Monday, April 22, 2013

Lawatan ke Rumah Anak Yatim Darul Atiq,, Selangor

Taman Desa Sentosa (TDS) sepertimana namanya, begitulah hidupnya penghuni taman ini dalam keadaan sentosa dan dalam  rahmat dari Yang Maha Esa. Kerjasama antara penduduk taman terjalin dan dipereratkan lagi dengan adanya aktiviti-aktiviti anjuran biro aktiviti masing-masing.
Biro wanita TDS yang diketuai oleh seorang ustazah telah banyak menganjur program/aktiviti seperti kelas feqah pada setiap hari jumaat, kelas tafsir AlQuran pada setiap bulan, pertandingan bowling dan terbaru adalah lawatan ke rumah anak yatim/miskin Darul Atiq di Kg. Melayu Rasa, Batu 341/2,Selangor. Selangor pada 21 April 2013.

Sebelum lawatan, persediaan telah di maklum dan di buat oleh AJK biro ini. Antaranya adalah mewar-warkan kepada penduduk TDS dan kawan-kawan yang ingin menyumbang untuk rumah anak yatim ini,. Di samping itu, sumbangan berupa makanan dan lain-lainnya juga dialu-alukan. Semua barangan dikumpul di rumah ketua biro wanita.
 


Rombongan Wanita Desa Sentosa

 
Untuk makluman, pengasas Darul Atiq adalah Ustaz Ghazali Hasbullah yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2011. Pusat ini dibangunkan pada tahun 1982 dan memerlukan perbelanjaan RM 1,000.00 sehari untuk menampong keperluan mereka.  Pusat ini berjalan atas bantuan dan pertolongan dari orang ramai. Pusat ini menempatkan anak yatim, anak nakal anak tidak berkeluarga, remaja terlanjur, ibu tunggal, sakit mental dan  warga emas Pada masa sekarang, Darul Atiq ini diuruskan oleh anak-anak Allahyarham. Anak-anak di sini, di bimbing dan di didik supaya dapat membina peribadi mereka selaras dengan ajaran islam.

Pada 21/4/13, kami diarahkan supaya berkumpul di rumah ketua biro pada jam 7.30 pagi untuk membantu mengangkat barangan hasil sumbangan penduduk TDS dan kawan-kawan ke dalam  bas yang akan bertolak pada jam 8.00pagi. Kami sungguh bertuah kerana tokey bas adalah salah seorang penduduk TDS dan mudahlah AJK biro berurusan tentang pengangkutan. Terima kasih kepada Pn. Sal.
 

Sumbangan Barangan


Pada jam 10pagi kami sampai dan di sambut oleh ustaz yang menjaga rumah Yatin tersebut. Sementara itu anak-anak yatim lelaki, ibu tunggal, warga emas, penghuni yang ada gangguan mental telah menanti untuk menyambut kami di dewan terbuka.Bila bas sampai sahaja, ustaz minta penghuni disana mengangkat barangan sumbangan yang kami bawa bersama.

Majlis dimulakan dengan ucapan dari ustaz dan memberi taklimat tentang rumah Anak Yatim ini. Ucapan balas diteruskan oleh  ketua biro kami ustazah Nor  dan selepas itu diadakan majlis serah-terima  sumbangan kepada ustaz dan anak-anak yatim.  Alhamdulillah Biro wanita TDS berjaya mendapat sumbangan sebanyak RM 11,276.20 (sebelas ribu dua ratus tujuh puluh enam ringgit dua puluh sen) tidak termasuk barangan yang disumbangkan oleh insan yang budiman serta dermawan.

Anak Yatim Lelaki

Anak Yatim Wanita(Berhijab Hitam)

Selepas itu, kami  dihiburkan dengan qasidah oleh penghuni rumah yatim ini. Hampir jam 12.00 tghari, kami bertolak ke cawangan rumah anak yatim tersebut (Madrasah Raudatul Ulum)  yang menempatkan kaum wanita seramai 40 orang dari umur 9 tahun sehingga 25 tahun. Mereka terdiri dari anak yatim, remaja terlanjur ,wanita untuk pemulihan akhlak dan sebagainya. Kami di beri taklimat oleh ustaz Rizam bin Ghazali dan selepas solat zohor kami bersalaman dan berdakapan dengan wanita penghuni madrasah ini. Semasa bersalaman dan memeluk wanita-wanita ini, saya tiba-tiba rasa hiba dan  menitiskan air mata kerana sedih melihat nasib mereka dan mengenangkan nasib anak cucu kita. Mudah-mudahan Allah SWT pelihara dan pertingkatkan iman kita hingga ke akhir hayat.

Sesungguhnya lawatan ini menyedarkan kami tentang nikmat yang Allah berikan kepada kami dan seharuslah kita berkongsi sedikit untuk mereka yang memerlukan. Kepada pembaca blog ini yang ingin menderma atau bersedekah, bolehlah hubungi:

Pusat Tarbiah Islamiyah Darul Atiq'
Kg. Melayu Rasa, Batu 341/2
44200 Hulu Selangor,
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 03-60574869
H/P 019-3298799

Untuk renungan bersama:

KELEBIHAN BERSEDEKAH

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh”
(Al-Munafiquun : 10)

PERBANDINGAN SEDEKAH MENURUT AL-QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". (Al-Baqarah : 261)

DIPANJANGKAN UMUR & MENCEGAH AJAL YANG BURUK

Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" (H.R. Tabrani)

MENOLAK BALA BENCANA

Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" (H.R Al-Baihaqi)

SELAGI  PELUANG MASIH ADA

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu (H.R Al-Bukhari).


No comments:

Post a Comment