Friday, March 21, 2014

Suamiku, sahabatku dan jururawatku.

Alhamdulilllah hari ini genap usia perkahwinan kami 36 tahun. Pelbagai dugaan kami lalui bersama. sama ada dalam masa senang atau susah. Dalam tempoh tersebut, saya telah melalui tiga kali pembedahan secara caesarian, sekali pembedahan payudara/mastectomy, sekali pembedahan memasukkan kimo pod dan terakhir pada tanggal 28 Januari 2014 saya melalui satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan/membuang rahim/uterus dan ovari. Teman rapat saya iaitu suami saya yang masih setia menemani, menjaga dan merawat saya. Saya tidak boleh bayangkan hidup tanpa beliau. Melalui penglihatan saya, beliau belum pun pernah mengeluh atau merungut semasa menjaga saya. Bukan senang menjaga orang sakit. Nak mandi, buang air, makan bersuap, makan ubat ikut masa, solat dan bermacam karenah lagi. Selalunya beliau akan membuat lawak jenaka dan bergurau senda semasa melayan saya .Terima kasih Allah SWT kerana menjodohkan lelaki ini dengan saya dan terima kasih kepada arwah ibu yang telah memilih lelaki ini untuk teman hidup saya. Alhamdulillah.

Tahun 2014 merupakan tahun kelima saya sedang mengambil pil tamoxifen selepas saya selesai rawatan kimoterapi, radioterapi dan Herceptin. Tahun ini saya di duga lagi. Alhamdulillah, kerana tidaklah seteruk seperti yang terdahulu. Rupa-rupanya pil tamoxifen mempunyai kesan sampingan yang saya baru tahu selepas saya sendiri mengalaminya iaitu pada rahim/uterus. Rahim saya besar seperti orang mengandung 3 bulan, dinding rahim menebal sehingga 22mm (sepatutnya 5mm) dan ada prolyp dalam rahim. Saya sedar apabila saya dapati sering ada blood stain pada seluar dalam saya dan saya rasa berat pada faraj saya. Saya berbincang dengan suami dan seterusnya saya buat pemeriksaan doktor.

Doktor kata, saya ada 2 pilihan iaitu samada hendak membuang rahim dan ovari kerana dikhuatiri kanser akan merebak ke organ tersebut atau menunggu dengan harapan rahim akan kecut semakin saya tua nanti. Setelah mendapat beberapa pandangan doktor lain saya memutuskan untuk membuang rahim dan ovari kerana organ ini sudah tidak berperanan lagi dalam usia saya yang sudah lanjut ini.

Saya mengambil keputusan untuk membuat pembedahan di klinik swasta kerana kesuntukan masa. Jika hospital kerajaan, saya kena menunggu dan mengikut queue. Tiba masanya, pada 27 Januari suami saya menemani saya untuk masuk wad. Sampai di wad, saya melalui prosedur biasa di mana jururawat arah tukar baju, ambil tekanan darah, timbang berat badan, periksa jantung dan ambil sampel darah untuk ujian kesihatan organ dalaman. Pada petang hari tersebut doktor pakar dan doktor bius datang menerangkan proses yang saya akan lalui pada keesokkan harinya. Selepas penerangan tersebut, saya dikehendaki menandatangani dokumen kebenaran untuk pembedahan.

Giliran saya adalah yang ketiga untuk dibedah. Pada masa inilah saya rasakan menunggu itu satu penyiksaan. Pada jam 12.30 tengah hari, jururawat datang meminta saya menelan sebiji pil penenang dan selepas itu terus menolak saya ke dewan bedah. Suami saya tetap setia mengiringi saya ke dewan bedah sambil memberi semangat kepada saya.
Kira-kira jam 5 petang barulah saya di tolak keluar dari dewan bedah. Alhamdulillah saya masih di beri peluang untuk hidup sekali lagi.

Dalam bilik setiap dua jam jururawat akan datang memantau saya. Suami saya duduk di tepi katil memerhatikan saya. Untuk menahan sakit, saya di beri dadah morphine. Jika sakit, saya hanya perlu picit butang supaya morphine dapat masuk ke dalam badan saya. Walaupun sakit tapi saya jarang mengambil morphine kerana takut ada kesan sampingan. Untuk memudahkan saya buang air kecil, tiub dimasuk dalam salur air kencing. Tiga hari saya terlantar tanpa bergerak di atas katil. Hari kedua, doktor datang melihat saya dan memberitahu bahawa beliau cuba buat melalui leproscopy iaitu memotong dan memasukkan alat melalui lubang faraj dan tebuk pusat untuk memasukkan kamera tapi tidak berjaya. Oleh itu pembedahan besar sepanjang 14 inci dilakukan di ari-ari saya (tempat lama semasa caesarian dulu). Sakitnya sukar untuk diceritakan sebab bawah dijahit, pusat dijahit dan kawasan ari-ari pun dijahit. Begitulah ditakdirkan kepada saya. Hari keempat saya sudah boleh berjalan-jalan dan solat. Alhamdulillah, dan hari keenam saya dibenarkan pulang.

