Thursday, October 27, 2011

UPM- Jualan Amal dalam kenangan

Tinggal satu hari lagi untuk perasmian Pesta konvokesyen Universiti putra Malaysia ke 35 di Bukit Ekspo membuat saya panik kerana masih belum dapat berita samada Persatuan Kanwork (Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah)dapat gerai untuk jualan amal. Pada bulan September lagi saya sudah bertanya kepada CaRe and Kanwork tentang permohonan gerai tersebut. Dengan confident mereka memaklumkan yang mereka akan uruskan kerana mereka semua bertugas di UPM. Tunggu punya tunggu dan bila saya tanya pada puan Marianna jawapan masih sama iaitu CaRe sedang uruskan. Tak kanlah tinggal satu hari lagi masih no news. Mustahil. Saya dah mula gelisah sebab kawan-kawan sudah hantar barang-barang terpakai ke rumah dan opis saya untuk tujuan jualan amal ini. Tiba-tiba datang ilham untuk bertanya tentang gerai pesta konvo ini dari kawan saya yang bertugas di UPM. Beliau memang mahir dalam hal menyewa gerai kerana bisnesnya adalah menjual bunga pada setiap tahun di pesta-pesta konvo dan memang lumayan pendapatannya. Jawapan beliau amat mendukacitakan. Katanya cabutan untuk mendapat gerai telahpun dilakukan dan gerai-gerai telahpun ditetapkan dan wang pendahuluan sewa telah mereka bayar.

Saya panik dan mohon Allah memberi saya jalan untuk mendapatkan gerai tersebut. Tiba-tiba terfikir saya untuk mendapatkan sendiri nama pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pesta konvo ini. Dengan bantuan pembantu tadbir saya, Puan Azzuriena saya terus menalipon En. Zain tapi diminta menghubungi Tn. Hj. Zailani yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab keatas pengurusan tapak pesta tersebut. Alhamdulillah, saya dapat menghubungi beliau yang kebetulan berada di tapak ekspo UPM. Saya mula perbualan dengan pertanyaan tentang permohonan gerai oleh CaRe dan KanWork. Terperanjat saya apabila beliau maklumkan yang tidak menerima sebarang permohonan dari CaRe atau Kanwork. Dalam keadaan sedih saya kuatkan semangat merayu pada beliau untuk memberi sedikit ruang untuk persatuan kami yang hendak membuat kerja amal/kebajikan bagi mendapatkan dana untuk aktiviti persatuan ini.

Dengan izin Allah, terbuka hati beliau untuk memberi ruang dengan sewa sebanyak RM500.00 untuk tempoh dari 14 hingga 17 hb. Oktober 2011 kepada kami dan minta kami hantar surat direct kepada beliau pada hari itu juga ( 13 Oktober ). Saya terus talipon Pn. Marianna maklum yang saya akan email contoh surat untuk beliau sediakan dan hantar surat dengan kadar segera kepada Tn. Hj. Zailani. Sementara itu, saya menghubungi kawan-kawan yang menjual telekung dan tupperware untuk membantu gerai kami. Mereka semua bersetuju untuk membantu disamping menjual barangan mereka.

Alhamdulillah, pada petang 13 Oktober Pn. Marianna memaklumkan secara resmi bahawa kami mendapat gerai tapi terpaksa berkongsi dengan Alumini UPM. Apabila beliau ke gerai yang tidak bernombor dan hanya berbumbung sahaja, didapati tidak disediakan kerusi/meja. Terpaksalah Pn marianna mendahulukan duit beliau untuk menyewa 5 buah kerusi dan 2 buah meja yang perlu dibawa sendiri ke gerai. Oleh kerana tempat urusetia tu jauh dari gerai saya minta bantuan anak lelaki saya Dr. Fakhrulzaman yang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti kejuruteraan UPM untuk memikul meja dan kerusi ke gerai kami. Alhamdulillah beliau sanggup membantu tapi katanya mak tahu tak berapa jauh abang kena pikul kerusi/meja tu? Memandangkan saya belum ke tapak tu, saya tidak dapat bayangkan kedudukan gerai tersebut.

