Wednesday, July 28, 2010

Paraben ada kaitan dengan kanser?


Berhati-hati ketika membeli sesuatu produk

Baru-baru ini saya telah pergi ke stokis produk muka 'N' untuk membeli keperluan harian. Seperti biasa saya disambut dengan senyuman oleh tuanpunya kedai (En. 'Z' dan Pn. 'A') dan menanya kabar saya kerana mereka tahu saya pernah menjalani rawatan kanser. Sambil bersembang dan order barang, 'Z' memaklumkan kepada saya dari pembacaannya dalam internet "World Without Cancer" tentang terdapat kajian yang menunjukkan ada kaitan diantara sakit kanser dan paraben (Methylparaben, ethylparaben, propylparaben, butylparaben, isopropylparaben dan isobutylparaben) yang terdapat dalam banyak alat solek/kosmetik. Saya terperanjat dan terharu dengan 'Z' yang bukan sahaja hendak menjual produknya tapi memastikan pelanggannya dapat maklumat yang betul sebelum menggunakan produk tersebut. Tidak ramai penjual berhati baik seperti 'Z' yang tidak memandang duit semata-mata tapi memastikan pelanggannya dapat yang terbaik dan berada dalam keadaan sihat apabila mengambil produknya.

Apa itu paraben? Melalui pembacaan saya, paraben adalah pengawet yang digunakan dalam kosmetik bagi memelihara kosmetik tersebut dari mudah rosak dan tercemar. Paraben digunakan dalam kosmetik seperti shampoo, ubat gigi, makeup, moiturizers/pelembab muka, deodorants, shaving cream, produk bibir/lipstick dan juga dalam makanan serta produk pharmaceuticals.

Pada tahun 2004, satu kajian yang diterbitkan dalam 'Journal of Applied Toxicology' mendapati penemuannya di mana 18 dari 20 sample tisu tumor payudara manusia yang mengidap kanser payudara mengandungi paraben.Ini adalah kerana paraben mengandungi estrogen-like properties dan seperti yang diketahui estrogen memainkan peranan penting dalam pembentukan kanser payudara. Mengikut The American Cancer Society, kajian ini tidak menunjukkan paraben penyebab atau menyebabkan perkembangan kanser. Ia hanya menunjukkan bahawa paraben ada di situ.

Walau apa pun penemuan kajian, dengan maklumat yang ada kita perlu berhati-hati di dalam menggunakan apa jua produk. Bacalah dulu kandungan produk tersebut supaya kita selamat menggunakannya. Bagi rakan kanser survivor cubalah cari produk tanpa paraben agar penyakit kanser tidak berulang kembali. Bukan mudah untuk mencari produk tanpa paraben tapi cubalah dan saya juga sedang mencari-cari. Semoga pencarian ini akan berhasil dan kita hidup sihat sejahtera. Insyaallah.

Tuesday, July 27, 2010

Pejabat Oh Pejabat


Welcome Back

Semenjak minggu sudah lagi saya telah buat persediaan dari segi mental, fizikal dan spiritual untuk kembali bertugas di jabatan tercinta di mana saya mencari rezeki sejak 32 tahun. Maklumlah telah bercuti sakit kanser selama dua tahun dan terputus hubungan kecuali mendapat berita melalui media massa dan kawan-kawan yang masih mengingati saya.

Pagi-pagi lagi saya telah bersedia memakai pakaian seragam saya yang baru untuk ke pejabat.Alhamdulillah hari ini keadaan lalu lintas tidak berapa sibuk. Sampai di pejabat saya dapati keadaan persekitaran telah banyak berubah terutamanya dengan pameran poster-poster pelaksanaan amalan 5S(sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal. Pejabat kini kelihatan lebih ceria dan kakitangan nampaknya lebih bersemangat dalam menjalankan kerja harian mereka.

Tanpa berlengah lagi saya terus melapor diri kepada ketua-ketua saya dan mereka memaklumkan akan berbincang mengenai penempatan saya. Semangat saya yang berkobar-kobar untuk mula bekerja pada hari ini rasanya macam menurun bila mendapat berita itu. Walaubagaimanapun alhamdulillah kerana mungkin ada hikmahnya.

