Tuesday, August 6, 2013

Jualan Amal Kanwork tahun 2013

          
                 Sukarelawati sedang menyusun barang jualan 

Kerja-kerja amal atau kerja sukarela saya perhatikan belum sinonim dengan orang melayu di Malaysia. Maaf jika saya tersilap. Di dalam penglibatan saya dalam persatuan  dari tahun 80han lagi mendapati perkembangan penyertaan orang kita dalam kerja-kerja amal/sukarela tidak banyak perubahannya. Tidak ramai orang kita yang secara sukarela melibatkan diri dengan kerja-kerja amal kerana mungkin pulangannya tidak nampak di dunia ini.


             Hjh Zuraidah, cucu & anak istimewa beliau turut hadir

Pada 25 dan 26 Jun 2013, Kanwork  mengadakan jualan amal  kali ke enam dibawah kelolaan saya bagi mengisi tabung Persatuan Kanser Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Setiap tahun saya di bantu oleh kawan-kawan  seperti Hjh. Zuraidah, Rina, Zawiyah, Siti Rokiah,  Haslinah, Wan Azzudin, dan Noraini bertungkus lumus  mengusahakan jualan amal ini. Terasa dan terpanggil semacam satu tanggungjawab sosial untuk membantu mengisi tabung amal KanWork yang banyak memerlukan dana untuk menggerakkan aktiviti persatuan ini. Walaupun tidaklah berjuta-juta yang kami dapat tetapi yang penting pada saya ialah komitmen kami untuk mengisi tabung KanWork dan juga untuk menyebarkan kewujudan dan aktiviti membantu pesakit kanser oleh KanWork.

       
               Ahli KanWork yang membantu dalam jualan amal

Untuk menjalankan jualan amal ini memerlukan masa, kesabaran, duit, kesihatan dan kekuatan fizikal dan mental. Yang penting adalah kesungguhan kita untuk membantu menjayakan jualan amal ini tanpa syarat. . Proses persediaan untuk jualan amal ini panjang kerana terlebih dahulu, kita perlu war-warkan kepada ahli Kanwork, kawan-kawan untuk mendapat dan mengumpul barangan terpakai yang masih boleh dipakai dan dijual. Pengumpulan barangan ini mengambil masa berbulan-bulan. Kami kumpulkan barangan yang diperolehi di pejabat Kanwork, di rumah saya dan juga di pejabat saya. Selepas mengumpul barangan tersebut, kami buat sisihan/sorting untuk mengkategorikannya.   Kerja tidak habis di sini tetapi selanjutnya, kita perlu hubungi pehak Perbadanan Putrajaya untuk menyewa tapak jualan, meja dan kerusi pada tarikh jualan yang Perbadanan telah tetapkan.

      
              Pengunjung sedang sibuk memilih barangan jualan 

Tiba hari jualan, barang-barang perlu di angkut dari rumah, pejabat ke tapak gerai dan selepas itu, sekali lagi barangan perlu di sorting mengikut harga. Jualan barangan ini adalah pada harga yang berpatutan yang mampu dibeli oleh pengunjung. Target saya adalah kumpulan menengah dan bawah. Jika di luar negara seperti di Australia yang pernah saya lawati, saya dapati barangan dari kedai charity shoppe dapat sambutan yang tinggi dari penduduknya.

Jualan di Perbadanan kali ini adalah sempena adanya  Program Seminar tentang Wanita.  Gerai KanWork  bernasib baik kerana dikunjungi oleh  President Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat yang meluangkan beberapa minit untuk beramah mesra dengan kami.

       
 Pengunjung sedang sibuk mencari barang jualan yang memikat hati mereka

Ramai pengunjung ke gerai KanWork sampai ''tidak menang tangan'' kami hendak melayan mereka. Kebanyakkan pembeli adalah terdiri dari pekerja cleaner pejabat. Ada antara mereka yang berulang kali dating untuk membeli. Alhamdulillah, lebih 50 peratus barangan jualan dapat dijual. Baki barangan tersebut kami hantar ke Islamic Relief Malaysia Charity Shoppe di Bangi supaya mereka boleh jual dan masuk pada tabung untuk membantu orang Palestin. Semoga pahala para penyumbang berpanjangan. Insyaallah. Hasil jualan kali ini adalah sebanyak RM2600.00 tidak termasuk kos perbelanjaan seperti sewaan, makan minum, pengangkutan dll yang saya tanggung sendiri. Semoga apa yang sedikit kami lakukan ini di terima dan dapat ganjaran dari Allah SWT kelak. Ameen.


      
     Sukarelawan dan sukarelawati sedang mengemas barang jualan


Tuesday, July 23, 2013

Hjjh Ramlah dalam kenangan


 Allahyarhamah Hjh Ramlah semasa rawatan di IJN
  
 Pada tahun 2004, kami sekeluarga berhijrah ke Putrajaya. Pada masa yang sama, suami saya mencari tanah dan Alhamdulillah kami dapat membeli tanah di Tmn. Desa Sentosa. Bersyukur bukan sahaja dapat membeli tanah tersebut untuk kediaman kami tetapi juga mendapat jiran yang sangat baik budi pekerti mereka.