Syukurlah dengan penat lelah, akhirnya dapat juga gerai tersebut. Dalam fikiran tertanya-tanya pula macamana nak berkongsi kawasan dengan Alumini UPM dalam keadaan ruang yang terhad tu. Maklumlah disamping mempamerkan posters dan risalah mengenai CaRe dan Kanwork, kami juga ada barangan-barangan terpakai dan barangan ahli seperti Tupperware dan Telekung untuk dijual. Sekali lagi saya berdoa kepada Allah agar memudahkan urusan kami di gerai tersebut supaya dapat rakan niaga yang baik dan jualan yang laris. Alhamdulillah, pegawai alumini yang menjual minyak wangi tu Pn. Rozita baik orangnya. Bukan saja baik tapi membantu kami menjual barangan tersebut.

Pada sebelah malamnya saya bersama anak lelaki dan En Bidin serta isteri Pn. Fatimah (berniaga telekung) bergegas ke gerai di Bukit Espo UPM untuk menyusun barang-barang supaya pada esok hari mudah untuk program outreach CaRe dan Kanwork serta jualan amal berjalan lancar.

Pagi 14 Oktober, Puan Mashitah dan petugas CaRe telah mula memberi khidmat mereka untuk outreach dan jualan amal kepada pengunjung-pengunjung gerai CaRe/KanWork. Timbulnya semula saya adalah pada sebelah tengaharinya. Saya ke gerai dengan membawa bersama electric kettle (untuk buat air minuman sendiri ikut selera masing-masing dan menjimat kos), makanan ringan dan minuman segera seperti Milo, Nescafe, Teh tarik ( 3 dalam 1) dan teh uncang (untuk buat teh O) untuk keperluan petugas-petugas sukarela Kanwork dan CaRe. Memandangkan kita ada jiran dan mereka semua baik, saya turut offer mereka untuk bersama-sama merasa makanan/minuman yang disediakan. Maklumlah seperti pepatah Melayu "orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa."

Jualan di UPM mendapat sambutan baik tetapi barangan terpakai yang kami terima dari penyumbang kurang menarik berbanding di UKM. Oleh itu kami tidak dapat menjual dengan harga yang tinggi sedikit.Baju kurung sepasang di UKM boleh dijual dengan harga RM5 hingga RM15 tetapi di UPM hanya boleh jual pada harga RM5.00 sahaja bergantong pada kualitinya. Seronoknya di UPM, pembeli baju kurung adalah sebahagiannya dari penuntut berbangsa Tionghua/Cina. Mereka datang dalam kumpulan dan membeli sehingga 2-3 pasang seorang. Pada sebelah petang dan malam pula ramai pembeli dari orang seberang.Disamping membuat jualan amal kami juga sempat beramal dengan menjual baju kurung kepada seorang pengunjung yang akan mendermakan pakaian tersebut kepada orang miskin di kampongnya, Banting.Pada petang/malam terakhir jualan amal, kami buat jualan lelong iaitu beli satu, percuma satu. Alhamdulillah sambutannya memberangsangkan.

Walaupun kami berkongsi gerai, tapi kami rasa bahagia dengan terjalin kerjasama dan gurau senda;
Walaupun gerai hanya berbumbung kami masih selesa dengan angin nyaman kerana dikelilingi pokok-pokok;
Walaupun hujan hampir setiap petang tapi murah rezeki kerana jualan masih laris;
Alhamdulillah syukur kepada Allah dan kami berjaya mendapat hasil jualan sebanyak RM 1,900.00 untuk tabung KanWork. Pasal sewa gerai tu mudah-mudahan UPM dapat mengecualikannya sepertimana AJK UKM lakukan.

Terima kasih AJK Universiti Kebangsaan Malaysia (kerana kecualikan bayaran sewa gerai sebanyak RM 1,800.00 dan sew kerusi/meja sebanyak RM 49.00) dan Universiti Putra Malaysia (kerana memberi gerai walaupun terpaksa berkongsi dan dalam keadaan tidak ada gerai lagi) Semoga kedua-dua Universiti ini akan terus maju dan terkenal serta mendapat tempat ranking atas dipersada dunia.

