Sunday, May 23, 2010

Survivor 2




Piramid makanan


Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran

Hari ini iaitu 23hb. Mei 2010, genap dua tahun saya masih diberi peluang oleh Yang Maha Esa untuk menikmati hidup ini. Betapa bersyukurnya saya kepada Allah kerana masih hidup dalam keadaan sihat walaupun telah melalui banyak dugaan akibat sakit kanser ini. Bayangkan selepas pembedahan, saya melalui kimoterapi enam kali dalam tempoh lima bulan, radioterapi setiap hari kecuali hari sabtu dan ahad untuk lima belas kali , herceptin setiap tiga minggu sekali untuk tujuh belas cycle, mamogram setiap empat bulan dan sekarang diberi ubat temoxifen yang perlu di makan sebiji setiap hari untuk beberapa tahun.

Menurut doktor kemungkinan sakit kanser berulang kembali adalah tinggi bagi pesakit kanser yang survive di bawah lima tahun. Oleh itu doktor menasihatkan supaya menjaga diet dan mengamalkan cara hidup yang sihat. Saya bersyukur kerana dapat mengikuti Program Intervensi Perubahan Gaya Hidup Dalam Kalangan Survivor Kanser Payudara anjuran Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah kelolaan seorang professor yang pakar dalam pemakanan.

Di antara yang disarankan dalam program tersebut adalah matlamat harian seperti berikut:

1. Makan sekurang-kurangnya lima sajian (400g atau 14oz) sayur dan buah yang pelbagai warna.
2. Kurangkan mengambil daging merah (kurang dari 500g atau 18oz seminggu), terutamanya daging proses
a. 500g berat daging atelah masak = 700-750g daging mentah.
b. Daging proses - daging salai, hot dog, salami/bologna/pep
c. Aroni, daging burger, nuget.
3. Banyakkan mengambil makanan berasas tumbuhan - sayur, buah, roti bijirin penuh, bijirin sarapan (bijirin penuh), legum, kekacang.
4. Kurangkan mengambil makanan tinggi lemak, tinggi gula, tinggi garam dan makanan 'fast food'
5. Banyakkan aktiviti fizikal - cuba capai berjalan cepat (brisk walking) untuk 30 minit setiap hari atau 10,000 tapak.

Untuk di kongsi bersama ilmu pemakanan, berikut diperturunkan Panduan Hidangan Kumpulan Makanan:

NASI, ROTI DAN PRODUK BIJIRIN

1/2 cawan nasi,mee,macaroni, pasta;
1 keping roti;
1/2 cawan bijirin sarapan;
1 kentang sederhana;
1/2 capati kecil;
1 cawan bubur nasi kosong
2 krim kraker

SAYUR

1/2 cawan sayur daun masak (kangkung, bayam) atau mentah (timun, brokoli, tomato);
1 cawan sayur mentah berdaun (bayam, lettuce);
1/2 cawan legum (masak);
3/4 cawan jus sayur;
1/2 cawan ubi keledek/keladi/ubi kayu

BUAH

1 epal, pisang, oren yang sederhana;
1/2 grape fruit;
1/2 cawan jus buah;
1/2 cawan buah kering
1/2 cawan buah yang dipotong, masak atau dalam tin;
1 potong betik, tembikai, nenas;

DAGING, AYAM, IKAN , TELUR DAN KEKACANG

1 ketul peha ayam sederhana;
1 ikan kembung sederhana;
2 ketul daging (besar kotak mancis);
5 sudu makan ikan bilis tanpa kepala
2 ketul daging (1 hidangan) =
- 1 cawan kekacang (masak)
- 2 telur
- 1 cawan tofu
-2/3 cawan kacang
-4 sudu besar mentega kacang
-4 sudu besar kacang, kuaci

SUSU, KEJU, YOGURT

1 cawan susu atau yogurt
1 keping keju

Hampir setiap bulan kami kanser survivor akan berjumpa untuk mendengar ceramah mengenai pemakanan, menangani stress dan sebagainya oleh penceramah-penceramah dari UPM. Kemudian ada petugas akan mengumpul maklumat tentang pengikraran pemakanan kami yang di ambil sehari sebelumnya, pengambilan berat badan, pengukuran pinggang dan Indeks Jisim Tubuh (IJT). Alhamdulillah sehingga bulan Mei IJT saya normal.

Selamat mencuba tips-tips di atas dan insyaallah berjaya mendapat IJT yang normal.

No comments:

Post a Comment