Hjh. Ramlah (HR) isteri kepada Hj. Talib (HT) bukan sahaja seorang jiran tetapi seperti kakak kepada kami. Seorang wanita yang lemah lembut dan sentiasa bersedia untuk mendengar dan membantu kami sekeluarga. Seronoknya ialah bagaimana  HR berjaya mendidek ke enam-enam anak mereka hingga kesemuanya berjaya menjejak kaki ke menara gading/universiti. Bukan itu sahaja, tetapi anak, menantu dan cucu beliau semuanya berbudi bahasa dan sentiasa bersatu hati didalam aktiviti yang keluarga mereka adakan. Suka kami melihat kesepakatan diantara mereka terjalin dan riuh rendah bila mereka berkumpul di hujung minggu. Masakan mereka jangan kira, sebab insyaalah makanan akan sampai ke rumah kami.  Paling sedap adalah sambal jawa, rendang itik, sambal terung pipit hjh. Ramlah yang tiada tolok bandingnya.

Bertuah HR kerana disamping anak-anak yang berjaya,  dua daripada cucunya sekarang sedang menuntut di sekolah Tahfiz, seorang lagi di sekolah pondok Kelantan. Suami hHR, Hj. Talib juga tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan sahabat karib, tempat rujukan dan mentor kepada suami saya. Setiap hari dengan menaiki motosikal HT akan solat berjemaah di surau atau masjid. Jika di taman kami ada kenduri beliaulah kendaratnya dengan sehelai tuala dibahunya memasak bersama-sama ahli taman yang lain. Jika ada kematian , Hj. Talib jugalah orangnya yang menghulurkan bantuan. Beliau merupakan specialist dalam menguruskan kubur di Tanah Perkuburan berdekatan dengan Taman kami. Dalam usia melebihi 70 tahun, beliau memang aktif dan masih menyumbang khidmat baktinya kepada masyarakat.

Bantuan yang dihulurkan kepada kami tidak pernah di minta balasan dari mula kami meminta bantuan untuk menjenguk tanah kami sebelum kami bina rumah lagi.Masih ingat lagi kata-kata haji Talib, "Jika nak beri duit sebagai upah, saya tidak mahu membantu" Tidak kira siang atau malam jiran kami ini bersedia untuk membantu kami. Ada ketika bila alarm rumah kami berbunyi, Haji talib lah orang pertama akan menalipon kami menanya kabar atau sudah tercegat di luar rumah kami untuk membantu.

Tarikh keramat iaitu tanggal 19 Julai 2013 kira-kira jam 8.30 malam, Hjh. Ramlah telah kembali ke rahmatullah di hospital Serdang, Selangor. Sebelum ini HR berada di Institut Jantung Negara kerana menjalani pembedahan. Selepas lebih kurang 40 hari di IJN, HR di pindahkan ke hospital serdang bagi memudahkan beliau untuk menjalani dialysis. Suami arwah HT cuba hubungi kami melalui handphone tetapi gagal kerana kami sedang menunaikan solat terawih di masjid Sungai Merab. Selepas solat terawih dalam pukul 10.30 malam. kami bergegas ke rumah arwah untuk mengemas dan membantu menyediakan tempat untuk menerima jenayah arwah HR. Kami anak beranak dan serta beberapa ahli keluarga HT sibuk mengeluarkan perabot, menyapu, mengemop lantai dan membentang tikar serta karpet. Pada masa itu lah ada pertanyaan yang dilontarkan kepada saya tentang lokasi meletak tilam untuk jenazah kerana pada masa itu saya adalah wanita paling senior disitu. Terperanjat saya dengan pertanyaan tersebut kerana menyedarkan saya bahawa saya dah tua dan dijadikan tempat untuk merujuk. Memang dah tua pun tetapi kadang-kadang lupa dek sibuk dengan aktiviti dunia. Dengan ilmu yang sedikit yang ada pada saya, "Kata saya, menghadap kiblatlah".Kami juga siapkan tempat untuk mandikan jenayah yang akan dilakukan pada pagi esok harinya.

Selepas siap tugas tersebut, suami meminta saya bertanya kepada salah seorang anak arwah tentang makanan sahur untuk keluarga mereka. Dalam keadaan terperanjat, celaru serta sedih kerana tidak menjangka bahawa ibunya secepat itu  telah kembali ke rahmatullah,Yan menyerahkan hal tersebut kepada kami. Maklumlah, pengalaman saya , kehilangan seorang ibu umpama kehilangan segala-galanya didunia ini. Dunia ni macam kosong.

Saya dan anak perempuan minta izin untuk balik dan terus masuk ke dapur untuk memasak apa yang ada bagi  meringankan beban jiran kami yang berada dalam kesedihan. Sementara itu, anak lelaki kami ke tanah perkuburan untuk membantu mengorek kubur kerana esok pagi jenazah akan dikebumikan.  Suami pula sedang  membantu di rumah HT kerana tahlil ringkas akan diadakan sejurus jenazah HR sampai kelak. Atas arahan suami, sambil memasak kami menyiapkan juga sedikit makanan di rumah kami untuk orang-orang yang menghadiri tahlil arwah.

