Hari ini 24 November, rawatan herceptin kali ke 12. Hati saya berdebar-debar menunggu keputusan ujian darah yang akan menentukan samada saya boleh menjalani rawatan. Malam tadi saya demam, batuk dan selsema. Saya berasa gelisah takut-takut kalau tak dapat menjalani rawatan tersebut. Sebelum ke hospital, saya kerjakan solat dhuha dan berdoa semoga dapat menjalani rawatan ini. Gagal menjalani rawatan bermakna ubat yang dikumpul tidak akan boleh dipakai dan kerugian lebih RM7,000.00.
Dalam keadaan tidak tenteram, teringat saya pada ceramah di CaRe, UPM yang di beri oleh seorang ustazah atas tajuk, 'Untuk jadi mukmin yang kuat'. Menurut ustazah, ciri-ciri mukmin lemah sebab:
a. Tidak tahan lasak/tidak tahan diuji.
b. Tidak bermotivasi untuk beramal soleh.
c. Tidak boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Rahsia untuk menjadi mukmin yang kuat, tahan lasak, tahan ujian dan berbaik sangka dengan Allah bacalah Surah Thoha ayat 130 -132. Bila kita terima ujian, mengikut Imam Nawawi mula-mula kita kena:
a. Betulkan sangkaan dengan allah. Rujuk Surah Thoha ayat 130-132.
b. Kena sabar untuk menjadi kuat. Hanya orang yang kuat sahaja boleh bersabar- Janganlah sampai peringkat kita keluar kata-kata yang tak baik untuk Allah.
c. Jadilah orang yang selalu bertasbih. Yang memberi zat kepada sabar itu adalah tasbih. Tasbih yang memberi kekuatan adalah lahir dari dalam hati/diri. Waktu yang baik untuk bertasbih/zikir adalah:
(i) Sebelum matahari terbit.
(ii) Sebelum matahari terbenam.
(iii) Beberapa masa pada waktu malam.
(iv) Beberapa masa pada waktu siang.
d. Jangan mata kita terpesona dengan nikmat yang allah beri kepada orang lain. Jangan jadi lemah bila tengok apa orang lain ada.
e. Perintah ahli keluarga tunaikan solat. Solat akan menjadi kekuatan jika ianya berkualiti. Solat akan memberi kekuatan kepada kita jika ada 3 syarat berikut:
(i) Awal waktu. Solat pada awal waktu untuk jadikan kita lebih kuat.
(ii) Solat yang terbit dari rasa rindu, kasih kepada Allah.
(iii) solat untuk tujuan zikrullah/ingat Allah.
Apabila teringat pada kata-kata ustazah, hati saya mula tenang dan berserah kepada allah. Allah yang menentukan segala-galanya. Alhamdulillah keputusan ujian darah memihak kepada saya dan dapatlah saya teruskan rawatan tersebut. Sesungguhnya kita hanya merancang tapi yang menentukan adalah allah jua. Alhamdulillah
No comments:
Post a Comment