Wednesday, August 11, 2010

ramadhan yang di nanti, perginya dirindui


 Kehadirannya dinanti Perginya dirindui

Hari ini hari pertama saya diberi kesempatan sekali lagi untuk menghirup udara bulan ramadan. Alhamdulillah diberi peluang dapat menunaikan ibadah puasa dan ibadah lain dalam bulan ramadhan ini. Sewajarnyalah saya gembira kerana masih dapat bernafas selepas melalui rawatan kanser yang menduga ketahanan, kesabaran dan kepatuhan insan yang kerdil kepada maha penciptanya.

Teringat pada tahun-tahun sebelum ini, di mana pada bulan yang mulia ini disamping menunaikan ibadah puasa dan solat terawih saya sibuk membuat biskut london almond untuk diberikan kepada saudara mara, kawan-kawan saya dan kawan-kawan anak. Buat bukan sikit tapi kadang-kadang sampai 16 adunan. Bayangkan proses yang dilalui dari membakar buah almond agar ianya ranggup, mengadun tepungnya, menggintil bulat-bulat dan kemudian di letak almond di dalamnya, membakar, mencelup dengan coklat, ditabur almond halus diatasnya dan akhirnya dimasukkan ke dalam bekas. Lain-lain biskut seperti cornflakes, biskut arab di buat dan ada juga biskut dibeli dari kawan-kawan.

Mulai tahun 2008, semua itu telah menjadi sejarah kerana saya telah di beri peluang sekali lagi untuk menikmati bulan ramadhan dan seharusnyalah digunakan dengan sebaik mungkin untuk Yang Maha Esa. Bermula dari tahun itu jugalah saya mula sepenuhnya menempah biskut dan kuih tradisional dari kawan-kawan. Setiap tahun saya memang tempah rempeyek dari seorang mak cik melalui kawan di pejabat. Rempeyeknya memang ranggup dan sedap dimakan. Semalam, apabila bertemu kawan tersebut, saya menyuarakan hasrat untuk menempah rempeyek mak cik tu. Terperanjat saya apabila kawan saya memaklumkan bahawa mak cik itu berada dalam koma di hospital Kuala Lumpur. Seorang kawan yang ada bersama mencelah secara selamba dan bergurau tanya bila agaknya mak cik itu akan full-stop?

Ajal maut, rezeki, jodoh tidak kita ketahui kecuali hanya dari Allah jua. Ada orang diberi peluang untuk hidup sekali lagi dan ada yang terus koma atau full-stop tanpa apa-apa amaran. Alhamdulillah saya telah diberi amaran dan juga kepada kanser survivors yang lain marilah kita gunakan peluang di bulan ramadhan yang mulia ini dengan menunaikan solat wajib dan sunat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah dan lain-lain untuk bekalan bertemu Yang Maha Pencipta nanti.

Kepada kawan-kawan yang masih sihat perlu juga mengambil ingatan. Ramadhan tahun ini kita bersama, tapi ramadhan tahun hadapan belum tahu lagi entah ke mana kita. Ayuh rebutlah peluang keemasan untuk beribadah di bulan ramadhan ini, semoga amalan kita diterima Allah. Insyaallah

No comments:

Post a Comment