Di rumah mula lah tugas `jururawat` peribadi saya yang memastikan saya makan ubat setiap 4 jam, memandikan saya dan menyediakan makan minum untuk saya. Malam beliau pastikan saya selesa untuk tidur. Terima kasih Allah kerana menjodohkan saya dengan lelaki ini yang menjaga saya ketika senang dan susah, ketika sihat dan sakit. Saya berdoa semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhirat. Insyaallah.


Friday, November 1, 2013

Oktober bulan kesedaran kanser


Bulan kesedaran tentang kanser
Tanggal 22 Oktober 2013 saya ada temujanji dengan doctor pakar sakit kanser di hospital Putrajaya.  Memandangkan appointment saya pada jam 8.30 pagi, se awal jam 7.30 pagi saya dah bertolak dari rumah bagi mengatasi sesak dijalan raya dan juga masaalah mencari tempat letak kenderaan. Memang betul jangkaan saya, kawasan hospital sesak dengan kenderaan dan berpeluh saya hendak mencari tempat letak kereta.

Lazimnya, kena ambil nombor giliran di kaunter hadapan dan kemudiannya ambil giliran lagi di kaunter temujanji. Alhamdulillah dapat jumpa doktor pakar dan semua berjalan lancer. Doktor pakar berpuas hati dengan laporan mamogram (Kena buat setiap tahun dan baru buat pada bulan September 2013) dan kesihatan saya. 

Selepas itu, saya terus berjumpa dengan jururawat untuk buat flush ke atas chemo-pod yang perlu di buat flushing pada setiap 2 atau 3 bulan sekali. Jarum untuk flushing pun special seperti huruf L.  Kena beli jarum tu di kedai farmasi  HUKM dengan harga RM6.00 sebatang. Masa untuk flushing tidaklah lama hanya memakan masa lebih kurang 10 minit tetapi persediaannya mengambil masa. Jururawat bertanya khabar dan kami bercerita tentang pemergiannya Dato Prof. Raden Umur, Mantan Naib Cancelor UPM pada 12 Oktober 2013.

 Meneruskan perbualan, beliau  melontarkan persoalan yang memeranjatkan saya. Jururawat tu bertanya, "Kak, kumpulan kak ada berapa orang lagi yang masih hidup?" Tergamam dan dengan  sepontan saya menjawabdan,  " tiada dan sekarang hanya tinggal saya seorang."
 " Tu lah kak" sambong jururawat itu lagi. "Minggu lepas seorang pesakit kanser payudara tahap 4 berumur 31 tahun meninggal dunia sebab lambat datang untuk mendapatkan rawatan di hospital." Terkedu saya mendengarnya.  Entah kenapa akhir-akhir ini bila dengar berita pesakit kanser atau  kanser survivors meninggal dunia akibat  cancer ocurrence membuat saya ngeri dan seram sejuk.

Saya meninggalkan hospital dengan hati yang sedih mengenangkan ramai kawan-kawan dah pergi dan tidak akan kembali lagi. Bila lah giliran saya, macam juga ambil nombor giliran di hospital tadi. Hanya Allah SWT yang mengetahui giliran tersebut. Kadang-kadang pujuk juga hati ini supaya janganlah fikir sangat tentang mati itu, kerana ia pasti dating  tidak lebih seminit atau pun kurang seminit tapi yang penting adalah persediaan dan bekalan untuk ke sana. Sudah bersedia ke saya ni?

Balik ke rumah, kebiasaannya mencapai surat khabar untuk mengetahui perkembangan semasa di Malaysia dan dunia. Selak punya selak akhirnya sampailah ke ruangan Life& Times Health. Memandangkan bulan oktober adalah bulan kesedaran tentang kanser, banyak aktiviti dan artikel tentang kanser dipaparkan di dada dada akhbar. Tiba-tiba mata saya singgah ke satu artikel menarik berkenaan  The Face of Courage tentang advanced breast cancer patient Dr. Aldila Isahak. (New Straits Times 22 Oktober).  Ceritanya tentang Dr. Aldila yang pada bulan Ogos  2008, telah  merasai ada benjolan di payudara kanannya tetapi mengambil masa satu tahun baru berjumpa doctor Selepas itu, .pada awal tahun 2010 beliau telah menjalani mastektomi dan menjalani rawatan kimoterapi serta radioterapi.


