Friday, November 18, 2011

Selamat Bersara Sahabatku MS

Saya berasa begitu gembira apabila dimaklumkan bahawa sahabat lama saya Puan MS akan turut serta sebagai ahli mesyuarat Bahagian Se Malaysia di Nilai Negeri Sembilan. Gembira kerana dapat bertemu sahabat lama dan yang pentingnya adalah kerana Pn. MS yang berpengetahuan dan berpengalaman akan dapat menyumbang untuk kecemerlang bahagian/jabatan yang kami disayangi. Sahabat yang ini bukan baru saya kenali. Bukan setahun dua tetapi melebihi 35 tahun. Apa taknya, kami berkenalan semasa berada di kelas tingkatan enam, kemudian sama-sama belajar di Universiti Sains Malaysia
( tinggal dalam bilik yang sama), ambil Diploma Pendidikan di Universiti Malaya pun sama (tinggal di Wisma Selangor) dan kemudian bekerja di jabatan yang sama juga.

Kebetulan setelah bertahun-tahun saya merantau mengikut suami, akhirnya saya bekerja di Johor Bahru dan sekali lagi kami bertemu tetapi bertugas di lain bahagian. Walaubagaimanapun, melalui mesyuarat, perbincangan dan laporan hasil kerja menunjukkan MS memanglah seorang pegawai yang hebat bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki tentang kerjanya dan jabatan tetapi juga berintegriti tinggi dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas. Kata orang, kerja bermati-matian hinggakan kadangkala rumahtangga jadi secondary. Kepakaran beliau diketahui oleh ketua-ketua cawangan/bahagian termasuklah pengarah sendiri. Bukan terkenal dengan ilmu pengetahuan sahaja tetapi MS dikenali juga dengan kelantangan menegur dan memberi idea untuk kecemerlangan Jabatan. Letaklah MS di mana-mana bahagian, sudah pasti beliau akan menunjukkan keprofessionalan belaiu dalam menjalankan tugas. Pernah beliau bertugas sebagai ketua stesen di Pasir Gudang dan telah membawa banyak pembaharuan disana. Tetapi oleh kerana MS tak pandai promosi diri, pegawai lain yang dapat nama dan pengiktirafan.

Rupa-rupanya kelantangan beliau menegur untuk kebaikkan jabatan tidak disukai oleh bosnya. Ada bos yang secara terang-terangan mengatakan bahawa kerja beliau sangat bagus tetapi beliau tidak pandai menonjol diri. Mudah kata, tak pandai market/promosi diri. Begitulah nasib seorang pegawai yang berkualiti, dedikasi, berintegriti dan berakauntabiliti terhadap tugas yang banyak mendatangkan hasil kepada jabatan dan negara dicopkan sebagai tidak glamour.

Sebenarnya jabatan ni nak apa agaknya? Nak pekerja yang rajin bekerja, produktif/banyak memunggut hasil untuk jabatan atau yang kerja tidak serious tetapi banyak kokurikulum luar seperti sibuk menemani bos minum-minum, menyabit di padang yang rumputnya sentiasa terpelihara rapi dan sentiasa berada bersama menemani isteri bos-bos.

Desas desus kawan-kawan banyak mengatakan terdapat certain percentage pegawai yang kurang pandai bekerja tapi cukup cerdik dalam "strategise" sehinggakan apabila naik pangkat merekalah mendapat keutamaannya. Kokurikulam yang lebih dari kerja hakiki, kipas bos dan isteri bos, dapatlah naik pangkat dan anugerah-anugerah.

Selama lebih 32 tahun bekerja kuat dalam jabatan ini akhirnya MS akan bersara pada penghujung tahun 2011 dan jawatan terakhir hanya setakat gred 52 sedangkan pegawai-pegawai lain yang pernah bekerja dibawahnya dah naik pangkat beberapa kali dan ada yang melangkaui MS. Jika pegawai-pegawai ini excellence tak apa tapi Allah aje yang mengetahui keadaan mereka. Sesiapa di dalam tempat MS pun akan sedih dan tersentuh kerana kebanyakkan rakan seangkatan dengannya juga telah menjawat jawatan yang lebih tinggi dari beliau. Jika di tinjau, hasil kerja mereka lebih kurang sama aje, tak adalah luar biar atau beyond ordinary. Hati siapa tak sedih. Bila nak suruh kerja dicarinya tapi bila naik pangkat dicicirkan namanya. Alahai Jabatan yang dicintai!

Tahun 2006, semasa nak interview naik pangkat, MS malas nak pergi tapi dipaksa oleh bos tertinggi yang dulunya pernah bekerja di tempat yang sama di Johor, yang tahu prestasi kerja MS memang excellent dengan menjanjikan akan dapat naik pangkat. Saya tahu sebab bos tu suruh saya pujuk MS supaya hadir interview berkenaan. Tapi janji hanya tinggal janji ibarat kata, satu habuk pun tak ada. Nak buat macam mana sebab big bos ada kuasa tapi jangan salah guna kuasa dah lah! Nanti nak jawab soalan di akhirat susah dan panjang berjela-jela. Kuasa dan pangkat bukan glamour tapi satu amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan penuh integriti.

Selamat bersara sahabat Pn. MS. Jabatan akan kehilangan seorang lagi pakar. Bukan pakar kipas tapi pakar rujuk. Untuk pujuk hati sendiri MS, jangan di fikir-fikir kerana mungkin apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Semoga Allah akan memberi MS yang lebih baik lagi dari apa yang tidak diberi oleh jabatan. Insyaallah...

Jabatan perlu professional jika hendak mencapai bertaraf dunia pada tahun 2015. Tinggal hanya beberapa tahun sahaja lagi. Promotelah pegawai yang berkaliber dalam kerja tanpa mendiskriminasikan mereka jika mereka lantang menegur jabatan. Jabatan perlukan bukan sahaja "yes" man tetapi juga pekerja yang berani menegur untuk jabatan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika tidak bersikap professional, jabatan akan kehilangan ramai pakar/gold collar workers yang ambil bersara pilihan atau bekerja ikut waktu saja kerana mereka tidak di appreciate. Kenalilah antara berlian dan zulian. Kita semua datang dan pergi tetapi Jabatan tempat kita cari rezeki dan kita cintai ini biarlah berdiri teguh dan dihormati serta diiktiraf di persada dunia. Fikir-fikirkanlah!

No comments:

Post a Comment