Wednesday, November 9, 2011

Supplemen Diet




Kebetulan pada tanggal 30 Oktober 2011, abang saya akan mengadakan majlis resepsi untuk menyambut 3 orang menantunya di sebuah dewan di Kg. pandan, Kuala Lumpur. Pada hari itu juga saya dimaklumkan bahawa akan ada perjumpaan kumpulan kami ahli-ahli kanser survivors yang dalam kajian oleh seorang pakar pemakanan dan dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM). Perjumpaan ini telah lama tidak diadakan dan pemeriksaan kesihatan ke atas kami juga telah lama tertangguh.Saya serba salah untuk memilih hendak pergi ke majlis yang mana dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menghadiri ceramah Supplemen Diet dulu dan kemudiannya ke majlis recepsi tersebut. Untuk rasa tidak bersalah saya meminta anak dan menantu pergi dulu untuk membantu di majlis tersebut.

Seperti biasa apabila kami sampai ke tempat tersebut, kami dikehendaki mengambil timbangan badan, lilit ukur pinggang dan pinggul serta lain-lain lagi bagi melihat perkembangan kesihatan kami. Kami juga dikehendaki mengisi satu format mengenai pemakanan kami pada hari sebelumnya. Setelah siap prosidur tersebut barulah kami diberi ceramah tentang supplemen diet. Berikut adalah intipati ceramah tersebut yang ingin saya kongsikan bersama pembaca blog ini.

1. Perubatan Komplementari Dan Alternatif (CAM) yang biasa digunakan oleh pesakit
kanser adalah:

a. Terapi diet seperti diet vegetarian, diet makrobiotik
b. Supplemen diet seperti vitamin dan mineral, fitokimia, herba dan botanikal
(ulam-ulam, akar kayu, daun)
c. Terapi metabolik iaitu kaedah untuk mengeluarkan toksin dari tubuh.
d. Perubatan tradisional seperti perubatan tradisional Cina (TCM), perubatan
Ayurvedik, homeopathy dan naturopathy.
e. Intervensi minda seperti yoga, sembahyang, doa, teknik relaxation.
f. lain-lain seperti urut, terapi tenaga (akupunktur, qi gong)

2. Apa itu Perubatan Komplementari dan Alternatif (CAM)?

- CAM adalah kaedah rawatan atau terapi perubatan, kesihatan dan gayahidup yang
tidak termasuk dalam perubatan konvensional.
- Komlementari adalah rawatan atau terapi yang digunakan BERSAMA rawatan
perubatan konvensional.
- Alternatif adalah rawatan atau terapi yang digunakan untuk MENGGANTIKAN
rawatan perubatan konvensional.

3. Kajian di malaysia mengenai CAM dalam kalangan pesakit kanser payudara.

- Seramai 400 pesakit kanser payudara mengambil bahagian dalam kajian ini
menunjukkan hasil berikut:
- Seramai 281 (70.2%) mengambil supplemen diet.
- Seramai 119 (29.8%) tidak mengambil
- Jenis CAM yang sering diamalkan adalah:
- Perubatan tradisional
- Vitamin dan mineral
- Spirulina
- Homeopati
- urut.

4. Mengapa pesakit atau survivor kanser mengambil supplemen diet?

a. Untuk sembuh atau merawat kanser.
b. Untuk memperbaiki tahap kesihatan dan juga pemakanan.
c. Galakan dan dorongan daripada ahli keluarga serta rakan-rakan.

5. Saranan 'World Cancer Research Fund'

- Cuba memenuhi keperluan pemakanan melalui diet sahaja;
- Tenaga dan nutiren untuk keperluan tubuh perlu datang dari makanan dan
bukan supplemen diet.
- Untuk mereka yang sihat, kekurangan nutrien boleh diselesaikan dengan
diet yang tinggi nutrien dan bukannya supplemen diet.
- Suplemen diet tidak disarankan untuk pencegahan kanser.

6. Apakah suplemen diet?

a. Suplemen diet mengandungi:

- Vitamin
- Mineral
- Herba atau botanikal
- Asid amino
- Makanan
- Enzim

b. Bentuk suplemen diet

- Didapati dalam pelbagai bentuk iaitu seperti tablet, kapsul, serbuk, bar
tenaga atau minuman

c. Kegunaan

- Sering digunakan sebagai komplemen untuk diet.
- Kadangkala tahap keselamatan dan keberkesanan tidak diketahui kerana
kurang pemantauan atau kelulusan dari badan-badan tertentu.
- Tidak memerlukan prekripsi daripada doktor dan mudah didapati.

