Dr.Abdullah Yasin sedang memberi syarahan
Pagi 20 April 2013 saya mengambil Kak Jah (kanser survivor berumur 68 thn) di tempat yang telah dijanjikan untuk ke Dewan Kuliah , Fakulti Perubatan, Universiti Putra Malaysia(UPM) untuk mendengar ceramah bertajuk: Redha dan Tawakal oleh ustaz Dr. Abdullah Yasin, anjuran KanWork(Persatuan Kanser Selangor dan Wilayah Persekutuan). Berikut saya titipkan ilmu yang saya dapat dari majlis ceramah tersebut.
Kehidupan orang beriman sentiasa berada di antara dua keadaan; iaitu senang dan susah. Kedua-dua keadaan itu bagi orang yang beriman adalah nikmat jika ia benar-benar yakin. Jika mendapat kesenangan ia akan syukur dan jika ditimpa kesusahan ia akan bersabar. Mukmin dan mukminat yang hakiki tidak akan putus asa walau bagaimana besarnya cubaan menimpanya kerana is yakin bahawa apapun yang melandanya semata-mata adalah ujian daripada Allah kepada hamba-hambanya. Malahan tujuan Allah menjadikan mati dan hidup adalah semata-mata untuk menguji siapakah di antara kita yang paling baik amalnya seperti firman Allah dalam surah Al-Mulk (67:2)
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
Sekiranya demikian maksud ujian atau cubaan Allah, mengapa kita panik atau menggelabah menghadapi ujian dan dugaan? Kalaulah kita yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah sudah termaktub dalam takdir Allah, mengapa kita perlu takut?
Kita semua mestilah menyerahkan segala urusan kepada Allah. Kita tidak sepatutnya berburuk sangka terhadap Allah bahawa ujian Allah itu akan membawa keburukan kepada empunya diri. Bahkan sebaliknya, iaitu besar kemungkinan cubaan itu membawa kebaikan yang besar bagi orang itu, seperti dalam firman Allah:
"Karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak " (Al-Nisa (4:19)
Orang yang beriman bukan sahaja memuji Allah atau bertahmid jika mendapat kesenangan atau kenikmatan tetapi mereka juga akan memuji Allah jika mendapat kesusahan. Hakikat ini dinyatakan
sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya: Daripada Aisyah r.a katanya: Adalah nabi s.a.w. jika mendapat berita yang menyenangkan lalu baginda berkata:
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya maka sempurnalah segala kebaikan."
Jika baginda menerima berita yang tidak menyenangkan maka baginda berkata:
"Segala pujian bagi Allah di atas segala keadaan. (HR. Ibn Majah dalam kitab: Fadhilat memuji Allah).
Diriwayatkan bahawa para sahabat akan bertahmid mengucapkan, Alhamdulillah sebanyak empat kali jika mereka mendapat cubaan daripada Allah. Mereka yakin bahawa disebalik cubaan/dugaan tersebut terdapat empat jenis nikmat yang besar iaitu:
1. Musibah sebagai pertanda Allah sayang kepadanya.
2. Musibah sebagai pelupus dosa-dosanya.
3. Dengan musibah ia berpeluang untuk sabar.
4. Musibah yang menimpa hanya musibah dunia, bukan musibah agama.
Firman Allah dalam Al-Syarh (94:5-6):
"Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudaha."
Maksud ayat ini: Jika kita ditimpa satu kesusahan tertentu maka kita bakal diberi oleh Allah kesenangan yang banyak. Di tambah pula hakikat ini diulang oleh Allah lafaznya sebanyak dua kali untuk meyakinkan lagi kepada kita bahawa ia sesuatu yang pasti dan Allah tidak pernah memungkiri janjinya.
Jika ditanya apakah motif atau tujuan sesuatu musibah menimpa seseorang? Ulamak aqidah menyimpulkan terdapat tiga motif mengapa musibah diturunkan Allah, iaitu:
1. Musibah Balasan
Maksudnya: Jika seseorang itu sering melakukan kejahatan maka sebagai balasan terhadap
perbuatan jahatnya maka Allah timpakan bancana atau kesusahan keatasnya.
2. Musibah Ujian
Maksudnya: Jika seseorang itu baik dan taat kepada Allah dan banyak melakukan amal soleh,
namun dia juga ditimpakan bencana atau musibah, maka musibah jenis ini bertujuan untuk
menguji kesabarannya.