Dr. Aldila Isahak
Aldila apabila sihat  mula bertugas semula dan ditempatkan di bahagian yang banyak kerja-kerja  pentadbiran yang membawa kesan stress kepada beliau.  Tanpa disedari,  kanser sel telah merebak ke lymph nodes dan rib cage. Akhirnya, sakit kanser kembali semula dan beliau sekarang sedang menjalani rawatan semula . Aldila is aware that life may be short for her but she doen't let the desease take control Mengikut Aldila lagi, It gets worse when we panic. Cancer feeds on negative energy.

 Petikan kata-kata  Dr. Aldila Isahak, "I wish I could have detected  the cancer early. It would have made a big difference.  Itu lah keluhan beliau tetapi nak buat macam mana sebab nasi dah pun menjadi bubur.

Nasihat dan peringatan bagi kanser survivors dari Dr. Aldila:

" Have work-life balance and stay away from stress."

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT mempertingkatkan  keimanan, ketabahan dan meringankan sakit Dr. Aldila. Insyaallah.




Tuesday, October 22, 2013

Air minuman sunquick di hari raya korban

Majlis bacaan Yaasiin bersama Presiden KanWork(Prof Maznah duduk depan tiang)

Alhamdulillah dapat sekali lagi saya meraikan hari raya korban tahun 1434H/ 2013. Ramai kenalan saya kanser survivors yang  tidak berpeluang untuk  meraikan Hari Raya Korban tahun ini,  antaranya adalah Dato Prof. Raden Umur, Mantan Naib Cancelor Universiti Putra Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah  dua hari  sebelum Hari Raya Aidil Adha 1434H. Marilah kita sedekahkan Al Fatihah semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT.

 Allahyarham juga  merupakan penaung kepada persatuan kanser  kami KanWork (Persatuan Kanser Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan). Pada bulan September 2013, doktor memberi masa dua minggu sahaja kepada  Prof. Raden, tetapi Allah maha kuasa dan penentu segala-galanya.  Beliau bertahan lebih satu bulan dan sempatlah ahli persatuan kami mengadakan majlis bacaan yaasiin memohon semoga Allah meringankan sakit beliau.

Kerja melapah daging di padang Tmn DS
Berbalik kepada saya, pula, doctor observe untuk 5 tahun dan Alhamdulillah tahun 2013 merupakan tahun ke 6 saya masih boleh menjalani aktiviti kehidupan seperti biasa.  Tahun ini, saya beraya bersendirian bersama anak, menantu dan cucu kerana suami  beraya bersama anak, menantu dan cucu di Perth, Australia.  Sama-samalah kami suami isteri berkorban. Suami menjaga keluarga di sana yang sedang menyambong pengajian di Universiti Western Australia dan saya  pula bersama  keluarga di sini. Yang penting ialah pengorbanan kerana Allah. Jika mereka berjaya dalam pengajian dan nantinya bila bertugas mengajar dalam bidang perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia, insyaallah mudah-mudahan dapatlah kami sedikit ganjaran dari Yang Maha Esa.

Pagi Hari Raya Korban tahun ini, saya membawa bersama dua orang pembantu rumah anak-anak  untuk menunaikan solat Aidil Adha di Masjid Sungai Merab. Entah kenapa saya memang suka solat di masjid tersebut. Mungkin kerana selesa dan juga kerana kemesraan jemaah masjid itu yang ramai seusia dengan saya. Apabila mereka berbual, saya kurang faham sebab mereka bercakap slang Negeri Sembilan. Angguk-angguk aje macam faham dah lah, asal ada response.

Kaum wanita sedang bergotong-royong untuk menyediakan makanan
Selepas solat , kami rasa makanan yang di bawa jemaah secara potluck dan bergegas balik untuk bersarapan bersama keluarga kerana  pada jam 9.30 pagi ada tugasan menanti  di padang sebelah rumah kami dan juga di surau taman kami. Tahun ini, 8 ekor lembu dikorbankan. Sudah dua tahun saya volunteer  menyediakan air minuman tambahan untuk warga kerja di padang dan di surau. Begitulah niat saya  jika  masih panjang umur dan sihat. Lawaknya, setiap tahun, se awal mungkin, saya akan beli dan simpan jus oren sunquick untuk buat air minuman raya korban tahun depannya. Setiap hari saya akan tengok botol oren tersebut dan ia se olah merupakan macam satu kekuatan untuk hari esok  dan seakan saya mohon simpati dari Allah semoga  panjangkan umur, pertingkatkan iman dan sihatkan saya supaya  dapat berbakti lagi pada Hari Raya Korban tahun  berikutnya.
 