7. Bila perlu ambil suplemen?

Gayahidup yang terlalu sibuk sehingga susah untuk anda mengambil bilangan
hidangan yang disarankan untuk kumpulan makanan (saranan piramid makanan)

a. Semasa atau selepas rawatan kanser

Ada kemungkinan suplemen diet (vitamin dan mineral) dalam dos lebih kurang
100% saranan harian dapat memberikan anda kebaikan kerana pada masa ini
anda mungkin tidak mempunyai selera makan.
- Suplemen diet ini dapat membekalkan vitamin dan mineral yang kurang
diambil dari diet harian biasa anda.
- TETAPI INGAT.....Makanan masih sumber utama nutrien anda.

b. Pengambilan diet dengan kalori terlalu rendah (< 1200 kkal/hari)

c. Warga tua yang tidak makan seperti yang disarankan kerana tiada selera
atau susah untuk makan.

d. Pengamal vegetarian yang tidak mengambil produk haiwan.

e. Tidak boleh mengambil susu, yogurt atau keju dalam diet harian - alahan
makanan.

f. Menghidap penyakit tertentu yang menghadkan pengambilan makanan.

g. Wanita dalam lingkungan umur melahirkan anak (child bearing age) yang
tidak mengambil cukup hidangan kumpulan makanan.
h. Wanita yang mengandung atau menyusukan anak.

8. Saranan pengambilan suplemen

a. Sekiranya anda mengambil makanan dari kesemua kumpulan makanan dan
dalam jumlah hidangan yang disarankan serta mempunyai gayahidup sihat,
anda tidak perlu mengambil suplemen.

- Nutrien yang diperlukan untuk kesihatan sepatutnya diambil daripada
diet harian.

b. Sekiranya anda mengambil suplemen diet, pilih produk yang tidak melebihi
100% nilai harian untuk vitamin dan mineral.

- Elakkan dari mengambil dalam dos yang tinggi.
- Pastikan bahawa suplemen diet tidak menggantikan pemilihan makanan
yang pelbagai dalam diet harian anda

c. BAGI PESAKIT KANSER yang menjalani atau selesai rawatan dan tidak boleh
makan dengan betul atau tiada selera makan, cuba ambil:
- Asid folik, B12, B6, D dan C sering dikaitkan dengan pengambilan
suboptimal semasa waktu ini.
- Sekiranya anda perlu mengambil suplemen diet, pilihlah suplemen diet yang
mengandungi 100% nilai saranan harian untuk asid folik, D, B12, B6,C.

d. BERHATI-HATI dalam memilih produk suplemen diet.
- Terdapat pelbagai bentuk, sumber dan potensi dalam produk suplemen diet.
- Dapatkan maklumat dari pakar perubatan sebelum mengambil sebarang produk
suplemen diet.

e. AMBIL suplemen diet secara konsisten.
- Tetapkan masa yang konsisten (sama) untuk mengambil suplemen diet. Contoh
pada waktu makan tengahari yang sama setiap hari.

f. PERTIMBANGKAN kesan semua nutrien dalam suplemen.
- Cegah keracunan semasa mengambil suplemen diet.

g. MAKLUMKAN kepada pakar perubatan.
- Beritahu doktor jika anda mengambil sebarang suplemen diet bagi mengelakkan
sebarang interaksi dengan rawatan yang dijalankan.

h. Suplemen diet dengan kepekatan (konsentrasi) yang tinggi tidak semestinya
baik.
- Risiko keracuan, interaksi dengan nutrien dan ubat serta kesan buruk untuk
kesihatan.
- Ekstrak yang digunakan dalam suplemen mungkin tidak dapat berfungsi dengan
dengan baik kerana nutrien atau bahan aktif lain (yang ada dalam makanan)
tidak ada dalam suplemen. Contoh: Ekstrak vitamin C dalam bentuk kapsul
mungkin mempunyai fungsi yang kurang jika dibandingkan dengan vitamin C
dalam buah.

i. BERITAHU doktor sekiranya berlaku kesan sampingan.
- Beritahu doktor dengan segera sekiranya ada kesan-kesan seperti sukar
bernafas, gatal-gatal dan kebas pada anggota badan.