3. Musibah Pendidikan
Maksudnya: Jika seseorang itu ditimpa Allah ujian demi ujian silih berganti semata-mata
bertujuan untuk mendidiknya agar menjadi manusia yang cekal dan tabah dalam mengharungi
kehidupan yang serba mencabar.
Peserta sedang khusyuk mendengar syarahan
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya:
Ya Rasulullah, manusia yang manakah yang paling banyak diuji?
Baginda menjawab: Para Nabi.
Kemudian sahabat bertanya lagi:
Kemudian siapa lagi?
Nabi s.a.w. menjawab: Orang-orang soleh.
Seterusnya baginda meneruskan sabdanya:
"Kemudian musibah ditimpakan seimbang dengan kedudukan agama seseorang. Jika ia orang yang kuat pegangan agamanya maka akan ditambah dugaan ke atasnya, jika ia orang yang longgar pegangan agamanya, maka akan diringankan pula ujian keatasnya. (HR. Ahmad, Ibn Majah, Tarmidzi daripada Saíd Bin Abi Waqqas"
Salah satu dari rukun iman yang enam adalah iman kepada takdir Allah, apakah takdir yang baik atau takdir yang buruk. Orang yang mantap imannya akan redha sentiasa dengan takdir atau ketentuan Allah.
Dari Anas Bin Malik r.a., katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya besarnya ganjaran bergantung pada besarnya dugaan, dan sesungguhnya jika Allah mencintai seuatu kaum maka Dia timpakan ujian ke atas mereka, siapa yang redha maka untuknya keredhaan Allah, dan siapa yang murka maka untuknya pula kemurkaan Allah. (HR Tarmidzi (2397) - Derjatnya Hasan).
Dari Syaddad r.a bahawa Allah telah berfirman dalam hadis qudsi:
"Jika aku menguji hamba daripada hamba-hambaku yang beriman, lalu ia bertahmid (mengucapkan AL-HAMDULILLAH) ke atas apa yang aku uji itu, maka sesungguhnya seluruh dosanya dihapuskan sehingga dia bangun dari tempat tidurnya bagaikan ia baru dilahirkan oleh ibunya. (HR Ahmad-Sanadnya Hasan)
Tawakkal adalah gambaran tentang sandaran hati seseorang kepada pihak yang diwakilkannya. Dalam hal ini kita sebagai insan yang beriman benar-benar yakin bahawa tiada yang boleh berbuat sesuatu selain Allah, dan kita juga yakin bahawa ilmunya Maha Luas, Kuasa dan Kasih-Sayangnya Maha Sempurna. Kelebihan atau fadhilat Tawakkal, antaranya adalah seperti berikut:
"Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluannya)
Al-Thalaq (65:2-3)
Daripada anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kerana kesusahan yang menimpanya; Jika ia terpaksa berbuat demikian maka hendaklah ia berdoa begini:
"Ya Allah, hidupkanlah aku (panjangkan umurku) sekiranya kehidupan itu (perpanjangan umurku itu) membawa kebaikan bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu membawa kebaikan bagiku." (HR Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Selepas tamat ceramah oleh Ustaz Dr. Abdullah Yasin, kami kanser survivors berkumpul didalam bilik kuliah KanWork untuk sesi kumpulan sokongan bagi memberi sokongan, perkongsian pengalaman dan sokongan moral kepada pesakit-pesakit baru kanser yang masih dalam keadaan "trauma''. Kumpulan ini bernasib baik kerana dalam sesi tersebut, Prof. Dr. Norlia (pakar kanser payudara dan Reconstruction payudara HUKM) turut hadir bagi menjawab soalan-soalan dikemukakan oleh kumpulan ini.
Ingin saya berkongsi di blog ini tentang pemeriksaan payudara. Salah seorang pesakit baru berkongsi pengalaman beliau yang pergi buat mamogram tetapi masih tidak dapat dikesan ada kanser sebab kanser tersebut menyorok di belakang lemak-lemak dipayudaranya. Hanya dengan pemeriksaan lanjut (Pet Scan) barulah beliau dapat mengesan kanser dipayudaranya. Oleh itu nasihat saya kepada wanita di luar sana, hati-hati dan buatlah pemeriksaan payudara apabila terasa ada keanihannya di payudara dan anggota anda Precaution is better than cure..
No comments:
Post a Comment