Selepas menyediakan juadah untuk orang tahlil, saya kembali ke rumah HT untuk bacaan yaasiin sebab jenazah telah selamat sampai. Masuk aje rumah HT, saya berasa seronok apabila  melihat jenazah dikelilingi oleh anak, menantu, cucu dan saudara mara mereka yang sedang membaca yaasiin. Yang menarik perhatian saya adalah cucu lelaki dan perempuan arwah, pelajar tahfiz sedang membaca yaasiin sambil badannya bergerak ke depan dan ke belakang. Bestnya ya Allah. Terbayang pula macam manalah agaknya saya nanti jika terbujur kaku di ruang tamu?  Ramai ke yang akan membaca yaasiin untuk saya?  Entahlah.........Marilah kita sedekah Al-Fatihah dan  doakan semoga roh HR dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Ameen   

Alhamdulillah, jam 3.00 pagi kami mula menghidang makanan  dan menjemput ahli keluarga arwah yang datang secara bergilir-gilir untuk bersahur. Saya sarankan supaya mereka makan banyak sikit sebab esok pagi banyak lagi urusan dan tugas pengkebumian yang akan dijalankan. Jam 5.00 pagi saya mohon suami dan anak lelaki menunggu tetamu bersahur kerana kepala saya dah mula berpusing. Sempatlah rehat sekejap sebelum menunaikan solat subuh.

Pada pagi  tanggal 20 Julai 2013, jenazah  HR yang dikasihi dimandikan, dikapan dan disolatkan di rumah arwah sendiri. Lazimnya di taman kami, jenazah akan disembahyangkan di surau kami tetapi kali ini atas permintaan keluarga HT, jenazah disembahyangkan di ruang tamu rumah HT. Lebih kurang jam 9.00 pagi, jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk diasemadikan buat selamanya. Bertuahnya kerana  HR meninggal dalam bulan Ramadan dan upacara pengkebumian juga berjalan dengan lancar dan mudah serta diiringi dengan cuaca yang baik. Selepas HR dikebumikan, Ustaz meneruskan dengan bacaan Talkin. Tanpa disedari meleleh airmata keluar kerana  bacaan talkin itu sungguh  menusuk ke sanubari saya.

Sesungguhnya bacaan talkin tersebut menyedar dan  menginsafkan saya kerana akhirnya kita semua akan ke situ juga.  Terdetik  dalam hati ini, bila pula giliran saya agaknya untuk ditempatkan di dalam Tanah Perkuburan Islam, Teras Jernang ini? Hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Kita merancang tapi Allah SWT yang menentukannya.

Keluarga Bahagia Hj. Talib(T-Shirt Putih)/Arwah Hjh. Ramlah

Tuesday, July 9, 2013

Seminar on Discovery of Natural Products for Cancer Prevention - Nrf2 -mediated anti-oxidative Stress/inflamation Epigenetics and Efficacy

                       Penceramah sedang memberi syarahan

Saya berpeluang untuk menghadiri seminar Discovery of Natural Products for Cancer Prevention - Nrf2 - mediated Anti-Oxidative Stress/Inflamation Epigenetics and Efficacy di Fakulti Bioscience Universiti Putra Malaysia pada 5 Julai 2013. Seminar ini sangat menarik kerana penceramahnya sendiri yang membuat kajian ke atas natural products seperti brokoli, teh hijau , kacang soya, rempah kari dll.

Prof. Dr. Ah - Ng Tong Kong dari The State University Of New Jersey, United States Of America, di dalam seminar ini ingin berkongsi pengalaman hasil kajian beliau untuk manafaat bersama. Ilmu diperolehi dari seminar ini yang ingin saya kongsikan adalah seperti berikut:-

1. Sekiranya anda sedang menjalani rawatan di hospital seperti kimoterapi, radioterapi dll, janganlah campuradukkan dengan rawatan menggunakan Natural products sebab kemungkinan besar natural products tersebut akan memberi kesan keatas rawatan yang sedang dijalani.

                  Syarahan tentang kebaikan buah-buahan dll

2 Prevention is better than cure. Hasil kajian Prof. Dr. Ah - Ng Tong Kong menunjukkan bahawa makanan dan minuman berikut adalah baik untuk mencegah penyakit kanser.
a. Brokoli
b. Vitamin E ( palm oil)
c. Soya
d. Curminin/curry
e. Green Tea.
Selamat Mencuba. Cuba jangan tak cuba. Belum cuba belum tahu kesannya. Insyaallah!

                     Syarahan tentang kebaikan teh hijau

Thursday, April 25, 2013

Redha Dan Tawakal Menghadapi Cubaan ALLAH SWT

                  Dr.Abdullah Yasin sedang memberi syarahan

Pagi 20 April 2013 saya mengambil Kak Jah (kanser survivor berumur  68 thn) di tempat yang telah dijanjikan untuk ke Dewan Kuliah , Fakulti Perubatan, Universiti Putra Malaysia(UPM) untuk mendengar ceramah bertajuk: Redha dan Tawakal oleh ustaz Dr. Abdullah Yasin, anjuran KanWork(Persatuan Kanser Selangor dan Wilayah Persekutuan). Berikut saya titipkan ilmu yang saya dapat dari majlis ceramah tersebut.