Memandangkan saya belum di beri apa-apa tugas lagi, saya pun mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan kawan-kawan untuk menanyakan perkembangan terkini jabatan. Maklumlah antara terhangat sekarang ni ramai pegawai menerima anugerah-anugerah dato, naik pangkat dan sebagainya.Bukan apa takut-takut nanti dimarah jika tersalah panggil bagi yang telah menerima anugerah dato dan yang dah naik pangkat. Rasanya tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertuah dan bernasib baik dan diharap akan terus menyumbang dengan lebih gigih lagi kepada jabatan dan negara. Sesungguhnya setiap anugerah yang diterima merupakan satu amanah dan hendaklah dilaksanakan dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.

Terdapat juga berita yang dua dari kawan lama saya akan ambil pencen awal atas sebab kesihatan dan tekanan di tempat kerja. Seorang kawan ini dinaikkan pangkat dan di tukarkan ke Ibu Pejabat. Pagi-pagi lagi se awal jam empat beliau perlu bangun untuk membuat persediaan dan kemudian memandu lebih dari 30 km serta merentasi tol untuk ke pejabat. Di tempat kerja pula banyak tugas-tugas pentadbiran dan tugas hakiki yang perlu dilaksanakan. Kira punya kira tak berbaloi dengan kenaikan gaji yang diterima berbanding perbelanjaan minyak, tol, maintainance kereta,penat, beban tugas dan kesihatan di usia yang melepasi setengah abad itu. Sementara seorang lagi rakan ini (rakan kanser survivor) masih muda lagi tapi atas tekanan di tempat kerja beliau memilih untuk pencen awal kerana ingin hidup sihat dan panjang umur. Mereka membuat pilihan yang bijak kerana pangkat dan wang bukan segala-galanya dalam hidup ini. Sesiapa yang pernah sakit tahu bahawa kesihatan adalah penting dan nikmatilah hidup ini sementara ada masa, peluang dan ruang. Sayang oh sayang sebab jabatan akan kehilangan pekerja yang rajin dan dedikasi ini.Selamat bersara pilihan kawan semoga panjang umur dalam kesihatan dan kebahagiaan abdi.

Thursday, July 1, 2010

Stress Management - Chronic Disease


Stress Management

Saya amat tertarik dengan kata-kata seorang professor yang memberi ceramah atas tajuk Stress management - Chronic Disease. Menurut professor ini cuba kita renungkan kata-kata ini, "For Everything That Happens There must Be A Reason". Oleh itu selaku orang mukmin, kita janganlah berputus asa. Contohnya bila kita sakit there must be a reason from Allah. Allah kafarah/bersihkan dosa-dosa kita bila kita sakit.

1. Stress management memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan empat domain iaitu:

a. Bio-physical (Bio-ecological environment)
b. Human Psychology (Cognition and emotion)
c. Social (Family of man)
d. Spiritual

2. Penyakit chronic seperti:

a. Chronic fatique syndrome
b. Chronic renal failure
c. Diabetes mellitus
d. Chronic hepatitis
e. Osteoporosis
f. CANCER

Di akhir sesi professor berkongsi tips untuk breathing exercise seperti berikut:

a. Duduk dan letak kedua-dua tapak tangan di peha (macam pengantin bersanding)
b. Tarik nafas ikut hidung sambil kira 1,2,3 dan sebut nama Allah
c. Lepas nafas ikut mulut sambil kira 1,2,3 dan sebut nama-nama Allah.

Detoksifikasi



Detoksifikasi


Bekam

Dalam bulan Jun ini, saya berkesempatan untuk mengikuti beberapa ceramah. Antara ceramah yang menarik di hospital putrajaya bertajuk: Detoksifikasi yang ingin saya kongsi bersama pembaca blog ini.

1. Menurut penceramah detoksifikasi (detoks) merupakan:
- proses normal dalam badan kita semua.
- Sistem detoks bertindak sebagai agen pembersih dan pembuangan bahan toksik. contoh ginjal, paru-paru.
- Keluar dalam bentuk peluh, kencing, najis dan nafas.
- Perlu detoks kerana pencemaran dalam udara, makanan dll.
- Bila pencemaran sistem badan mengumpul toksin.
- Simptom toksiksiti ialah apabila kita bangun pagi, kita berasa malas dan lemah.

2. Bila bermula detoksifikasi?
-Bila perkara berikut berlaku:
a. Bekam atau terapi lintah
b. Urut atau bertungku
c. Puasa
d. Mandian; akupunktur

3. Jenis-jenis detoks.
a. Diet
b. Aktiviti fizikal seperti bersukan, yoga dll
c. Memasukkan agen lain dalam darah untuk membersihkan darah.
d. detoks luaran seperti mand sauna, lulur dll.
e. Berpuasa merupakan aktiviti detoks.

