Welcome Back
Semenjak minggu sudah lagi saya telah buat persediaan dari segi mental, fizikal dan spiritual untuk kembali bertugas di jabatan tercinta di mana saya mencari rezeki sejak 32 tahun. Maklumlah telah bercuti sakit kanser selama dua tahun dan terputus hubungan kecuali mendapat berita melalui media massa dan kawan-kawan yang masih mengingati saya.
Pagi-pagi lagi saya telah bersedia memakai pakaian seragam saya yang baru untuk ke pejabat.Alhamdulillah hari ini keadaan lalu lintas tidak berapa sibuk. Sampai di pejabat saya dapati keadaan persekitaran telah banyak berubah terutamanya dengan pameran poster-poster pelaksanaan amalan 5S(sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal. Pejabat kini kelihatan lebih ceria dan kakitangan nampaknya lebih bersemangat dalam menjalankan kerja harian mereka.
Tanpa berlengah lagi saya terus melapor diri kepada ketua-ketua saya dan mereka memaklumkan akan berbincang mengenai penempatan saya. Semangat saya yang berkobar-kobar untuk mula bekerja pada hari ini rasanya macam menurun bila mendapat berita itu. Walaubagaimanapun alhamdulillah kerana mungkin ada hikmahnya.
Memandangkan saya belum di beri apa-apa tugas lagi, saya pun mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan kawan-kawan untuk menanyakan perkembangan terkini jabatan. Maklumlah antara terhangat sekarang ni ramai pegawai menerima anugerah-anugerah dato, naik pangkat dan sebagainya.Bukan apa takut-takut nanti dimarah jika tersalah panggil bagi yang telah menerima anugerah dato dan yang dah naik pangkat. Rasanya tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertuah dan bernasib baik dan diharap akan terus menyumbang dengan lebih gigih lagi kepada jabatan dan negara. Sesungguhnya setiap anugerah yang diterima merupakan satu amanah dan hendaklah dilaksanakan dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.
Terdapat juga berita yang dua dari kawan lama saya akan ambil pencen awal atas sebab kesihatan dan tekanan di tempat kerja. Seorang kawan ini dinaikkan pangkat dan di tukarkan ke Ibu Pejabat. Pagi-pagi lagi se awal jam empat beliau perlu bangun untuk membuat persediaan dan kemudian memandu lebih dari 30 km serta merentasi tol untuk ke pejabat. Di tempat kerja pula banyak tugas-tugas pentadbiran dan tugas hakiki yang perlu dilaksanakan. Kira punya kira tak berbaloi dengan kenaikan gaji yang diterima berbanding perbelanjaan minyak, tol, maintainance kereta,penat, beban tugas dan kesihatan di usia yang melepasi setengah abad itu. Sementara seorang lagi rakan ini (rakan kanser survivor) masih muda lagi tapi atas tekanan di tempat kerja beliau memilih untuk pencen awal kerana ingin hidup sihat dan panjang umur. Mereka membuat pilihan yang bijak kerana pangkat dan wang bukan segala-galanya dalam hidup ini. Sesiapa yang pernah sakit tahu bahawa kesihatan adalah penting dan nikmatilah hidup ini sementara ada masa, peluang dan ruang. Sayang oh sayang sebab jabatan akan kehilangan pekerja yang rajin dan dedikasi ini.Selamat bersara pilihan kawan semoga panjang umur dalam kesihatan dan kebahagiaan abdi.
No comments:
Post a Comment