Kehidupan orang beriman sentiasa berada di antara dua keadaan; iaitu senang dan susah. Kedua-dua keadaan itu bagi orang yang beriman adalah nikmat jika ia benar-benar yakin. Jika mendapat kesenangan ia akan syukur dan jika ditimpa kesusahan ia akan bersabar. Mukmin dan mukminat yang hakiki tidak akan putus asa walau bagaimana besarnya cubaan menimpanya kerana is yakin bahawa apapun yang melandanya semata-mata adalah ujian daripada Allah kepada hamba-hambanya.  Malahan tujuan Allah menjadikan mati dan hidup adalah semata-mata untuk menguji siapakah di antara kita yang paling baik amalnya seperti firman Allah dalam surah Al-Mulk (67:2)

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

Sekiranya demikian maksud ujian atau cubaan Allah, mengapa kita panik atau menggelabah menghadapi ujian dan dugaan?  Kalaulah kita yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah sudah termaktub dalam takdir Allah, mengapa kita perlu takut?

Kita semua mestilah menyerahkan segala urusan kepada Allah. Kita tidak sepatutnya berburuk sangka terhadap Allah bahawa ujian Allah itu akan membawa keburukan kepada empunya diri. Bahkan sebaliknya, iaitu besar kemungkinan cubaan itu membawa kebaikan yang besar bagi orang itu, seperti dalam firman Allah:

"Karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak " (Al-Nisa (4:19)

Orang yang beriman bukan sahaja memuji Allah atau bertahmid jika mendapat kesenangan atau kenikmatan tetapi mereka juga akan memuji Allah jika mendapat kesusahan. Hakikat ini dinyatakan
sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya: Daripada Aisyah r.a katanya: Adalah nabi s.a.w. jika mendapat berita yang menyenangkan lalu baginda berkata:
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya maka sempurnalah segala kebaikan."
Jika baginda menerima berita yang tidak menyenangkan maka baginda berkata:
"Segala pujian bagi Allah di atas  segala keadaan. (HR. Ibn Majah dalam kitab: Fadhilat memuji Allah).

Diriwayatkan bahawa para sahabat akan bertahmid mengucapkan, Alhamdulillah sebanyak empat kali jika mereka mendapat cubaan daripada Allah. Mereka yakin bahawa disebalik cubaan/dugaan tersebut terdapat empat jenis nikmat yang besar iaitu:
1.  Musibah sebagai pertanda Allah sayang kepadanya.
2. Musibah sebagai pelupus dosa-dosanya.
3.  Dengan musibah ia berpeluang untuk sabar.
4.  Musibah yang menimpa hanya musibah dunia, bukan musibah agama.

Firman Allah dalam Al-Syarh (94:5-6):
"Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudaha."

Maksud ayat ini: Jika kita ditimpa satu kesusahan tertentu maka kita bakal diberi oleh Allah kesenangan yang banyak.  Di tambah pula hakikat ini diulang oleh Allah lafaznya sebanyak dua kali untuk meyakinkan lagi kepada kita bahawa ia sesuatu yang pasti dan Allah tidak pernah memungkiri janjinya.   

Jika ditanya apakah motif atau tujuan sesuatu musibah menimpa seseorang? Ulamak aqidah menyimpulkan terdapat tiga motif mengapa musibah diturunkan Allah, iaitu:

1.   Musibah Balasan
      Maksudnya: Jika seseorang itu sering melakukan kejahatan maka sebagai balasan terhadap  
      perbuatan jahatnya maka Allah timpakan bancana atau kesusahan keatasnya.
2.   Musibah Ujian
      Maksudnya: Jika seseorang itu baik dan taat kepada Allah dan banyak melakukan amal soleh,
      namun dia juga ditimpakan bencana atau musibah, maka musibah jenis ini bertujuan untuk       
      menguji kesabarannya.
3.   Musibah Pendidikan
      Maksudnya:  Jika seseorang itu ditimpa Allah ujian demi ujian silih berganti semata-mata  
      bertujuan untuk mendidiknya agar menjadi manusia yang cekal dan tabah dalam mengharungi 
      kehidupan yang serba mencabar.

                Peserta sedang khusyuk mendengar syarahan

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya:
Ya Rasulullah, manusia yang manakah yang paling banyak diuji?
Baginda menjawab: Para Nabi.
Kemudian sahabat bertanya lagi:
Kemudian siapa lagi?
Nabi s.a.w. menjawab: Orang-orang soleh.
Seterusnya baginda meneruskan sabdanya:

"Kemudian musibah ditimpakan seimbang dengan kedudukan agama seseorang. Jika ia orang yang kuat pegangan agamanya maka akan ditambah dugaan ke atasnya, jika ia orang yang longgar pegangan agamanya, maka akan diringankan pula ujian keatasnya. (HR. Ahmad, Ibn Majah, Tarmidzi daripada Saíd Bin Abi Waqqas"

Salah satu dari rukun iman yang enam adalah iman kepada takdir Allah, apakah takdir yang baik atau takdir yang buruk. Orang yang mantap imannya akan redha sentiasa dengan takdir atau ketentuan Allah.

Dari Anas Bin Malik r.a., katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya besarnya ganjaran bergantung pada besarnya dugaan, dan sesungguhnya jika Allah mencintai seuatu kaum maka Dia timpakan ujian ke atas mereka, siapa yang redha maka untuknya keredhaan Allah, dan siapa yang murka maka untuknya pula kemurkaan Allah. (HR Tarmidzi (2397) - Derjatnya Hasan).