4. Kebaikan Detoks
a. Menyelesaikan masalah kronik
b. Membaiki sistem imun
c. Meneutralkan dan eliminasi radikal bebas dan toksin
d. MEMBANTU MEMUSNAHKAN SEL KANSER

Sunday, May 23, 2010

Survivor 2




Piramid makanan


Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran

Hari ini iaitu 23hb. Mei 2010, genap dua tahun saya masih diberi peluang oleh Yang Maha Esa untuk menikmati hidup ini. Betapa bersyukurnya saya kepada Allah kerana masih hidup dalam keadaan sihat walaupun telah melalui banyak dugaan akibat sakit kanser ini. Bayangkan selepas pembedahan, saya melalui kimoterapi enam kali dalam tempoh lima bulan, radioterapi setiap hari kecuali hari sabtu dan ahad untuk lima belas kali , herceptin setiap tiga minggu sekali untuk tujuh belas cycle, mamogram setiap empat bulan dan sekarang diberi ubat temoxifen yang perlu di makan sebiji setiap hari untuk beberapa tahun.

Menurut doktor kemungkinan sakit kanser berulang kembali adalah tinggi bagi pesakit kanser yang survive di bawah lima tahun. Oleh itu doktor menasihatkan supaya menjaga diet dan mengamalkan cara hidup yang sihat. Saya bersyukur kerana dapat mengikuti Program Intervensi Perubahan Gaya Hidup Dalam Kalangan Survivor Kanser Payudara anjuran Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah kelolaan seorang professor yang pakar dalam pemakanan.

Di antara yang disarankan dalam program tersebut adalah matlamat harian seperti berikut:

1. Makan sekurang-kurangnya lima sajian (400g atau 14oz) sayur dan buah yang pelbagai warna.
2. Kurangkan mengambil daging merah (kurang dari 500g atau 18oz seminggu), terutamanya daging proses
a. 500g berat daging atelah masak = 700-750g daging mentah.
b. Daging proses - daging salai, hot dog, salami/bologna/pep
c. Aroni, daging burger, nuget.
3. Banyakkan mengambil makanan berasas tumbuhan - sayur, buah, roti bijirin penuh, bijirin sarapan (bijirin penuh), legum, kekacang.
4. Kurangkan mengambil makanan tinggi lemak, tinggi gula, tinggi garam dan makanan 'fast food'
5. Banyakkan aktiviti fizikal - cuba capai berjalan cepat (brisk walking) untuk 30 minit setiap hari atau 10,000 tapak.

Untuk di kongsi bersama ilmu pemakanan, berikut diperturunkan Panduan Hidangan Kumpulan Makanan:

NASI, ROTI DAN PRODUK BIJIRIN

1/2 cawan nasi,mee,macaroni, pasta;
1 keping roti;
1/2 cawan bijirin sarapan;
1 kentang sederhana;
1/2 capati kecil;
1 cawan bubur nasi kosong
2 krim kraker

SAYUR

1/2 cawan sayur daun masak (kangkung, bayam) atau mentah (timun, brokoli, tomato);
1 cawan sayur mentah berdaun (bayam, lettuce);
1/2 cawan legum (masak);
3/4 cawan jus sayur;
1/2 cawan ubi keledek/keladi/ubi kayu

BUAH

1 epal, pisang, oren yang sederhana;
1/2 grape fruit;
1/2 cawan jus buah;
1/2 cawan buah kering
1/2 cawan buah yang dipotong, masak atau dalam tin;
1 potong betik, tembikai, nenas;

DAGING, AYAM, IKAN , TELUR DAN KEKACANG

1 ketul peha ayam sederhana;
1 ikan kembung sederhana;
2 ketul daging (besar kotak mancis);
5 sudu makan ikan bilis tanpa kepala
2 ketul daging (1 hidangan) =
- 1 cawan kekacang (masak)
- 2 telur
- 1 cawan tofu
-2/3 cawan kacang
-4 sudu besar mentega kacang
-4 sudu besar kacang, kuaci

SUSU, KEJU, YOGURT

1 cawan susu atau yogurt
1 keping keju

Hampir setiap bulan kami kanser survivor akan berjumpa untuk mendengar ceramah mengenai pemakanan, menangani stress dan sebagainya oleh penceramah-penceramah dari UPM. Kemudian ada petugas akan mengumpul maklumat tentang pengikraran pemakanan kami yang di ambil sehari sebelumnya, pengambilan berat badan, pengukuran pinggang dan Indeks Jisim Tubuh (IJT). Alhamdulillah sehingga bulan Mei IJT saya normal.

