Semalam saya terima berita gembira dari pejabat. Saya telah dimaklumkan lulus PTK. Betapa bersyukurnya saya pada allah atas nikmat yang diberikan.Mengimbas kembali detik-detik saya mengikuti kursus PTK tersebut pada bulan Julai di Melaka, hanya selepas 3 minggu saya menjalani pembedahan kanser payu dara di hospital Putrajaya. Saya meminta izin dari doktor untuk menangguhkan rawatan kimoterapi bagi membolehkan saya mengikuti kursus tersebut.Teringat saya pada pertanyaan doktor "Penting sangat ke kursus tu?" Saya kata penting doktor kerana untuk menambah dan kemaskini ilmu pengetahuan, untuk bersama-sama rakan sekerja yang seangkatan/umur lebih kurang saya yang belum tentu bila saya akan dapat bersama mereka lagi dan untuk peningkatan/kemajuan kerjaya jika ada rezeki.
Selama seminggu saya menghadiri kursus tersebut dan ianya cukup mencabar. Antaranya menyedia dan mempersembahkan kertas-kertas kerja di hadapan panel yang terdiri dari bos-bos. Kadangkala kami kena present paper bukan saja pada siang hari tapi juga pada waktu malam. Tapi dengan bantuan rakan-rakan, yang susah jadi mudah, lancar dan menyeronokkan.
Paling saya tidak lupa ia itu waktu makan sebab saya memang gemar makan. Ia sungguh menduga kekuatan dan ketahanan saya kerana makanan yang disediakan semuanya sedap-sedap belaka. Walaubagaimanapun, ia menjadi mudah bagi saya kerana sudah pasti ada rakan kursus yang mengingatkan saya supaya pantang. Saya faham kerana mereka mahu saya sihat dan tidak merana di kemudian hari kelak. Yang paling best dan tidak dapat di kawal oleh rakan saya apabila ada peserta kursus membawa durian gred A dan rambutan dari kampung mereka. Kami lupa diri sekejap dan sama-sama menikmatinya. Terima kasih kawan kerana menjamu kami dengan durian yang sungguh sedap tu. Semoga allah murahkan lagi rezeki mu.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucap ribuan terima kasih kepada panel, ahli jawatan kuasa kursus dan rakan-rakan kursus di atas sokongan dan kerjasama mereka. Tidak lupa pada keluarga terutama suami saya yang turut memberi semangat dan berdoa untuk kesihatan dan kejayaan saya. Tanpa insan-insan istimewa ini, belum tentu saya dapat menjalani kursus PTK ini dengan lancar, seronok dan berjaya. Alhamdulillah.
Saturday, March 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tahniah mak! Very proud of you. Jgn lupa raikan eh! :)
ReplyDelete