Dari Syaddad r.a bahawa Allah telah berfirman dalam hadis qudsi:
"Jika aku menguji hamba daripada hamba-hambaku yang beriman, lalu ia bertahmid (mengucapkan AL-HAMDULILLAH)  ke atas apa yang aku uji itu, maka sesungguhnya seluruh dosanya dihapuskan sehingga dia bangun dari tempat tidurnya bagaikan ia baru dilahirkan oleh ibunya. (HR Ahmad-Sanadnya Hasan)

Tawakkal adalah gambaran tentang sandaran hati seseorang kepada pihak yang diwakilkannya. Dalam hal ini kita sebagai insan yang beriman benar-benar yakin bahawa tiada yang boleh berbuat sesuatu selain Allah, dan kita juga yakin bahawa ilmunya Maha Luas, Kuasa dan Kasih-Sayangnya Maha Sempurna. Kelebihan atau fadhilat Tawakkal, antaranya adalah seperti berikut:

"Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluannya)
Al-Thalaq (65:2-3)

Daripada anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kerana kesusahan yang menimpanya; Jika ia terpaksa berbuat demikian maka hendaklah ia berdoa begini:

"Ya Allah, hidupkanlah aku (panjangkan umurku) sekiranya kehidupan itu (perpanjangan umurku itu) membawa kebaikan bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu membawa kebaikan bagiku." (HR Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Selepas tamat ceramah oleh Ustaz Dr. Abdullah Yasin, kami kanser survivors berkumpul didalam bilik kuliah KanWork untuk sesi kumpulan sokongan bagi memberi sokongan, perkongsian pengalaman dan sokongan moral  kepada pesakit-pesakit baru kanser yang masih dalam keadaan "trauma''. Kumpulan ini bernasib baik kerana dalam sesi tersebut, Prof. Dr. Norlia (pakar kanser payudara dan Reconstruction payudara HUKM) turut hadir bagi menjawab soalan-soalan dikemukakan oleh kumpulan ini.

Ingin saya berkongsi di blog ini tentang pemeriksaan payudara. Salah seorang pesakit baru berkongsi pengalaman beliau yang pergi buat mamogram tetapi masih tidak dapat dikesan ada kanser sebab kanser tersebut menyorok di belakang lemak-lemak dipayudaranya. Hanya dengan pemeriksaan lanjut (Pet Scan) barulah beliau dapat mengesan kanser dipayudaranya. Oleh itu nasihat saya kepada wanita di luar sana, hati-hati dan buatlah pemeriksaan payudara apabila terasa ada keanihannya di payudara dan anggota anda  Precaution is better than cure..

Monday, April 22, 2013

Lawatan ke Rumah Anak Yatim Darul Atiq,, Selangor

Taman Desa Sentosa (TDS) sepertimana namanya, begitulah hidupnya penghuni taman ini dalam keadaan sentosa dan dalam  rahmat dari Yang Maha Esa. Kerjasama antara penduduk taman terjalin dan dipereratkan lagi dengan adanya aktiviti-aktiviti anjuran biro aktiviti masing-masing.
Biro wanita TDS yang diketuai oleh seorang ustazah telah banyak menganjur program/aktiviti seperti kelas feqah pada setiap hari jumaat, kelas tafsir AlQuran pada setiap bulan, pertandingan bowling dan terbaru adalah lawatan ke rumah anak yatim/miskin Darul Atiq di Kg. Melayu Rasa, Batu 341/2,Selangor. Selangor pada 21 April 2013.

Sebelum lawatan, persediaan telah di maklum dan di buat oleh AJK biro ini. Antaranya adalah mewar-warkan kepada penduduk TDS dan kawan-kawan yang ingin menyumbang untuk rumah anak yatim ini,. Di samping itu, sumbangan berupa makanan dan lain-lainnya juga dialu-alukan. Semua barangan dikumpul di rumah ketua biro wanita.
 


Rombongan Wanita Desa Sentosa

 
Untuk makluman, pengasas Darul Atiq adalah Ustaz Ghazali Hasbullah yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2011. Pusat ini dibangunkan pada tahun 1982 dan memerlukan perbelanjaan RM 1,000.00 sehari untuk menampong keperluan mereka.  Pusat ini berjalan atas bantuan dan pertolongan dari orang ramai. Pusat ini menempatkan anak yatim, anak nakal anak tidak berkeluarga, remaja terlanjur, ibu tunggal, sakit mental dan  warga emas Pada masa sekarang, Darul Atiq ini diuruskan oleh anak-anak Allahyarham. Anak-anak di sini, di bimbing dan di didik supaya dapat membina peribadi mereka selaras dengan ajaran islam.

Pada 21/4/13, kami diarahkan supaya berkumpul di rumah ketua biro pada jam 7.30 pagi untuk membantu mengangkat barangan hasil sumbangan penduduk TDS dan kawan-kawan ke dalam  bas yang akan bertolak pada jam 8.00pagi. Kami sungguh bertuah kerana tokey bas adalah salah seorang penduduk TDS dan mudahlah AJK biro berurusan tentang pengangkutan. Terima kasih kepada Pn. Sal.
 

Sumbangan Barangan


Pada jam 10pagi kami sampai dan di sambut oleh ustaz yang menjaga rumah Yatin tersebut. Sementara itu anak-anak yatim lelaki, ibu tunggal, warga emas, penghuni yang ada gangguan mental telah menanti untuk menyambut kami di dewan terbuka.Bila bas sampai sahaja, ustaz minta penghuni disana mengangkat barangan sumbangan yang kami bawa bersama.

