubur pun. Yang kita bawa nanti adalah  sedekah jariah atau ilmu memberi kepada faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya. Renung-renungkanlah ya!.

No comments:

Post a Comment