Tidak lupa ucapan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang barangan terpakai iaitu:
Prof. Dr. Maznah dan adik beradik; Datuk Jalilah Mahdan; Pn. Hjh. Siti Zaleha Said; Dr. Nor (Klinik Medi Nor); Dr. Fakhrulzaman Hj. Rokhani/ Dr. Samsuzana Aziz; Pn. Hjh. Halimah (FELDA, Pahang); Mdm.Lim Saw Hoon (barangan soveniers);Pn. Asmah;
Dr. Faezah Hj. Rokhani; Pn. Fatimah/ En. Bidin; Hjh. Rokiah Bte Abdullah dan rakan-rakan yang tidak dapat hendak disenaraikan.

Terima kasih kepada petugas CaRe dan sukarelawan/volunteers berikut yang bertugas di gerai:
Pn. Mashitah/suami En, Johari; Pn. Fatimah/En. Bidin; Hj. Rokhani Mangi/Hjh. Rokiah Bte Abdullah; Dr. Fakhrulzaman/isteri; Dr. Faezah/suami. Semoga apa yang kita lakukan diterima dan dirahmati Allah.

Terima kasih juga kepada mereka yang menyumbang tenaga bagi menjayakan jualan amal UKM dan UPM ini iaitu:
Tn. Shahiddin Bin Hussain; Pn. Zawiyah Bt Ibrahim; Pn. Nur Azzuriena Bt Mohd Nasir; Wan Mohd Azzudin Bin Mahyuddin; Cik Farah Wahida Bt Shaari; Cik Noradiladeeja Bt Ahmad; Pn. Umi Najwa Bt Irawan; Pn. Siti Rokiah Bt Syed Mohamed.

TERIMA KASIH DAUN KELADI; SEMOGA HIDUP DIBERKATI; LAIN KALI BANTULAH LAGI.

Tuesday, October 11, 2011

Senaman Qigong yang mengusik jiwa






Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork)mengambil berat tentang kesihatan ahli-ahlinya.Oleh itu kanwork telah mendapatkan seorang guru qigong berbangsa tionghua untuk mengajar ahli-ahli senaman qigong pada setiap pagi hari Sabtu di taman Tasek Perdana, Bangi.

Seperti biasa pada hari sabtu tanggal 8 Oktober 2011, selepas menguruskan tugasan rumahtangga, saya memandu ke tempat senaman. Dalam perjalanan, saya telah menerima panggilan telefon dari Prof. Maznah, Presiden KanWork meminta saya membantu memberi semangat kepada pesakit kanser baru, Puan M yang dalam perjalanan dari Seremban ke tempat senaman kami. Saya berjanji akan membantu Puan M yang masih dalam keadaan shock/terperanjat kerana baru dua hari dapat berita dari doktor yang beliau mengidap kanser paru-paru.

Sampai di Taman Tasek kelihatan Dr. Abdullah (kanser colon survivor) dan isteri serta guru qigong sedang buat warming up.Minggu ini tidak ramai hadir untuk senaman kerana ada yang pergi menunaikan fardhu haji dan ada yang memenuhi urusan peribadi. Saya pun memaklumkan kepada kawan-kawan disitu dan mohon bantuan mereka supaya sama-sama memberi semangat dan perangsang kepada Puan M. Sementara menunggu kehadiran Puan M, guru kami teruskan mengajar step baru senaman qigong. Lebih kurang jam 8.30 pagi Puan M dalam keadaan sugul muncul bersama suaminya. Saya terus menyambut dan bersalaman serta memeluk beliau bagi meredakan keadaan stress yang dihadapi oleh beliau.Dengan cucuran air mata beliau meluahkan isi hatinya. Beliau masih dalam keadaan terperanjat dan belum boleh terima berita doktor tersebut. Saya menggalakkan Puan M bercerita supaya beliau akan rasa lebih selesa nanti. Puan M adalah seorang bekas jururawat yang baru sahaja balik bertugas di Saudi Arabia.
BERSAMBUNG.................

Monday, October 10, 2011

Senaman Qigong yang diingati


 mari amalkan

Qi Gong di China

Seperti biasa, pada setiap pagi hari sabtu jam 8.00 pagi bertempat di Taman Tasek Perdana, Bangi, Persatuan Kanser Network Negeri selangor dan Wilayah (KanWork) ada menyediakan seorang guru untuk mengajar dan membimbing senaman qigong kepada kanser survivors dan rakan-rakan yang ingin turut serta.