Majlis dimulakan dengan ucapan dari ustaz dan memberi taklimat tentang rumah Anak Yatim ini. Ucapan balas diteruskan oleh  ketua biro kami ustazah Nor  dan selepas itu diadakan majlis serah-terima  sumbangan kepada ustaz dan anak-anak yatim.  Alhamdulillah Biro wanita TDS berjaya mendapat sumbangan sebanyak RM 11,276.20 (sebelas ribu dua ratus tujuh puluh enam ringgit dua puluh sen) tidak termasuk barangan yang disumbangkan oleh insan yang budiman serta dermawan.

Anak Yatim Lelaki

Anak Yatim Wanita(Berhijab Hitam)

Selepas itu, kami  dihiburkan dengan qasidah oleh penghuni rumah yatim ini. Hampir jam 12.00 tghari, kami bertolak ke cawangan rumah anak yatim tersebut (Madrasah Raudatul Ulum)  yang menempatkan kaum wanita seramai 40 orang dari umur 9 tahun sehingga 25 tahun. Mereka terdiri dari anak yatim, remaja terlanjur ,wanita untuk pemulihan akhlak dan sebagainya. Kami di beri taklimat oleh ustaz Rizam bin Ghazali dan selepas solat zohor kami bersalaman dan berdakapan dengan wanita penghuni madrasah ini. Semasa bersalaman dan memeluk wanita-wanita ini, saya tiba-tiba rasa hiba dan  menitiskan air mata kerana sedih melihat nasib mereka dan mengenangkan nasib anak cucu kita. Mudah-mudahan Allah SWT pelihara dan pertingkatkan iman kita hingga ke akhir hayat.

Sesungguhnya lawatan ini menyedarkan kami tentang nikmat yang Allah berikan kepada kami dan seharuslah kita berkongsi sedikit untuk mereka yang memerlukan. Kepada pembaca blog ini yang ingin menderma atau bersedekah, bolehlah hubungi:

Pusat Tarbiah Islamiyah Darul Atiq'
Kg. Melayu Rasa, Batu 341/2
44200 Hulu Selangor,
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 03-60574869
H/P 019-3298799

Untuk renungan bersama:

KELEBIHAN BERSEDEKAH

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh”
(Al-Munafiquun : 10)

PERBANDINGAN SEDEKAH MENURUT AL-QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". (Al-Baqarah : 261)

DIPANJANGKAN UMUR & MENCEGAH AJAL YANG BURUK

Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" (H.R. Tabrani)

MENOLAK BALA BENCANA

Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" (H.R Al-Baihaqi)

SELAGI  PELUANG MASIH ADA…

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu (H.R Al-Bukhari).


Friday, April 19, 2013

Demam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

   Majlis Penyampaian Augerah Perkhidmatan Cemerlang

Bagi kakitangan kerajaan pada setiap tahun ada pencalonan Augerah Perkhidmatan Cemerlang(APC) dan pada bulan April akan keluar keputusan siapa yang akan dapat anugerah tersebut. Sejak anugerah ini diperkenalkan, apabila tiba masa menerima keputusan siapa yang dapat APC itu, sudah pasti ada kakitangan yang tidak dapat,  berbunyi. Menurut cerita dari kawan saya di pejabatnya,  Berbunyi tu tak apa jika untuk diri sendiri tetapi berbunyi/ menyuarakan dan mempertikaikan  kenapa Tn. S tak dapat sedangkan Tn. S tu sendiri  tak bising pun. Lagi pun kata kawan saya,  bos dah tanya dengan Tn. S tu yang tidak kisah sebab telahpun dapat APC pada tahun 2008 serta baru dinaikkan pangkat lagi . Imagine, Tn. S tu yang orangnya berhemah tinggi, berbudi bahasa, sabar,  merendah diri, tidak pernah tolak permohonan untuk membantu orang, telah naik pangkat beberapa kali (lebih 5 kali) dan telah juga dapat APC. Itu lah namanya pegawai yang budiman dan murah rezeki dari Yang Maha Esa.

Begitulah kelazimannya berlaku di tempat  kerja/pejabat, mengikut cerita kawan saya. Kakitangan yang tak dapat APC merajuk dan memperli yang dapat APC. Kawan yang dapat APC naik segan, malu dan terasa/terguris hati atas tindak tanduk mereka. Bukan itu sahaja, suasana pejabat pun dah jadi tak harmoni, tidak mesra seperti dulu.  Kumpulan tak dapat APC ini, mereka put up a cold shoulders and give one kind of look. Very very funny and saya sungguh hairan melihat gelagat kakitangan yang tak dapat APC  berkelakuan begitu rupa. Bukan pangkat rendah tapi yang pangkat tinggi gred 52, 48, 44, ...yang pernah dapat APC serta dah lama bertugas dalam jabatan.. Mereka tidak ada rasa malu pada pegawai bawahan yang melihat tindak tanduk mereka hanya kerana tidak dapat APC. Malah pegawai yang bukan berbangsa melayu juga turut memerhatikan gelagat kita semua yang tidak mencerminkan  kecantikan agama islam.