Selepas bersama menyaksikan ibadah korban di padang tmn. DS,  saya terus ke surau untuk membantu kaum wanita membuat persediaan untuk memasak juadah tahunan kami.

Gotong-royong menyediakan makanan
 Istimewanya taman kami, setiap tahun, sebahagian tulang dan daging korban  akan dimasak secara bergotong royong  dan dijamu kepada petugas dan jemaah. Lauk yang disediakan setiap tahun adalah sop tulang lembu, sayur campur, daging lembu masak kicap, sambal belacan dan sambal kicap serta ulam.petai. Chef terkenal taman kami adalah Cikgu Miskam, En Khalil dan isterinya pn. Ziela.
 
 Tahun ini, atas dasar syukurnya saya masih lagi  bernafas, saya sendiri volunteer tambah tugas  dengan membantu mengemas surau selepas semua jemaah habis makan tengahari. Saya, Azah, Ziela, Zaidah(sibok tugasan agih daging korban) dan dua orang jemaah lelaki mencuci pinggan mangkuk, periuk dan  kuali. Hj. Badruddin pula mengumpul sampah-sampah dan terus membakarnya. Beliau memang terkenal dengan habitnya yang suka membakar sampah.  Atas ketekunan dan kerjasama antara kami, tugas membersihkan surau dapat disempurnakan dengan mudah dan cepat.
 Mungkin atas tugas sukarela tersebut, ustaz Fauzi yang berada di surau  mengarahkan Pn. Zaidah supaya kami diberi tambahan daging korban. Itulah namanya rezeki. Alhamdulillah semoga tahun hadapan berjumpa lagi!


Pasangan Cikgu Miskam dan En Khalil sedang memasak

Thursday, September 5, 2013

Kuching, Sarawak

Sajak ini ditujukan khas untuk ahli-ahli Mesyuarat Bahagian Pematuhan SeMalaysia yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 27 Ogos hingga 30 Ogos 2013

                                 KUCHING, SARAWAK


                 Mula, mula....
                 Ke Langkawi
                 Tapi tidak menjadi
                 Lepas itu ke Selangor
                 Juga tidak pasti
                 Kemudian ke Terengganu
                Tidak juga direalisasi;

                 Akhirnya.............
                 Ke Kucing, Sarawak
                 Jodoh kita ibarat simpul mati
                 Tarikan mu kuat
                  Panggilanmu hebat
                  Layanan mu tersemat;

                 Tiga hari kita bersama
                 Berbincang dan berbahas
                 Berhempas pulas memerah otak dan keringat
                 Dari pagi hingga ke petang
                 Kongsi idea
                 Kongsi ilmu
                 Kongsi pengalaman
              
                 Bersama kita mengharungi suka-duka
                 Mengesan cukai
                 Meningkatkan pematuhan

                  Demi untuk menambah hasil
                  Untuk rakyat yang berdaulat
                  Untuk Negara Malaysia yang tercinta

                  Merdeka! Merdeka! Merdeka!

                  Hasil nukilan:
                  Hjh. Rokiah Bte Abdullah
                  Kuching, Sarawak
                  31.08.13
                

Thursday, August 22, 2013

Cinta Eusoffe Abdoolcader

Terperanjat pabila ku buka sampul surat yang mengandungi Walimatul Urus dari suami sahabat saya yang telah kembali ke rahmatullah pada bulan Februari 2013 kerana mengidap sakit kanser ovari. Dalam sejarah hidup saya, inilah kali pertama saya dapat walimatul urus atas nama pengantin sendiri yang menjemput untuk dirinya sendiri.  Nak kahwin lagi, tiada halangan sebab isteri dah mati  tapi biarlah berpada-pada majlisnya, kerana perlu menjaga perasaan dan hati anak-anak yang baru kehilangan ibu, adik beradik dan saudara mara  arwah yang kehilangan kasih sayang saudaranya.

 Sambil menatap kad walimatul urus itu,   perasaan saya  bercampur-campur, suka ada  dan sedih serta sayu pun ada. Entah kenapa?  Mungkin saya teringatkan arwah   yang begitu romantik berdua-dua bersama suaminya ke sana dan kemari. Hampir setiap petang mereka berdua dan ditemani cucu naik motosikal bersama mengelilingi taman perumahan kami.