Pada pagi 9 Oktober 2011(Sabtu), selepas selesai mengurus tugas rumahtangga terutamanya menyedia sarapan pagi, saya terus memandu untuk menyertai senaman tersebut. Dalam perjalanan saya telah menerima panggilan telefon dari Prof. Maznah memohon saya membantu memberi motivasi kepada seorang pesakit kanser baru (kanser paru-paru) bernama Puan M yang dalam perjalanan dari Seremban ke tempat senaman kami. Saya bersetuju untuk membantu kerana peluang kedua yang Allah berikan kepada saya sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk membantu orang lain semoga Allah menjauhkan diri saya dari penyakit tersebut berulang lagi.

Sampai di Taman Tasek, kelihatan guru qigong dan beberapa orang survivors sudah ada menunggu dan sedang warming up. Saya pun memaklumkan tentang Puan M dan mohon sokongan dari mereka bagi membantu menaikkan semangat Pn. M. Lebih kurang pada jam 9.30 pagi, Pn. M muncul bersama suaminya. Kami berkenalan dan bersalaman dan dengan cucuran air mata Pn. M memulakan ceritanya. Menurut beliau baru dua hari doktor memaklumkan bahawa beliau mengidap sakit kanser paru-paru. Pn. M masih dalam peringkat shock dan masih belum dapat menerima berita tersebut kerana baru sahaja kembali bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi. Menurut beliau, selepas kembali dari Arab Saudi, beliau berasa sukar untuk bernafas dan pernafasannya seolah-olah tersekat-sekat/tidak lancar dan mudah penat. Andaian beliau mungkin beliau terdedah kepada pancaran X-Ray semasa merawat pesakit di Arab Saudi. Semasa bercakap dengan kami kelihatan Pn. M penat dan termengah-mengah/tidak lancar penafasannya. Saya memaklumkan bahawa memang kebanyakkan dari pesakit kanser tidak dapat menerima hakikat didatangi penyakit kanser di peringkat awal tetapi lama-kelamaan dengan bantuan/sokongan/nasihat kawan-kawan survivors akan dapat merubah pandangan pesakit itu.

Dalam keadaan begini pesakit perlu kuat, perlu sokongan keluarga, dengar ceramah-ceramah motivasi dan agama serta lebih dekatkan diri dengan Allah. Tidak ada seorang pun boleh mengubah pandangan pesakit tentang sakit ini kecuali diri sendiri. Pujuklah diri sendiri untuk menerima hakikat dihinggapi penyakit ini dan kemudiannya terus ikhtiar dan berusaha untuk mencari penawarnya. Realitinya kita kena menerima dugaan ini dan terus cari ubat atau berubat. Hidup mati adalah kehendak Allah. Orang sihat pun boleh mati. Tidak semestinya orang sakit akan mati. Teringat saya kepada kawan saya yang mengidap sakit kanser rahim. Beliau yang sakit dan masih menerima rawatan di HUKM tetapi suaminya yang kelihatan sihat telah kembali ke rahmatullah kerana sakit jantong. Oleh itu, selagi kita hidup, kita perlu berusaha untuk berubat supaya cepat pulih dan sihat. Ingat, bahawa tidak ada sesiapa boleh pujuk diri pesakit kecuali pesakit itu sendiri. Berdoalah semoga diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Semangat perlu kuat kerana hidup perlu diteruskan selagi kita bernafas. Jika pesakit give up, yang merana nanti adalah pesakit itu sendiri dan tempiasnya adalah pada orang-orang terdekat dengannya. Fikir dan renung-renungkanlah sebelum nasi menjadi bubur.

Perbualan diteruskan dan kali ini berkisar kepada topik pemakanan. Menurut Pn. M, beliau memang suka meminum susu pada setiap hari dan akhir-akhir ini terasa sakit beliau semakin bertambah. Dr. Abdullah salah seorang survivor colon cancer dan juga merupakan rakan senaman kami pada setiap minggu, menasihatkan supaya Pn. M berhenti mengambil susu dan produknya. Mengikut pengalaman beliau dan diet yang diamalkan, makanlah banyak sayuran organik atau sayuran kurang kandungan kimia, kurangkan makanan berminyak dan bergula, makan ikan bersisek, banyak minum air dan jus asli buah-buahan.(buat/blend sendiri) dan buat senaman untuk mendapat lebih oksigen.

