Sunday, December 13, 2009

Nikmat Menjadi Seorang Wanita

Surah Amalan Ketika Mengandung

Istimewa Seorang Wanita

Tahun 2009 merupakan satu tahun yang sangat istimewa buat saya. Istimewa kerana saya telah berpeluang melihat dan merasakan pengalaman sakit melahirkan 'secara normal' tiga orang wanita iaitu anak, menantu dan isteri kepada anak saudara saya. Saya tidak berpeluang kerana melahirkan secara pembedahan.

Pada bulan Mei, setelah genap sembilan bulan beberapa hari, anak saya masuk hospital selepas waktu isyak kerana telah melalui kesakitan untuk melahirkan. Dengan ditemankan oleh suaminya dan saya, anak saya telah dimasukkan ke wad bersalin dan bermulalah episod sakit untuk melahirkan seorang insan ke dunia ini. Doktor suruh beliau disuntik dengan ubat penahan sakit tapi anak saya menolak kerana hendak merasa sakit bersalin dan juga kata beliau sakit2 ini akan mengugurkan dosa-dosa kecil. Melihat bagaimana gelisahnya anak saya menahan sakit tapi masih boleh meniti dibibirnya membaca doa-doa dan zikir.

Ya Allah betapa sukar dan sakitnya hendak melahirkan seorang manusia ke dunia ini. Sakitnya tidak tertahan lagi sehingga jam 3.00pagi dan akhirnya beliau bersetuju untuk disuntik ubat tahan sakit kerana menurut doktor jika tidak melahirkan pada jam 8.00 pagi, pembedahan terpaksa dilakukan. Alhamdulillah pada jam 8.00 pagi 'pembukaan' pada tahap 10 dan bayi lelaki selamat dilahirkan. Betapa indahnya kejadian Allah apabila mendengar tangisan pertama bayi tersebut. Selepas itu baru saya rasa badan sakit2 sebab apabila doktor suruh anak saya meneran/push saya pun turut sama merasakannya tapi tak apa kerana dapat cucu dan yang pertama dalam keluarga kami.

Tiba bulan Oktober, sekali lagi saya dan anak lelaki menemani isterinya ke hospital yang sama untuk bersalin. Kami lalui proses yang sama tapi menantu saya sempat mengambil ubat penahan sakit lebih awal. Walaupun mengambil ubat tersebut, menantu saya masih merasai kesakitan untuk melahirkan dan akhirnya beliau berjaya melahirkan anak perempuan iaitu cucu perempuan pertama kami pada jam hampir 2.00ptg. Alhamdulillah kerana dapat cucu lelaki dan cucu perempuan pada tahun 2009.

Kali ketiga, pada tanggal 11 Disember 2009, sedang saya membaca yaasiin kali kedua memohon agar Allah memudahkan urusan anak lelaki saya yang sedang menjalani temuduga pada jam 11.00 pagi di Pulau Pinang, talipon berbunyi. Rupa-rupanya panggilan dari isteri anak saudara saya Ida memaklumkan bahawa beliau telah berada di sebuah hospital swasta di Bangi kerana air ketoban dah keluar menandakan sudah tiba waktu untuk bersalin.Teringat saya pada permintaan suami Ida pada bulan November 2009 sebelum berlepas ke Adelaide, Australia untuk pengajian PHDnya meminta saya melihat dan membantu isterinya yang dijangka bersalin pada 25 Disember 2009.

Tanpa berlengah saya bergegas ke hospital dan terus membantu beliau yang kesakitan terlantar di atas katil. Doktor memaklumkan bahawa bayi dalam kandungan telah mula makan najis dan perlu dikeluarkan seberapa segera. Bayangkan kesakitan yang Ida lalui kerana 'pembukaan' baru 3 dan perlu 10 baru boleh melahirkan bayi. Beliau sungguh tabah kerana bayangkan hendak melahirkan anak tanpa suami disisi dan hanya ada saya. Walaupun jauh, suami Ida sempat talipon dan memberi perangsang kepada isterinya. Setiap kali kesakitan Ida akan memegang dengan kuat tangan saya. Terasa macam saya yang nak bersalin. Ya Allah betapa hebatnya kau jadikan wanita kerana dapat menahan sakit yang teramat sangat untuk melahirkan seorang khalifah ke dunia ini.

Anak ku
Ida dapat menahan sakit tanpa ambil ubat penahan sakit sehinggalah saat melahirkan.
Doktor dan jururawat turut membantu dan memberi perangsang untuk terus meneran/push dan akhirnya bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 3.45 petang. Alhamdulillah terpanca di muka Ida kegembiraan kerana selamat melahirkan dan dapat anak perempuan pulak tu. Mereka telah pun mempunyai dua anak lelaki.

Saya turut gembira dan merasa satu kepuasan kerana dapat membantu sedikit walaupun dalam keadaan saya yang masih menerima rawatan kanser. Saya berdoa semoga ketiga-tiga wanita hebat ini dapat mendidik anak mereka menjadi insan-insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Kepada bakal-bakal ibu, amalkan ayat-ayat Al Quran dan belajarlah senaman cara untuk teran/push agar senang dan mudah untuk bersalin. Sakit tetap sakit tapi sekurang-kurangnya apabila tahu teknik penafasan dan 'push' memudah dan melancarkan lagi proses bersalin. Insyaallah bayi dan ibu selamat.