Arwah yang saya kenali adalah seorang wanita lemah lembut yang berbudi tinggi,  suka bersedekah terutama melalui masakannya kerana arwah pakar dalam buat kek dan kuih muih. Bila ada usrah atau jemputan yaassin, sudah pasti ada buah tangan dari arwah. Apabila minta bantuan, belum pernah di tolak, dan dengan senyuman arwah sanggup menghulurkan bantuan yang diperlukan.  Teringat saya pada satu hari saya mencari orang untuk memasak pulut dan akhirnya arwah sanggup memasakkannya untuk kami. Begitulah arwah yang  saya kenali walaupun belum lama tetapi cukup membawa impak dan kenangan manis buat kami. Hampir setiap  Hari Raya, arwah bersama suami akan berkunjung ke rumah kami dan ada saja buah tangan tangan yang di bawa bersama terutamanya kek hati pari yang dibuatnya sendiri. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah yang baik budi ini.

Semasa meneliti kad jemputan tersebut, tiba-tiba fikiran saya melayang dan teringat saya kepada kisah  cinta yang menyayat hati berlaku sekitar  tahun 90han diantara seorang mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dengan seorang wanita biasa bernama Haseena (Malaysian muslim convert). Uniknya,  mereka menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Cina untuk berkomunikasi kerana Haseena tidak tahu berbahasa Inggeris. Dari pembacaan saya,  Tan Sri sanggup tunggu Haseena untuk membesarkan anak-anak bersama suami pertamanya sebelum mereka dapat bersama. Mereka cukup romantik, berpegang tangan ke Latin American Film Fest dan menonton TV juga sambil berpegang tangan. 
Akhirnya pada tahun 1993, Haseena meninggal dunia kerana mengidap sakit kanser lidah

.Setiap hari, Tan Sri akan kirimkan sejambak bunya ros ke pusara Haseena dan pada setiap tahun juga Tan Sri akan publish love poem untuk Haseena di dalam akhbar-akhbar tempatan.   Kematian Haseena meninggalkan kesan mendalam sehingga Tan Sri ke peringkat depresi dan pada 11 Januari 1996 Tan Sri telah mengakhiri hidupnya sendiri.
 Untuk makluman, love poem yang indah ini ditulis dalam bahasa latin dan diterjemahkan dalam bahasa inggeris dan saya titipkan untuk renungan bersama;


Love Poem  Eusoffe Abdoolcader untuk isterinya Haseena

"My love, Light of my Life!
I think of thee in silence
And often speak thine name:
All I have are memories
And photos in a frame;
To thy resting-place I wander
To place roses with love and care:
But no one can know the heartache
As I turn and leave thee there;
No monument can stand more stalwart
Than the everlasting love we share,
let's then rejoice and ever bear in mind
That such a bond surely makes us but
one of a kind."



Love Poem kedua untuk Haseena

My dearest darling, half of soul, light of my life and jewel of all wives
I think of thee and yet of thee, like thee there never yet can ever be
Thine two intoxicating eyes I miss, and thy cheeks and lips I used to kiss
Burung pun faham erti cinta
If Helen of Troy ere clad in the beauty of thousand stars,
 then thou gentle as evening air art in mine eyes, 
as shine the moon among the lesser fires
Of all the queens that ever lived, I chose thee to rule me,
 mine very own Haseena, my one and only,
 to the very marrow thou will see I love ye
O' how in the world am I to live without thee?
                                                                                                           

Di mana kah kedudukan kita kaum HAWA? Apa persediaan kita?  Jika kita dijemput  Ilahi dan tidak akan kembali lagi. Yang dah pergi tetap buat selamanya. Yang tinggal perlu meneruskan kehidupan. Pilihan di tangan masing-masing samada untuk terus keseorangan atau mencari ganti. Lumrah kehidupan. Masa hidup dikasihi dan disyangi kerana kita masih boleh berbakti tetapi bila dah mati, fikirlah sendiri???

Untuk ingatan pada diri saya dan juga pada pembaca blog ini, marilah kita lihat  kedudukan carta cinta kita semula. Ada kah teratas dalam carta cinta kita itu Allah? Teratas cinta kita hendaklah dan semestinyalah untuk Allah yang Maha Esa kerana cinta itu akan bawa kita ke shurga. Kedua teratas adalah cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW  supaya kita dapat syafaat baginda. Seterusnya kepada  siapa........??? Fikir-fikirkanlah!!!

Jika kita mati kelak, bersyukurlah jika ada waris/sahabat/kenalan yang masih ingat pada kita dan panjatkan doa untuk kita. Bertuahlah kita.

 Ada kalanya orang-orang yang kita kasihi di buai mimpi indah didunia sehingga terlupa pada kita yang sudah berada dalam alam yang berbeza. Jangan menaruh harapan yang tinggi terhadap  mereka. Dunia yang berwarna warni ini banyak melalaikan dan melupakan tanggungjawab suami pada isteri, isteri pada suami, anak kepada ibu, ibu kepada anak.

