Friday, May 4, 2012

Misi yang tidak kesampaian

Pada tanggal 21 April saya diarah bertugas di kaunter KanWork sebagai sukarelawan bagi memberi khidmat nasihat mengenai kanser kepada pengunjung yang datang sempena HEALTHY LIFESTYLE DAY 2012 di Universiti Putra Malaysia. Adalah beberapa orang datang tetapi yang menarik perhatian saya adalah pada seorang wanita muda, namanya Pn. Zai.Beliau mohon saya bantu ibunya yang telah disahkan oleh doktor mengidap kanser payudara. Masalahnya ialah ibu zai tidak mahu berubat dan dalam keadaan murung/depression. Doktor telah menasihatkan Zai samada ibunya dimasukkan ke wad sakit jiwa atau bawa balik ke rumah untuk dijaga sendiri. Zai mohon saya berjumpa dengan ibunya tetapi malangnya ibu zai tinggal di Ipoh, perak. Kebetulan pada minggu berikutnya ibu Zai di bawa balik ke kampungnya untuk berjumpa atuk/nenek di Batu Pahat, Johor.Mereka hendak atuk/nenek Zai menasihatkan ibu Zai tapi nampaknya tidak berjaya.
Pada 1hb. Mei, Zai maklumkan kepada saya yang ibunya berada di rumahnya di Kota Damansara dan mohon saya datang untuk bantu ibunya. Memandangkan Damansara dekat dengan rumah kawan saya Pn. Hjh Wan, juga seorang volunteers, saya talipon beliau dan mohon beliau bantu ibu Zai (Pn. Hami). Hjh wan bersetuju dan pada pagi itu juga beliau pergi ke rumah Zai untuk berkongsi pengalaman dengan Pn. Hami tetapi nampaknya tidak berjaya. Menurut Pn Hjh. Wan, Pn. Hami dalam keadaan baring di atas katil, tutup mata, genggam tangannya dan enggap bercakap. Apabila saya mendapat maklumat itu, saya mengambil keputusan untuk pergi cuba membantu Pn. Hami. Saya ambil daun duri tujuh dan daun pecah kaca yang saya tanam di tepi rumah saya untuk di bawa bersama. Hampir jam 2.30 petang saya yang ditemani oleh anak lelaki, menantu dan cucu sampai di rumah Zai. Saya mohon izin untuk berjumpa dengan Pn. Hami dan di bawa ke bilik tempat beliau berehat.
Pn Hami sedang berbaring di atas katil dan dalam perbualan kami beliau tidak sedikit pun bersuara tetapi hanya berhubung secara bahasa isyarat. Beliau sempat menunjukkan kepada saya benjolan yang ada pada payudara sebelah kirinya. Selama lebih 2 jam saya duduk bersama Pn Hami dan menasihatkan beliau supaya terima dugaan Allah dan pergi berubat sama ada di hospital atau secara tradisional tetapi beliau mesti berubat dan jangan putus asa. Kelihatan linangan air mata di kelopak mata Pn Hami tetapi beliau masih tidak bercakap. Saya pegang tangan beliau dan mohon beliau pertimbangkan untuk berubat awal demi untuk dirinya dan juga keluarga. Menurut seorang ustaz, sekiranya seseorang itu diduga dengan penyakit, orang itu mesti berubat dan tidak boleh serah kepada takdir sahaja.
Sebelum meninggalkan teratak Pn Zai, saya difahamkan oleh suami dan anak-anak Pn Hami bahawa kanser ini telah didiagnose oleh doktor pada bulan Januari 2012 tetapi beliau enggan berubat dan menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Menurut Pn Zai, ibunya rasa bersalah kerana menyusahkan anak-anak dan kerana beliau berkeadaan begitulah anak perempuannya tidak jadi bertunang dan banyak lagi kerisauan-kerisauan dalam diri Pn Hami sehingga keadaan murungnya bertambah teruk.
Berita terbaru saya terima dari Pn. Zai pada 10 Mei yang ibunya yang sekarang berada di Ipoh cuba meminum tinner cat tetapi dapat diselamatkan oleh anaknya..
Saya mohon pada para pembaca blog ini supaya mohon kepada Allah dan mendoakan supaya Pn Hami cepat sihat dan dapat menjalani rawatan dengan segera sebelum sel kanser tersebut merebak ke bahagian organ lain.
Kepada pembaca blog ini, jika berhadapan dengan ahli keluarga/kawan yang baru didiagnose mengidap kanser, jangan salah beri nasihat tetapi berilah nasihat yang betul dari maklumat yang tepat dan beri sokongan yang kuat supaya pesakit confident untuk menjalani rawatan. Bantulah mereka dan Allah akan membantu kita. Insyaallah

Healthy Lifestyle Day 2012

No comments:

Post a Comment