Guru qigong turut memberi tunjukajar kepada Pn. M cara pernafasan supaya badan beliau dapat banyak oksigen kerana kekurangan oksigen dalam badan boleh menyebabkan sel kanser cepat merebak.

Memandangkan matahari semakin tinggi dan masing-masing ada urusan lain, saya menjemput Pn. M ke rumah untuk mengambil dan mencuba makan daun pokok duri tujuh dan meminum air rebusan daun pecah kaca. Tidak ada guarantee akan baik serta merta tetapi apa salahnya kita mencuba sebelum meneruskan dengan rawatan intensif di hospital. Didoakan semoga Allah memberi kekuatan kepada Puan M untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya sihat semula.

Jualan Amal di pesta Konvokesyen UKM,Bangi

Dalam perjumpaan yang lalu, saya telah diamanahkan oleh presiden Persatuan Kanser Selangor/Wilayah Persekutuan (KanWork)Prof. Maznah untuk mencari duit bagi mengisi tabung Kanwork supaya aktiviti persatuan sukarela ini dapat berjalan dengan lancar. Persatuan ini boleh dikatakan lebih 99 peratus ahlinya terdiri dari orang melayu islam. Oleh itu dana perlu dicari mengikut garis panduan agama kita.

Walaubagaimanapun saya perlu memikirkan cara untuk mendapat wang untuk mengisi dana persatuan ini bagi membolehkan aktiviti persatuan ini seperti berikut dapat berjalan dengan mudah dan lancar.

Aktiviti Pertama: Kumpulan sokongan (support group)
Kumpulan yang dikendalikan untuk pengidap kanser
untuk berbual, berkongsi pengalaman dan membantu antara satu sama
lain.

Aktiviti Kedua: Lawatan ke wad:
Melawat pesakit kanser yang akan menjalani pembedahan dan/atau
yang telah menjalani pembedahan di hospital.

Aktiviti Ketiga: Pendidikan komuniti:
Pengamal perubatan, golongan profesional dan kanser survivors
berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka tentang perkara-
perkara yang berkaitan dengan kanser bersama ahli-ahli komuniti.

Aktiviti Keempat: Jaringan rakan sebaya.
Jaringan sokongan telefon rakan sebaya akan membantu pemanggil dengan berkongsi pengalaman mereka sendiri berkenaan rawatan, pengamal perubatan, sokongan ahli keluarga dan pelbagai situasi khusus berkenaan kanser.

Aktiviti Kelima: Sokongan Jaringan e-group.
Satu kemudahan e-mail untuk memudahkan komunikasi di kalangan ahli-ahli. Aktiviti ini juga merupakan satu program pendidikan untuk meluaskan pengetahuan IT di kalangan ahli-ahli kumpulan.

Aktiviti Keenam: Aktiviti riadah dan sosial:
Persatuan ini menyediakan guru mengajar Qigong/'Wai Ta Qung'/Aerobic. Sebagai contoh: Senaman Qigong ini diadakan setiap pagi hari Sabtu di Taman Tasek, Bandar Baru Bangi di bawah bimbingan seorang guru berbangsa Tionghua yang berpengalaman.
KanWork juga mengadakan perjumpaan-perjumpaan sosial seperti jamuan hari raya, ceramah bulan ramadan, ceramah-ceramah/ bengkel motivasi/agama bulanan, lawatan sambil belajar dan lain-lain lagi.

Aktiviti Ketujuh: Pusat Sumber kanser:
Pusat yang memuatkan koleksi bahan pendidikan kanser untuk rujukan pesakit dan orang awam di CaRE (Resource CTR for Edu. & Comm. On Cancer - Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, UPM, Next to Hospital Serdang) dan di Hospital Putrajaya. Aktiviti perkhidmatan sokongan untuk pesakit kanser juga dijalankan di sini.