Selamat mencuba tips-tips di atas dan insyaallah berjaya mendapat IJT yang normal.

Thursday, March 11, 2010

Selamat tinggal Herceptin

Herceptin

Alhamdulillah hari ini berakhirnya rawatan herceptin yang saya lalui sebanyak 17 cycle mulai dari tahun 2009. Macam mana saya dapat melaluinya? tak tahulah tapi yang pasti dengan bantuan dan sokongan terutamanya dari suami yang sabar dengan karenah saya, anak-anak, menantu dan juga adik-beradik, ipar,besan serta rakan-rakan yang tidak jemu menalipon, menghantar sms memberi perangsang kepada saya untuk melaluinya dengan tabah. Terima kasih semua, hanya Allah yang akan membalas jasa baik kalian.

Saya sungguh bersyukur kerana dapat melalui rawatan tersebut dengan lancar sepertimana yang dijadualkan. Tadi, selepas mendapati pemeriksaan darah dan lain-lainnya okay, barulah saya dapat bertemu dengan doktor. Doktor memaklumkan bahawa hari ini merupakan rawatan herceptin terakhir dan pada masa itu betapa seronoknya rasa dan hanya Allah yang mengetahuinya. Saya meminta pendapat doktor tentang pod didada kanan saya samada boleh dikeluarkan secara pembedahan kerana agak sukar untuk maintainnya (perlu flush dua bulan sekali agar tidak infection yang mungkin akan affect jantung). Doktor menasihatkan supaya simpan dulu untuk setahun atau dua tahun kerana peratus untuk kanser berulang amat tinggi dalam tahun-tahun ini berbanding selepas lima tahun survivor.

Kepada pesakit-pesakit kanser yang belum memasang pod untuk rawatan kimoterapi bincanglah dengan beberapa orang doktor dan fikirlah dulu sebelum bersetuju untuk menjalani pembedahan pemasangan pod tersebut. Ingatlah pasang pod tidaklah sesusah mana pun tapi untuk menjaganya tidaklah semudah yang dikatakan kerana pod tersebut melibatkan jantung.

Saya akur dengan pandangan dan nasihat doktor supaya pod tersebut disimpan untuk beberapa tahun. Diakhir sesi pertemuan, doktor menasihatkan saya supaya jangan lupa makan ubat Temoxifen setiap hari dan jagalah supaya sakit ini tidak berulang kembali. Kebetulan pada hari ini saya bertemu dengan seorang pesakit kanser(seorang guru) survivor dua tahun yang menjalani kimoterapi semula kerana serangan kanser kali kedua. Marilah kita berhati-hati supaya penyakit tidak berulang kembali.

Semasa hendak meninggalkan wad tersebut saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas di wad onkologi yang bertungkus lumus merawat saya tanpa mengira masa. Sambil berjalan menuju ke lif, hati saya mula merasa sedih kerana teringat kepada kawan-kawan yang tidak sempat habis rawatan kerana atas panggilan illahi. Kepada pesakit-pesakit kanser yang sedang menerima rawatan, laluilah dengan tabah, confident dan jangan mengaku kalah. Mohonlah kepadanya kerana Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha berkuasa, Maha mengabulkan permintaan kita. Cubalah mohon tanpa mengira siang atau malam. Selamat Berjuang Kawan-Kawan!

Sunday, December 13, 2009

Nikmat Menjadi Seorang Wanita

Surah Amalan Ketika Mengandung

Istimewa Seorang Wanita

Tahun 2009 merupakan satu tahun yang sangat istimewa buat saya. Istimewa kerana saya telah berpeluang melihat dan merasakan pengalaman sakit melahirkan 'secara normal' tiga orang wanita iaitu anak, menantu dan isteri kepada anak saudara saya. Saya tidak berpeluang kerana melahirkan secara pembedahan.

Pada bulan Mei, setelah genap sembilan bulan beberapa hari, anak saya masuk hospital selepas waktu isyak kerana telah melalui kesakitan untuk melahirkan. Dengan ditemankan oleh suaminya dan saya, anak saya telah dimasukkan ke wad bersalin dan bermulalah episod sakit untuk melahirkan seorang insan ke dunia ini. Doktor suruh beliau disuntik dengan ubat penahan sakit tapi anak saya menolak kerana hendak merasa sakit bersalin dan juga kata beliau sakit2 ini akan mengugurkan dosa-dosa kecil. Melihat bagaimana gelisahnya anak saya menahan sakit tapi masih boleh meniti dibibirnya membaca doa-doa dan zikir.

