Thursday, March 8, 2012

Mata Lebah Atau Mata Lalat



Semalam pagi iaitu 7 Mac, saya bergegas ke ERL Putrajaya untuk menghantar anak dan menantu saya yang akan ke luar negara atas urusan resmi. Mereka nak cuba menaikki ERL yang dijadualkan pada jam 7.20 pagi. Alhamdulillah sempat sampai dan mereka berdua terus berkejar ke kaunter tiket.

Aduhai, rupanya pagi begitu sesak sekali jalanraya di Putrajaya. Memandangkan laluan biasa saya melalui jalan di hadapan Balai Bomba itu sesak, saya terus mencuba jalan lain ke arah Presint 10. Rupa-rupanya sesak juga. Apa nak buat, terpaksalah bersabar dan alhamdulillah dalam keadaan sebegitu radio IKIM menyiarkan ceramah Motivasi Pagi oleh Ustaz Ramli.

Dalam keadaan nak tumpukan pada lalulintas , saya antara dengar dan tak dengar tiba-tiba terperanjat bila ustaz menyebut tentang mata lebah atau mata lalat. Tiba-tiba terbayang saya akan mata mereka yang jauh sekali macam mata kita. Sambung ustaz itu, jika mata lalat, walaupun lalat itu berada di dalam kebun bunga, lalat tetap akan mencari najis dan benda busuk. Walhal, jika mata lebah, walaupun di tempat sampah, lebah tetap akan mencari bunga/ yang harum untuk dijadikan madu dan akhirnya madu yang banyak manfaatnya akan dapat digunakan oleh manusia. Sambung ustaz lagi, jika diaplikasikan kepada manusia, walaupun manusia itu baik tapi kita tetap sibuk mencari dan nampak yang buruk dari yang baik. Bagi lebah pula, walaupun manuusia itu jahat tapi disebalik kejahatan itu, ia cuba mencari kebaikkannya.Ceramah motivasi ini walaupun pendek tetapi ustaz telah betul-betul dapat menyentuh jiwa saya'

Pada saya kita boleh 'lihat' mata lebah atau mata lalat dari berbagai sudut. Saya lebih suka mengambil sudut kaca mata pesakit kanser. Teringat saya pada seorang rakan yang tinggal satu taman dengan saya yang telah dikenalpasti oleh doktor mengidap sakit kanser rahim. Asalnya, pusat Puan S ini bengkak dan selepas beberapa kali dibedah baru dikenalpasti mengidap sakit kanser dan sekarang sedang menjalani kimoterapi. Kali keempat pada hari khamis lepas. Saya difahamkan yang doktor menyuruh Puan S menjalani kimoterapi terlebih dahulu untuk melihat perkembangan lymph nodes yang bengkak dibeberapa tempat sebelum pembedahan dapat dijalankan.

Saya kenal Puan S bukan sehari dua, tapi semenjak saya pindah ke Taman DS ini pada tahun 2006. Tidak ada perubahan pada beliau dari dulu hingga sekarang. Dulu sihat dan sekarang sedang menjalani rawatan kimoterapi.Seorang wanita yang tabah, tenang dan kuat semangat. Dulu, tiap kali ada usrah di taman kami, beliau yang pandai dan rajin masak memasak pasti akan membawa buah tangan samada kek atau makanan untuk kami nikmatinya.

Sudah beberapa kali saya menziarahi beliau dan belum pernah saya dengar Puan S ini complaint atau merungut tentang sakitnya. Inilah dikatakan mata lebah kerana beliau tidak bersangka buruk pada Yang Maha Esa dan hanya menerima dengan redha dan hadapinya dengan hati yang cekal. Puan S tahu bahawa setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya. Saya sendiri berasa malu bila berdepan dengan Puan S, kerana apabila saya di beritahu oleh doktor tentang sakit kanser, saya dah mula gelabah dan bertanya-tanya kepada Allah, kenapa saya? Why me and why me? Itulah namanya mata lalat yang tidak dapat melihat kebaikan/hikmah disebalik dugaan Allah. Saya tidak nampak bahawa disebalik sakit itu, banyak yang saya dapat. Keluarga lebih rapat dengan saya dan lebih caring, dapat cuti bergaji penuh selama dua tahun ( boleh rehat dan buat apa yang tak dapat buat masa bekerja dulu yang stressful , maklumlah jaga Human Resource), ramai kenalan terutamanya cancer survivors, dapat membantu pesakit lain melalui Persatuan Kanser Selangor dan Wilayah (KanWork), lebih dekat diri kepada Allah dan banyak lagi nikmatnya. Sekarang baru nampak sebab dah pakai mata lebah.

Tanyalah pada diri kita. Mata kita mata yang mana? Mata Lebah atau Mata Lalat? Mudah-mudahan selepas membaca coretan ini, pembaca menggunakan mata lebah dan bukannya mata lalat. Insyaallah

No comments:

Post a Comment