Bersedialah dan bersedialah selagi kita masih bernafas dan waras. Tanamlah saham akhirat untuk diri sendiri. Jangan tunggu kerana esok belum tentu dan belum pasti. Buatlah pada saat ini, waktu ini dan hari ini.

Ingatlah!!!

Bagi kita yang masih sihat, gunakanlah kesihatan itu untuk beribadah pada Allah SWT dan juga dengan membuat kerja-kerja amal/kebajikan.
Bagi kita yang ada harta, wakafkanlah sebahagiannya.
Bagi kita yang ada anak, didiklah mereka supaya jadi anak soleh dan solehah.
Bagi kita yang ada ilmu yang  manafaat, kongsilah dan sebarkanlah.
Sesungguhnya semua ini akan menjadi bekalan dan saham akhirat kelak, insyaallah.


Tuesday, August 6, 2013

Jualan Amal Kanwork tahun 2013

          
                 Sukarelawati sedang menyusun barang jualan 

Kerja-kerja amal atau kerja sukarela saya perhatikan belum sinonim dengan orang melayu di Malaysia. Maaf jika saya tersilap. Di dalam penglibatan saya dalam persatuan  dari tahun 80han lagi mendapati perkembangan penyertaan orang kita dalam kerja-kerja amal/sukarela tidak banyak perubahannya. Tidak ramai orang kita yang secara sukarela melibatkan diri dengan kerja-kerja amal kerana mungkin pulangannya tidak nampak di dunia ini.


             Hjh Zuraidah, cucu & anak istimewa beliau turut hadir

Pada 25 dan 26 Jun 2013, Kanwork  mengadakan jualan amal  kali ke enam dibawah kelolaan saya bagi mengisi tabung Persatuan Kanser Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Setiap tahun saya di bantu oleh kawan-kawan  seperti Hjh. Zuraidah, Rina, Zawiyah, Siti Rokiah,  Haslinah, Wan Azzudin, dan Noraini bertungkus lumus  mengusahakan jualan amal ini. Terasa dan terpanggil semacam satu tanggungjawab sosial untuk membantu mengisi tabung amal KanWork yang banyak memerlukan dana untuk menggerakkan aktiviti persatuan ini. Walaupun tidaklah berjuta-juta yang kami dapat tetapi yang penting pada saya ialah komitmen kami untuk mengisi tabung KanWork dan juga untuk menyebarkan kewujudan dan aktiviti membantu pesakit kanser oleh KanWork.

       
               Ahli KanWork yang membantu dalam jualan amal

Untuk menjalankan jualan amal ini memerlukan masa, kesabaran, duit, kesihatan dan kekuatan fizikal dan mental. Yang penting adalah kesungguhan kita untuk membantu menjayakan jualan amal ini tanpa syarat. . Proses persediaan untuk jualan amal ini panjang kerana terlebih dahulu, kita perlu war-warkan kepada ahli Kanwork, kawan-kawan untuk mendapat dan mengumpul barangan terpakai yang masih boleh dipakai dan dijual. Pengumpulan barangan ini mengambil masa berbulan-bulan. Kami kumpulkan barangan yang diperolehi di pejabat Kanwork, di rumah saya dan juga di pejabat saya. Selepas mengumpul barangan tersebut, kami buat sisihan/sorting untuk mengkategorikannya.   Kerja tidak habis di sini tetapi selanjutnya, kita perlu hubungi pehak Perbadanan Putrajaya untuk menyewa tapak jualan, meja dan kerusi pada tarikh jualan yang Perbadanan telah tetapkan.

      
              Pengunjung sedang sibuk memilih barangan jualan 

Tiba hari jualan, barang-barang perlu di angkut dari rumah, pejabat ke tapak gerai dan selepas itu, sekali lagi barangan perlu di sorting mengikut harga. Jualan barangan ini adalah pada harga yang berpatutan yang mampu dibeli oleh pengunjung. Target saya adalah kumpulan menengah dan bawah. Jika di luar negara seperti di Australia yang pernah saya lawati, saya dapati barangan dari kedai charity shoppe dapat sambutan yang tinggi dari penduduknya.

Jualan di Perbadanan kali ini adalah sempena adanya  Program Seminar tentang Wanita.  Gerai KanWork  bernasib baik kerana dikunjungi oleh  President Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat yang meluangkan beberapa minit untuk beramah mesra dengan kami.