Ya Allah betapa sukar dan sakitnya hendak melahirkan seorang manusia ke dunia ini. Sakitnya tidak tertahan lagi sehingga jam 3.00pagi dan akhirnya beliau bersetuju untuk disuntik ubat tahan sakit kerana menurut doktor jika tidak melahirkan pada jam 8.00 pagi, pembedahan terpaksa dilakukan. Alhamdulillah pada jam 8.00 pagi 'pembukaan' pada tahap 10 dan bayi lelaki selamat dilahirkan. Betapa indahnya kejadian Allah apabila mendengar tangisan pertama bayi tersebut. Selepas itu baru saya rasa badan sakit2 sebab apabila doktor suruh anak saya meneran/push saya pun turut sama merasakannya tapi tak apa kerana dapat cucu dan yang pertama dalam keluarga kami.

Tiba bulan Oktober, sekali lagi saya dan anak lelaki menemani isterinya ke hospital yang sama untuk bersalin. Kami lalui proses yang sama tapi menantu saya sempat mengambil ubat penahan sakit lebih awal. Walaupun mengambil ubat tersebut, menantu saya masih merasai kesakitan untuk melahirkan dan akhirnya beliau berjaya melahirkan anak perempuan iaitu cucu perempuan pertama kami pada jam hampir 2.00ptg. Alhamdulillah kerana dapat cucu lelaki dan cucu perempuan pada tahun 2009.

Kali ketiga, pada tanggal 11 Disember 2009, sedang saya membaca yaasiin kali kedua memohon agar Allah memudahkan urusan anak lelaki saya yang sedang menjalani temuduga pada jam 11.00 pagi di Pulau Pinang, talipon berbunyi. Rupa-rupanya panggilan dari isteri anak saudara saya Ida memaklumkan bahawa beliau telah berada di sebuah hospital swasta di Bangi kerana air ketoban dah keluar menandakan sudah tiba waktu untuk bersalin.Teringat saya pada permintaan suami Ida pada bulan November 2009 sebelum berlepas ke Adelaide, Australia untuk pengajian PHDnya meminta saya melihat dan membantu isterinya yang dijangka bersalin pada 25 Disember 2009.

Tanpa berlengah saya bergegas ke hospital dan terus membantu beliau yang kesakitan terlantar di atas katil. Doktor memaklumkan bahawa bayi dalam kandungan telah mula makan najis dan perlu dikeluarkan seberapa segera. Bayangkan kesakitan yang Ida lalui kerana 'pembukaan' baru 3 dan perlu 10 baru boleh melahirkan bayi. Beliau sungguh tabah kerana bayangkan hendak melahirkan anak tanpa suami disisi dan hanya ada saya. Walaupun jauh, suami Ida sempat talipon dan memberi perangsang kepada isterinya. Setiap kali kesakitan Ida akan memegang dengan kuat tangan saya. Terasa macam saya yang nak bersalin. Ya Allah betapa hebatnya kau jadikan wanita kerana dapat menahan sakit yang teramat sangat untuk melahirkan seorang khalifah ke dunia ini.

Anak ku
Ida dapat menahan sakit tanpa ambil ubat penahan sakit sehinggalah saat melahirkan.
Doktor dan jururawat turut membantu dan memberi perangsang untuk terus meneran/push dan akhirnya bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 3.45 petang. Alhamdulillah terpanca di muka Ida kegembiraan kerana selamat melahirkan dan dapat anak perempuan pulak tu. Mereka telah pun mempunyai dua anak lelaki.

Saya turut gembira dan merasa satu kepuasan kerana dapat membantu sedikit walaupun dalam keadaan saya yang masih menerima rawatan kanser. Saya berdoa semoga ketiga-tiga wanita hebat ini dapat mendidik anak mereka menjadi insan-insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Kepada bakal-bakal ibu, amalkan ayat-ayat Al Quran dan belajarlah senaman cara untuk teran/push agar senang dan mudah untuk bersalin. Sakit tetap sakit tapi sekurang-kurangnya apabila tahu teknik penafasan dan 'push' memudah dan melancarkan lagi proses bersalin. Insyaallah bayi dan ibu selamat.