Friday, March 21, 2014

Suamiku, sahabatku dan jururawatku.

Alhamdulilllah hari ini genap usia perkahwinan kami 36 tahun. Pelbagai dugaan kami lalui bersama. sama ada dalam masa senang atau susah. Dalam tempoh tersebut, saya telah melalui tiga kali pembedahan secara caesarian, sekali pembedahan payudara/mastectomy, sekali pembedahan memasukkan kimo pod dan terakhir pada tanggal 28 Januari 2014 saya melalui satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan/membuang rahim/uterus dan ovari. Teman rapat saya iaitu suami saya yang masih setia menemani, menjaga dan merawat saya. Saya tidak boleh bayangkan hidup tanpa beliau. Melalui penglihatan saya, beliau belum pun pernah mengeluh atau merungut semasa menjaga saya. Bukan senang menjaga orang sakit. Nak mandi, buang air, makan bersuap, makan ubat ikut masa, solat dan bermacam karenah lagi. Selalunya beliau akan membuat lawak jenaka dan bergurau senda semasa melayan saya .Terima kasih Allah SWT kerana menjodohkan lelaki ini dengan saya dan terima kasih kepada arwah ibu yang telah memilih lelaki ini untuk teman hidup saya. Alhamdulillah.

Tahun 2014 merupakan tahun kelima saya sedang mengambil pil tamoxifen selepas saya selesai rawatan kimoterapi, radioterapi dan Herceptin. Tahun ini saya di duga lagi. Alhamdulillah, kerana tidaklah seteruk seperti yang terdahulu. Rupa-rupanya pil tamoxifen mempunyai kesan sampingan yang saya baru tahu selepas saya sendiri mengalaminya iaitu pada rahim/uterus. Rahim saya besar seperti orang mengandung 3 bulan, dinding rahim menebal sehingga 22mm (sepatutnya 5mm) dan ada prolyp dalam rahim. Saya sedar apabila saya dapati sering ada blood stain pada seluar dalam saya dan saya rasa berat pada faraj saya. Saya berbincang dengan suami dan seterusnya saya buat pemeriksaan doktor.

Doktor kata, saya ada 2 pilihan iaitu samada hendak membuang rahim dan ovari kerana dikhuatiri kanser akan merebak ke organ tersebut atau menunggu dengan harapan rahim akan kecut semakin saya tua nanti. Setelah mendapat beberapa pandangan doktor lain saya memutuskan untuk membuang rahim dan ovari kerana organ ini sudah tidak berperanan lagi dalam usia saya yang sudah lanjut ini.

Saya mengambil keputusan untuk membuat pembedahan di klinik swasta kerana kesuntukan masa. Jika hospital kerajaan, saya kena menunggu dan mengikut queue. Tiba masanya, pada 27 Januari suami saya menemani saya untuk masuk wad. Sampai di wad, saya melalui prosedur biasa di mana jururawat arah tukar baju, ambil tekanan darah, timbang berat badan, periksa jantung dan ambil sampel darah untuk ujian kesihatan organ dalaman. Pada petang hari tersebut doktor pakar dan doktor bius datang menerangkan proses yang saya akan lalui pada keesokkan harinya. Selepas penerangan tersebut, saya dikehendaki menandatangani dokumen kebenaran untuk pembedahan.

Giliran saya adalah yang ketiga untuk dibedah. Pada masa inilah saya rasakan menunggu itu satu penyiksaan. Pada jam 12.30 tengah hari, jururawat datang meminta saya menelan sebiji pil penenang dan selepas itu terus menolak saya ke dewan bedah. Suami saya tetap setia mengiringi saya ke dewan bedah sambil memberi semangat kepada saya.
Kira-kira jam 5 petang barulah saya di tolak keluar dari dewan bedah. Alhamdulillah saya masih di beri peluang untuk hidup sekali lagi.

Dalam bilik setiap dua jam jururawat akan datang memantau saya. Suami saya duduk di tepi katil memerhatikan saya. Untuk menahan sakit, saya di beri dadah morphine. Jika sakit, saya hanya perlu picit butang supaya morphine dapat masuk ke dalam badan saya. Walaupun sakit tapi saya jarang mengambil morphine kerana takut ada kesan sampingan. Untuk memudahkan saya buang air kecil, tiub dimasuk dalam salur air kencing. Tiga hari saya terlantar tanpa bergerak di atas katil. Hari kedua, doktor datang melihat saya dan memberitahu bahawa beliau cuba buat melalui leproscopy iaitu memotong dan memasukkan alat melalui lubang faraj dan tebuk pusat untuk memasukkan kamera tapi tidak berjaya. Oleh itu pembedahan besar sepanjang 14 inci dilakukan di ari-ari saya (tempat lama semasa caesarian dulu). Sakitnya sukar untuk diceritakan sebab bawah dijahit, pusat dijahit dan kawasan ari-ari pun dijahit. Begitulah ditakdirkan kepada saya. Hari keempat saya sudah boleh berjalan-jalan dan solat. Alhamdulillah, dan hari keenam saya dibenarkan pulang.

Di rumah mula lah tugas `jururawat` peribadi saya yang memastikan saya makan ubat setiap 4 jam, memandikan saya dan menyediakan makan minum untuk saya. Malam beliau pastikan saya selesa untuk tidur. Terima kasih Allah kerana menjodohkan saya dengan lelaki ini yang menjaga saya ketika senang dan susah, ketika sihat dan sakit. Saya berdoa semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhirat. Insyaallah.