       
 Pengunjung sedang sibuk mencari barang jualan yang memikat hati mereka

Ramai pengunjung ke gerai KanWork sampai ''tidak menang tangan'' kami hendak melayan mereka. Kebanyakkan pembeli adalah terdiri dari pekerja cleaner pejabat. Ada antara mereka yang berulang kali dating untuk membeli. Alhamdulillah, lebih 50 peratus barangan jualan dapat dijual. Baki barangan tersebut kami hantar ke Islamic Relief Malaysia Charity Shoppe di Bangi supaya mereka boleh jual dan masuk pada tabung untuk membantu orang Palestin. Semoga pahala para penyumbang berpanjangan. Insyaallah. Hasil jualan kali ini adalah sebanyak RM2600.00 tidak termasuk kos perbelanjaan seperti sewaan, makan minum, pengangkutan dll yang saya tanggung sendiri. Semoga apa yang sedikit kami lakukan ini di terima dan dapat ganjaran dari Allah SWT kelak. Ameen.


      
     Sukarelawan dan sukarelawati sedang mengemas barang jualan


Tuesday, July 23, 2013

Hjjh Ramlah dalam kenangan


 Allahyarhamah Hjh Ramlah semasa rawatan di IJN
  
 Pada tahun 2004, kami sekeluarga berhijrah ke Putrajaya. Pada masa yang sama, suami saya mencari tanah dan Alhamdulillah kami dapat membeli tanah di Tmn. Desa Sentosa. Bersyukur bukan sahaja dapat membeli tanah tersebut untuk kediaman kami tetapi juga mendapat jiran yang sangat baik budi pekerti mereka.

Hjh. Ramlah (HR) isteri kepada Hj. Talib (HT) bukan sahaja seorang jiran tetapi seperti kakak kepada kami. Seorang wanita yang lemah lembut dan sentiasa bersedia untuk mendengar dan membantu kami sekeluarga. Seronoknya ialah bagaimana  HR berjaya mendidek ke enam-enam anak mereka hingga kesemuanya berjaya menjejak kaki ke menara gading/universiti. Bukan itu sahaja, tetapi anak, menantu dan cucu beliau semuanya berbudi bahasa dan sentiasa bersatu hati didalam aktiviti yang keluarga mereka adakan. Suka kami melihat kesepakatan diantara mereka terjalin dan riuh rendah bila mereka berkumpul di hujung minggu. Masakan mereka jangan kira, sebab insyaalah makanan akan sampai ke rumah kami.  Paling sedap adalah sambal jawa, rendang itik, sambal terung pipit hjh. Ramlah yang tiada tolok bandingnya.

Bertuah HR kerana disamping anak-anak yang berjaya,  dua daripada cucunya sekarang sedang menuntut di sekolah Tahfiz, seorang lagi di sekolah pondok Kelantan. Suami hHR, Hj. Talib juga tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan sahabat karib, tempat rujukan dan mentor kepada suami saya. Setiap hari dengan menaiki motosikal HT akan solat berjemaah di surau atau masjid. Jika di taman kami ada kenduri beliaulah kendaratnya dengan sehelai tuala dibahunya memasak bersama-sama ahli taman yang lain. Jika ada kematian , Hj. Talib jugalah orangnya yang menghulurkan bantuan. Beliau merupakan specialist dalam menguruskan kubur di Tanah Perkuburan berdekatan dengan Taman kami. Dalam usia melebihi 70 tahun, beliau memang aktif dan masih menyumbang khidmat baktinya kepada masyarakat.

Bantuan yang dihulurkan kepada kami tidak pernah di minta balasan dari mula kami meminta bantuan untuk menjenguk tanah kami sebelum kami bina rumah lagi.Masih ingat lagi kata-kata haji Talib, "Jika nak beri duit sebagai upah, saya tidak mahu membantu" Tidak kira siang atau malam jiran kami ini bersedia untuk membantu kami. Ada ketika bila alarm rumah kami berbunyi, Haji talib lah orang pertama akan menalipon kami menanya kabar atau sudah tercegat di luar rumah kami untuk membantu.