Aktiviti Kelapan: Program sukarelawan:
Sukarelawan dialu-alukan untuk menjalankan aktiviti pentadbiran, perkhidmatan sokongan, 'outreach', acara dan lain-lain peluang. Sehingga hari ini KanWork dapat sokongan dari sukarelawan yang bukan pesakit kanser tetapi masih tidak mencukupi dan masih memerlukan lagi sukarelawan/wati.

Dalam pencarian tadi, kebetulan Pembantu Tadbir Kanan saya di pejabat Puan Zawiyah bte Ibrahim memaklumkan yang beliau telah tamat belajar dan akan menghadiri Majlis Konvokesyen UKM ke 39 pada bulan September 2011 ini. Dengan bantuan beliau, saya dapat berhubung dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pesta Konvokesyen UKM dan terus bergegas ke UKM memohon gerai untuk jualan amal bagi mengisi tabung KanWork. Saya mengisi borang permohonan gerai dan cuba mohon dikecualikan dari bayaran sewa sebanyak RM 1,800.00 bagi tempoh dari 22 hingga 27 September 2011. Maklumlah, persatuan ini bukan mencari untung tapi adalah untuk mengisi dana dengan menjual barangan terpakai yang diperolehi dari kawan-kawan pejabat/jiran/sahabat sejauh dari Melaka dan Johor Bahru.

Alhamdulillah, selepas AJK pesta bermesyuarat saya dimaklumkan bahawa persatuan kami mendapat gerai tersebut secara percuma. Saya mulalah membuat dan memasang posters memohon barangan terpakai yang masih boleh digunakan untuk jualan amal ini. Dengan izin Allah, ramai kawan-kawan menyumbang dan boleh dikatakan sebuah bilik di rumah saya penuh dengan barangan kiriman dari jauh dan dekat.

Tugas seterusnya ialah menyediakan jadual bertugas di gerai dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 malam, kerja-kerja 'sort out'/mengasingkan barangan, membeli beg plastik untuk jualan dan lain-lain tugas yang berkaitan. Maklumlah ini kali pertama persatuan ini buat jualan di pesta konvokesyen. Bagi saya tidak ada masalah sebab ia merupakan kali ketiga saya sekeluarga membuat jualan amal tapi sebelum ini jualan kami hanya untuk satu hari sahaja dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari.

Jadual bertugas di gerai, surat-menyurat dan penyertaan CaRE diuruskan oleh sukarelawan/ seorang pelajar PHD Universiti Putra Malaysia, Puan Marianna. Tanpa beliau dan suami yang sangat supportive mungkin tugas ini lebih sulit lagi sebab saya tidak ramai kenal petugas-petugas CaRE dan ahli-ahli KanWork.

Bukan mudah untuk mencari sukarelawan untuk menjual di gerai kami lebih-lebih lagi di bulan syawal ini yang penuh dengan jemputan rumah terbuka. Last minute ramai yang mohon keluar dari bertugas dengan memberi alasan masalah keluarga dan sebagainya. Tinggallah beberapa orang sahaja iaitu petugas CaRE, dua orang kanser survivors, saya sekeluarga (suami, anak dan menantu) dan mariana serta suami kerana anak-anak mereka masih kecil.

Saya terus berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan kami ini. Kebetulan saya dijemput dan menghadiri majlis baca yaasiin dan rumah terbuka di taman perumahan saya.Tiba-tiba dua orang wanita menghampiri saya bertanya berkenaan jualan amal tersebut. Seorang mohon untuk turut serta dalam jualan tersebut (menjual telekung) dan seorang lagi mohon menjadi sukarelawan. Alhamdulillah, kami sudah ada rakan kongsi dan rakan yang akan membantu menjaga gerai. Saya berbincang dengan setiausaha persatuan dan beliau bersetuju supaya kami ada rakan kongsi. Kami tidak meminta apa-apa kecuali sumbangan ikhlas hasil dari jualan barangan mereka. Di pejabat pula, dua orang rakan datang berjumpa saya mohon untuk turut serta dengan menjual minyak wangi dan tupperware.