j. SELALU mengutamakan keselamatan.
- Jangan sesekali menggantikan suplemen diet dengan ubat-ubatan yang telah
mendapat arahan doktor atau terapi rawatan.

k. FIKIR dengan baik tentang maklumat suplemen diet yang diperolehi.
- Berwaspada dengan perakuan seperti "Bertindak dengan cepat" kerana ini
bertentangan dengan kajian secara saintifik dan panduan diet.

l. BELAJAR untuk mengesan parakuan palsu.
Contoh: - Cepat dan berkesan "menyembuhkan semua penyakit"
- Boleh merawat atau mengubati penyakit.
- "Selamat sepenuhnya", "Semulajadi", dan "tiada sebarang kesan
sampingan"
- "Jaminan pulangan wang semula" atau memerlukan pembayaran
pendahuluan

m. LEBIH tidak semestinya lebih baik.
- Sesetengah produk boleh mendatangkan mudarat sekiranya diambil dalam
kuantiti yang banyak, dalam tempoh masa yang lama, atau gabungan
kedua-duanya.
- Terdapat bukti kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan dos
suplemen diet yang tinggi atau berlebihan boleh meningkatkan risiko
kanser.

n. "SEMULAJADI" tidak semestinya selamat.
- Jangan menganggap perkataan semulajadi dapat memastikan kebaikan atau
keselamatan mengambil sesuatu produk.
- Kandungan "semulajadi" mungkin bertindak-balas dengan ubat, merbahaya
bagi individu yang mengalami masalah kesihatan atau merbahaya sekiranya
dalam dos yang tinggi.

o. ADAKAH produk yang dibeli berbaloi dengan harga yang dibayar?
- Perlu menahan diri daripada membeli produk atau rawatan "secara segera".
SESETENGAH produk suplemen diet adalah mahal tetapi tidak mendatangkan
kesan baik seperti yang diharapkan.

p. PENGAMBILAN diet yang tinggi dengan sayur, buah dan makanan berasaskan
tumbuhan dapat mengurangkan risiko serta ulang semula sesetengah jenis
kanser.
- TIADA BUKTI yang kukuh pada masa ini untuk menyokong suplemen diet
boleh memberi kesan yang sama.

q. PENGAMBILAN suplemen antioksidan dalam dos yang tinggi semasa kemoterapi
atau radioterapi tidak digalakkan kerana ia mungkin akan mengganggu
keberkesanan rawatan.
- Digalakkan mengambil antioksidan (Beta Carotene, C, E) dari makanan dan
bukan suplemen.
- Sekiranya mengambil suplemen diet yang mempunyai aktiviti antioksidan,
pastikan jumlah tidak melebihi 100% saranan harian.

r. FITOKIMIA adalah bahan aktif dalam tumbuhan yang mempunyai kesan positif
ke atas kesihatan.
- Tiada bukti kukuh yang menunjukkan fitokimia dalam bentuk suplemen
diet mempunyai kesan yang sama dengan sayur, buah, kekacang dan bijirin
ke atas kanser.
- Contoh: - makanan berasaakan soya mempunyai fitokimia (fitoestrogen)
yang boleh mencegah kanser tetapi suplemen diet soya
(isoflavon, serbuk soya) tidak digalakkan untuk pesakit
kanser payudara (terutama ER positif)
- Bagi pesakit kanser payudara yang mahu memasukkan soya dalam diet,
dua(2) hidangan tempeh, tofu, susu soya, tauhu, kacang soya adalah cukup.


9. Kesimpulan

- Pengambilan suplemen diet adalah digalakkan sekiranya pengambilan
makanan anda adalah terhad.
- Sekiranya anda mengambil suplemen diet, anda masih perlu mempunyai diet
dan gayahidup sihat.
- Dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar kesihatan bagi memastikan
suplemen tidak mendatangkan KEMUDARATAN.

Buat renungan bersama. Pemilihan adalah di tangan anda. Buatlah pilihan yang terbaik agar kita tidak menyesal di kemudian hari kelak. Makan makanan segar/asli dari kesemua kumpulan makanan (piramid makanan) dan dalam jumlah hidangan yang disarankan kerana ia membawa impak/kesan yang tidak sama dengan pengambilan suplemen diet. Fikir-fikirkanlah tapi jangan lama-lama..........

No comments:

Post a Comment