 Penerima APC berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan

Kononnya kata kawan saya, kumpulan yang tak dapat APC ini memperjuangkan hak pegawai lain yang tak dapat APC.  Kumpulan yang bising-bising ni bukan tak pernah dapat, ada diantaranya yang dah  pernah dapat APC pun  tapi  perasaan apa yang telah menghantui mereka, tak tahulah! Hati kena bersih dan jika terkena hati yang sakit, perbanyakkanlah berzikir dan mengingati Allah SWT. Pelik juga ya, sebab pegawai-pegawai yang dapat APC itu pun adalah kawan mereka, in fact best friend, makan bersama, bergurau senda bersama, ada yang  tidur sebilik bila bertugas outstation.  Sepatutnya kita gembira dan ucap tahniah kepada kawan kita yang  dapat APC. Salah seorang    yang dapat APC ini adalah dari gred 48  yang pernah dapat APC pada tahun 2000 dan memang layak dapat lagi sebab hasil kerjanya cemerlang dan boleh beri ceramah serta  aktif dalam persatuan. Pendek kata, serba boleh lah! Tak kiralah pegawai dari  unit mana atau cawangan mana tetapi tetap bawah satu bahagian dalam satu jabatan.  Tak kan lah kerana se keping sijil APC dan wang sebanyak RM 1,000.00 boleh hilang pertimbangan dan mengugat serta mencalar  perhubungan, pertalian baik antara kawan ( saya tak guna sahabat sebab ciri-ciri sahabat nabi Muhammad SAW  belum nampak dan belum menyerlah lagi di kalangan kita).Itulah namanya godaan dunia dan syaitan yang mudah masuk ke dalam sanubari manusia yang alpa dan lupa diri. Tanyalah pada diri sendiri, kenapa kita dijadikan/dilahirkan di dunia ini dan mengapa kita pergi bekerja, untuk apa semuanya?  Untuk kepuasan diri atau untuk Allah SWT. Yang pasti nanti soal dalam kubur tak di tanya pun samada pernah dapat APC, yang kita semua sibuk dan bising-bisng setiap kali keputusan APC dimaklumkan.

Sambong cerita kawan saya, Bagi pegawai yang belum dapat lagi APC untuk  kali pertama,  kedua atau seterusnya, pujuk lah hati sendiri dengan mengingatkan diri sendiri yang  kita kerja kerana Allah SWT dan giliran menerima APC akan sampai juga jika ada rezeki.  Nak buat macam mana sebab nama dah dicalonkan tapi di tolak oleh peringkat atasan. Pasti mereka yang jadi bos kita, tahu dan boleh baca yang tersirat pada pegawainya  berdasarkan pemerhatian ke atas  kerja,. gerak geri,, mimik muka  dan sebagainya. Apa lah susah sangat, jika bos tersalah pilih, nanti dia tanggunglah di akhirat kelak. Jangan pening memikirkan pasal kenapa orang tu tak dapat  tapi tengoklah pada diri sendiri dan jaga diri sendiri, kan lebih baik.?  Terima sahajalah keputusan APC dengan hati yang lapang dan insyaallah giliran akan sampai jua sebab jika panjang umur, masih  dalam perkhidmatan, satu hari nanti akan tibalah giliran kita untuk dapat APC, jika tidak sudah pasti ada ganjaran lain dari Yang Maha Pencipta.

Bukan tujuan saya untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk. Saya pernah dapat anugerah kualiti di Perak(1991) semasa bertugas sebagai ketua cawangan di Ipoh Cargo Terminal dan APC sebanyak tiga kali semasa bekerja sebagai ketua cawangan di CDN dan sebagai ketua Bahagian Pengurusan di Johor.  Nak cerita aje yang sebahagian duit APC yang saya dapat tu saya sumbangkan ke tabung persatuan jabatan dan sebahagian belanja kawan-kawan sekerja  makan. Waktu itu pegang jawatan sebagai penolong pengarah dan menerajui ketua cawangan tidak ada elaun-elaun macam gred 44 sekarang. Kadang-kadang kena keluar duit poket sendirilah jika nak pejabat kita cantik dan bila kena masuk pertandingan-pertandingan seperti KMK, kualiti dll.

Seperti kata kawan saya (seorang Dato yang satu-satunya di Malaysia ini menolak tawaran jawatan JUSA) , nanti bila mati dan di tanya tentang amalan dan bekalan kita semasa bekerja di pejabat, rupa-rupanya tidak ada sebab kita bekerja bukan kerana Allah SWT tetapi kerana hendak dapat pangkat, APC dan sebagainya.  Kita hidup tak lama mana pun, sekarang ada, masih bernafas, sesaat lagi belum tahu, belum tentu!. Saya mengingatkan diri saya dan kawan-kawan yang membaca blog ini, renungilah, fikirkanlah dan hayatilah firman-firman di bawah:

Allah membentangkan rezeki seluruh makhluk-Nya dan menentukan kadar atau ukuran yang diterima masing-masing mereka, sebagaimana firman-Nya :
اللّهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاء وَيَقَدِرُ وَفَرِحُواْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ مَتَاعٌ
Artinya : “Allah meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).” (QS. Ar Ra’du : 26)

Surah Ibrahim, ayat 7 .Artinya : “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih"

Surah Al An'am ayat 44 : Artinya : “Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, Maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.”

KITA MERANCANG, MENCADANG TETAPI YANG MENENTUKAN ADALAH ALLAH SWT!

Fikir-fikirkanlah sebelum terlambat dan terlewat!