Tibalah hari yang ditunggu-tunggu iaitu 22 september 2011. Kami sekeluarga dan Puan Mariana pergi ke gerai untuk membuat persiapan. Pehak penganjur memaklumkan hanya menyediakan sebuah meja dan dua buah kerusi sahaja. Mahu tak mahu terpaksalah kami mohon untuk menyewa empat buah meja, sepuluh buah kerusi dan satu kanvas untuk tutup gerai diwaktu malam. Selepas saya buat rayuan, kami dapat peralatan tersebut secara percuma juga. Terima kasih AJK Pesta Konvo UKM. Semoga Allah merahmati anda semua dan dapat graduan cemerlang. Dengan bantuan rakan jualan kami yang menjual telekung, tupperware dan minyak wangi, jualan amal kami berjalan lancar dan mendapat ramai pengunjung. Bukan sahaja pengunjung datang membeli tetapi juga penjual-penjual gerai lain turut serta memeriahkan pembelian jualan kami.

Setiap hari saya berdoa agar cuaca membantu kami. Maklumlah akhir-akhir ini musim hujan. Cuaca panas untuk beberapa hari tetapi dua hari terakhir hujan lebat membasahi gerai kami. Alhamdulillah tidak banyak barangan kami kena hujan. Pada hari-hari seterusnya, sebelah pagi, suami saya akan membuka kanvas gerai dan menunggu sehingga petugas CaRE (memberi khidmat nasihat dan memberi risalah mengenai kanser) , survivors KanWork, tuanpunya telekung, tuanpunya tupperware dan tuanpunya minyak wangi datang. Pada sebelah malam suami saya, suami Marianna atau menantu saya akan tutup gerai. Begitulah setiap hari sehingga hari terakhir jualan amal kami di mana kami adakan jualan lelong. Jualan kami amat menggalakkan. Seronok menjual terutamanya pada sebelah malam kerana ramai pengunjung datang sehinggakan anak dan menantu yang mengambil alih tempat saya untuk meneruskan jualan terpaksa menutup lampu dulu sebelum menutup gerai pada jam 12.00 malam. Pada sebelah pagi pula sebelum kami buka gerai lagi sudah ada pekerja-pekerja pembersihan di UKM menunggu untuk membeli barangan kami. Alhamdulillah, dapatlah lagi kumpulkan lebih dari RM3,500.00 untuk dana KanWork. Itulah pengalaman kami dan insyaallah kami akan gunakan untuk teruskan jualan amal ini di Pesta Konvokesyen ke 35, Universiti Putra Malaysia pada 14 hingga 19 Oktober 2011.

Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang berikut kerana bermurah hati menyumbang barangan terpakai/baru yang masih cantik dan boleh digunakan oleh orang lain/pembeli-pembeli:
-Professor Maznah (survivor); Y.B. Dato Jalilah bte Mahdan; Pn. Hjjh Siti Zaleha bte Said (Melaka); Pn. Nor Aini bte Zabidi (Johor Bahru); Pn. Wan Hanisah (survivor); Pn. Asmah;Pn. Norlia bte Hashim; Pn. Norehan (survivor); Keluarga Hj. Talib ( Tmn. Desa Sentosa), Pn. Hjh Siti/Hj Karim & keluarga; Hjh Rokiah (survivor) dan Keluarga; Pn. Zawiyah bte Ibrahim; Pn. Mashitah; Pn Roshidah UKM (survivor); Pn. Fatimah; Pn. Siti Rahimah (biskut samprit) dan lain-lain penyumbang. Semoga Allah memberkati, merahmati dan menggandakan lagi rezeki kita semua. Insyaallah.

Terima kasih pada penyumbang tenaga berikut:
Pn. Marianna dan suami; Hj. Rokhani Mangi dan keluarga; Dr. Fakhrulzaman Rokhani dan isteri Dr. Samsuzana serta adiknya Dik Lah; Pn. Fatimah dan En Bidin (telekung); Pn. Mashitah dan Suami (Tupperware); En. Nordin dan pembantunya pn. Rozita (minyak wangi); Pn. Zuraidah (Tmn. Desa Sentosa, Teras Jernang); Dr. Faezah Rokhani serta suami Halian Adi Rizal Bin Halim; Pn. Shaznaz (kanser survivor), Hjh. Rokiah (kanser survivor); petugas CaRE dan lain-lain yang terlibat. Semoga Allah menerima amalan kita dan merahmati kita semua. Ameen.