Tarikh keramat iaitu tanggal 19 Julai 2013 kira-kira jam 8.30 malam, Hjh. Ramlah telah kembali ke rahmatullah di hospital Serdang, Selangor. Sebelum ini HR berada di Institut Jantung Negara kerana menjalani pembedahan. Selepas lebih kurang 40 hari di IJN, HR di pindahkan ke hospital serdang bagi memudahkan beliau untuk menjalani dialysis. Suami arwah HT cuba hubungi kami melalui handphone tetapi gagal kerana kami sedang menunaikan solat terawih di masjid Sungai Merab. Selepas solat terawih dalam pukul 10.30 malam. kami bergegas ke rumah arwah untuk mengemas dan membantu menyediakan tempat untuk menerima jenayah arwah HR. Kami anak beranak dan serta beberapa ahli keluarga HT sibuk mengeluarkan perabot, menyapu, mengemop lantai dan membentang tikar serta karpet. Pada masa itu lah ada pertanyaan yang dilontarkan kepada saya tentang lokasi meletak tilam untuk jenazah kerana pada masa itu saya adalah wanita paling senior disitu. Terperanjat saya dengan pertanyaan tersebut kerana menyedarkan saya bahawa saya dah tua dan dijadikan tempat untuk merujuk. Memang dah tua pun tetapi kadang-kadang lupa dek sibuk dengan aktiviti dunia. Dengan ilmu yang sedikit yang ada pada saya, "Kata saya, menghadap kiblatlah".Kami juga siapkan tempat untuk mandikan jenayah yang akan dilakukan pada pagi esok harinya.

Selepas siap tugas tersebut, suami meminta saya bertanya kepada salah seorang anak arwah tentang makanan sahur untuk keluarga mereka. Dalam keadaan terperanjat, celaru serta sedih kerana tidak menjangka bahawa ibunya secepat itu  telah kembali ke rahmatullah,Yan menyerahkan hal tersebut kepada kami. Maklumlah, pengalaman saya , kehilangan seorang ibu umpama kehilangan segala-galanya didunia ini. Dunia ni macam kosong.

Saya dan anak perempuan minta izin untuk balik dan terus masuk ke dapur untuk memasak apa yang ada bagi  meringankan beban jiran kami yang berada dalam kesedihan. Sementara itu, anak lelaki kami ke tanah perkuburan untuk membantu mengorek kubur kerana esok pagi jenazah akan dikebumikan.  Suami pula sedang  membantu di rumah HT kerana tahlil ringkas akan diadakan sejurus jenazah HR sampai kelak. Atas arahan suami, sambil memasak kami menyiapkan juga sedikit makanan di rumah kami untuk orang-orang yang menghadiri tahlil arwah.

Selepas menyediakan juadah untuk orang tahlil, saya kembali ke rumah HT untuk bacaan yaasiin sebab jenazah telah selamat sampai. Masuk aje rumah HT, saya berasa seronok apabila  melihat jenazah dikelilingi oleh anak, menantu, cucu dan saudara mara mereka yang sedang membaca yaasiin. Yang menarik perhatian saya adalah cucu lelaki dan perempuan arwah, pelajar tahfiz sedang membaca yaasiin sambil badannya bergerak ke depan dan ke belakang. Bestnya ya Allah. Terbayang pula macam manalah agaknya saya nanti jika terbujur kaku di ruang tamu?  Ramai ke yang akan membaca yaasiin untuk saya?  Entahlah.........Marilah kita sedekah Al-Fatihah dan  doakan semoga roh HR dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Ameen   

Alhamdulillah, jam 3.00 pagi kami mula menghidang makanan  dan menjemput ahli keluarga arwah yang datang secara bergilir-gilir untuk bersahur. Saya sarankan supaya mereka makan banyak sikit sebab esok pagi banyak lagi urusan dan tugas pengkebumian yang akan dijalankan. Jam 5.00 pagi saya mohon suami dan anak lelaki menunggu tetamu bersahur kerana kepala saya dah mula berpusing. Sempatlah rehat sekejap sebelum menunaikan solat subuh.

Pada pagi  tanggal 20 Julai 2013, jenazah  HR yang dikasihi dimandikan, dikapan dan disolatkan di rumah arwah sendiri. Lazimnya di taman kami, jenazah akan disembahyangkan di surau kami tetapi kali ini atas permintaan keluarga HT, jenazah disembahyangkan di ruang tamu rumah HT. Lebih kurang jam 9.00 pagi, jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk diasemadikan buat selamanya. Bertuahnya kerana  HR meninggal dalam bulan Ramadan dan upacara pengkebumian juga berjalan dengan lancar dan mudah serta diiringi dengan cuaca yang baik. Selepas HR dikebumikan, Ustaz meneruskan dengan bacaan Talkin. Tanpa disedari meleleh airmata keluar kerana  bacaan talkin itu sungguh  menusuk ke sanubari saya.

Sesungguhnya bacaan talkin tersebut menyedar dan  menginsafkan saya kerana akhirnya kita semua akan ke situ juga.  Terdetik  dalam hati ini, bila pula giliran saya agaknya untuk ditempatkan di dalam Tanah Perkuburan Islam, Teras Jernang ini? Hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Kita merancang tapi Allah SWT yang menentukannya.

Keluarga Bahagia Hj. Talib(T-Shirt Putih)/Arwah Hjh. Ramlah