Monday, April 15, 2013

Semalam ada, hari ini tiada

Tanggal 6 April adik ipar saya  mengadakan majlis sambut menantu di sebuah dewan berdekatan dengan rumahnya di Gombak. Saya di minta membantu menyambut rombongan pengantin perempuan pada kira-kira jam 12.30 tengahari hari berkenaan. Pada kira-kira jam 11pagi kanmi dah berkumpul di dewan tersebut bersedia untuk membantu bagi kelancaran   majlis. Jam 12 tgh tetamu mula datang dan pada jam 12.30tgh rombongan pengan peremuan tiba. Kami menyambut mereka dan menjemput ke meja tetamu yang telah disediakan. Majlis berjalan lancar dan selesai kira-kira jam 4.00ptg. Alhamdulillah, semasa kami mengemas dewan,  angin kencang dan hujan lebat turun. Kira-kira jam 5.45ptg kami semua beredaru dan pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan keletihan sehari bertugas di majlis tersebut. Walaupun penat tapi kami gembira kerana majlis berjalan dengan lancar.
walimatulurus MOhd Nizam adik kepada arwah Affandi
 Pada pagi 7 April kira-kira jam 7.30 pagi saya dapati ada missed call dari dua orang adik ipar saya. Tanpa berlenggah saya call mereka dan dimaklumkan bahawa  pada pagi hari ini anak lelaki sulung  adik ipar perempuan saya yang semalam menerima menantu perempuan  telah kembali ke rahmatullah. Saya dimaklumkan bahawa, hasil pemeriksaan doktor mendapati arwah affendi yang berumur 31 tahun diserang penyakit jantung dan meninggal dunia dalam tidor. Tinggallah isteri yang masih muda dan seorang anak lelaki yang berumur 4 tahun. Pemergian affendi secara mengejut tanpa ada apa-apa signal memeranjatkan kami semua lebih-lebih lagi isteri, anak dan ibubapanya. Mereka kelihatan sugul dan  dalam keadaan trauma.

Itu lah kehendak Allah SWT. Semalam kami gembira menerima ahli baru dalam keluarga dan hari ini tiba-tiba kami kehilangan seorang ahli keluarga.  Kita merancang tetapi yang menentukan adalah Yang Maha Esa.  Sebagai seorang islam kita bersyukur atas apa yang terjadi. Semuanya ada hikmah. Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya. Teringat saya pada hari semalam semasa bertugas di majlis perkahwinan adik arwah bernama Nizam dan pasangannya bernama Ira, saya sempat menegur arwah yang memakai brooch besar sebagai butang pada baju melayunya yang berwarna merah. Kata arwah brooch ini pinjam dan isteri beliau yang kebetulan berada disebelahnya. Kebetulan pada hari itu, anak lelaki arwah asyik merengit dan sentiasa hendak mendampingi bapanya seolah-olah tahu yang bapanya akan meninggalkannya buat selama-lamanya. Pada hari tersebut arwah kelihatan begitu aktif dan ceria dan tidak menampakkan akan meninggalkan kami semua buat selama-lamanya.

Semasa sampai di rumah Tinah (adik ipar), kelihatan jenayah yang telah diselimuti kain batik telah terbujur di ruang tamu dan dikelilingi oleh sahabat handai yang sedang membaca yaasiin. Saya mengucapkan takziah kepada Tinah dan suaminya dan mohon mereka  tabah serta bersabar diatas dugaan ini. Saya kagum dengan Tinah yang kelihatan begitu tenang dan tabah tetapi suaminya yahya walaupun tenag tetapi kelihatan tidak berdaya/bertenaga untuk bergerak. Memandangkan yaasiin telah tersedia di atas meja, saya pun mencapainya dan terus membaca untuk sedekah kepada arwah, semoga Allah mencucuri rahmat  ke atas roh beliau.
.
 Selesai membaca yaasiin saya ke dapor untuk membantu apa-apa yang patut. Maklumlah waktu makan tengahari dan anak-anak kecil kelihatan  keluar masuk dapor mencari makanan.   Memandangkan semua dalam keadaan dukacita  untuk dibawa berbincang, saya minta anak dan menantu  saya belikan makanan untuk makan tengahari  keluarga.

Ramai saudara-mara/sahabat hadir dan kira-kira jam 3.30 petang jenazah di bawa ke masjid untuk di mandi dan disembahyangkan. Selepas solat asar, jenayah dibawa ke kubur untuk disemadikan. Di tanah perkuburan adik arwah (semalam jadi raja sehari) sedang dalam proses terakhir  mengorek lubang kubur untuk abang yang dikasihi.
Perkhidmatan terakhir Adik Untuk seorang Abang
Jenazah Arwah Affandi

Isteri sedang meyiram air mawar

Apalah kuasa yang ada pada kita. Kita adalah makhluknya. Kita dijadikan atas kehendak Yang Maha Esa. Termenung saya memikirkan pemergian arwah yang masih muda dan  begitu mudah perjalanannya. Semalam ada dan hari ini sudah lenyap dari panda
ngan buat selama-lamanya. Terfikir saya betapa susahnya hendak membesarkan seorang  anak tetapi dengan sekelip mata telah diambil oleh Yang Maha Kuasa. Alhamdulillah, arwah affendi telah menemui Allah SWT dan bila pula giliran kita?  Sudah kah kita bersedia untuk menemui Maha Pencipta!