Sunday, May 10, 2009

Hari Ibu Tidak Bermusim


Hari Ibu

Hari ini hari ibu iaitu hari merai dan mengingati jasa ibu. TV dan majallah bulan mei sibuk memuatkan cerita tentang jasa ibu. Dari semalam lagi saya telah mendapat kad,sms dan ucapan personally dari anak dan rakan-rakan dari jauh dan dekat.Perasaan sayu tiba-tiba muncul kerana teringatkan arwah ibu saya yang telah kembali ke rahmatullah.Teringat saya pada satu malam dalam tahun 1992 pada masa itu kami tinggal di Ipoh, Perak. Saya telah menalipon kakak menanyakan khabar berita tentang ibu yang tinggal dengannya. Selepas berbual-bual, lantas kakak saya tanya nak bercakap tak dengan ibu yang ada duduk didepannya? Saya kata tak perlulah hanya kirim salam aje padanya memandangkan ibu saya yang telah berumur lebih 70tahun ada masalah pendengaran.

Pada keesokan harinya, saya telah mendapat panggilan talipon memaklumkan bahawa ibu saya telah meninggal dunia. Apa lagi, saya sungguh kesal kerana tak bercakap dengan ibu pada malam semalam. Hati saya semakin sebak dan air mata penyesalan tak henti-henti keluar. Sesal kerana tidak bercakap dengan ibu yang telah banyak berkorban untuk saya. Terdengar-dengar di telinga saya kata-kata ibu, "Dalam banyak-banyak anak,emak selalu doa lebih untuk okid(nama timangan saya)".Lagi saya rasa bersalah. Dunia ini rasa macam kosong dan tidak ada ertinya lagi.Wanita yang paling berharga dan berjasa kepada saya sudah pergi buat selama-lamanya. Kami bersiap-siap dan terus balik. Alhamdulillah kami sempat berjumpa dan mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan.

Wanita ini sangat istimewa dan mungkin atas keistimewaannya inilah beliau senang menghembus nafas terakhirnya. Beliau tidak banyak bercakap,solat dan baca yaasin tak tinggal dan sangat suka pada bulan ramadan kerana dapat menunaikan solat terawih;kerap ke surau mengikuti kelas-kelas agama, suka bersedekah,tidak suka mengumpat dan tidak suka mendengar umpatan,pandai dan sedap masakannya(kakak sulong ikut air tangan ibu)dan jika ada orang mengata dia pun, ibu hanya balas dengan senyuman. Masakan istimewanya banyak tapi yang saya tidak boleh lupa adalah roti canai siput. Setiap kali pagi hari raya kedua sudah pasti beliau dibantu ibu saudara yang tinggal bersama akan menjamu kami semua dengan roti canai dan kari ayam. Hampir setiap tahun saya volunteer untuk beraya di kampong suami dulu dan selepas itu barulah balik ke rumah ibu saya. Maklumlah, sehari sebelum raya banyak tugas didapor yang perlu dibereskan bersama mertua. Rasa macam dah tunai tanggungjawab pada mertua dan dengan itu dapatlah enjoy adik-beradik dan duduk lama sikit di rumah ibu saya.

Lama juga saya bersedih dan menyesal atas apa yang berlaku seperti pepatah melayu, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Dengan izin allah saya teringat pada satu peristiwa yang dapat sedikit mengubat hati saya. Saya terkenang pada peristiwa dua urat gelang emas kangkong(fesyen waktu itu). Pada hari raya sebelum kematian ibu, saya telah membeli gelang emas tersebut. Maklumlah nak sambut hari raya konon. Semasa balik kampong dan duduk berbual dengan ibu, beliau telah membelek-belek gelang tersebut ditangan saya.Saya pun menanya ibu,"suka ke gelang ni? Beliau menganggukkan kepalanya tanda suka. Serta merta saya melucutkan gelang tersebut dan menyarungkan pada tangannya. Apa lagi, sambil tersenyum beliau pun memeluk dan mencium saya.Saya rasa satu kepuasan kerana dapat mengembirakan beliau. Apalah sangat erti gelang tersebut jika dibandingkan dengan penat lelah ibu membesar dan mendidik saya.

Teringat saya pada seorang sahabat yang tinggal di Johor Bahru, sanggup ambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ibunya yang mengidap sakit kanser di Kuala Lumpur. Saya sendiri melihat bagaimana sahabat ini menjaga dan melayan ibunya yang sedang dalam kesakitan.Beliau menyediakan pembantu dan keperluan lain seperti pampers, panty liner,pencuci harum, powder dll supaya ibunya selesa dan berbau wangi kerana ibunya yang saya kenali memang pembersih orangnya.Saya betul-betul tabik sahabat ini dan juga pada suaminya yang very understanding yang telah mengizin dan bersama-sama turut membantu menjaga mertuanya dan anak mereka.Semoga allah membalas budi baik mereka.

Kepada ibu bertuah ini yang saya baru kenali, bahagialah kamu kerana mempunyai anak-anak yang sanggup berkorban untukmu dengan berhenti belajar dan bekerja di UKM (bertugas sebagai kerani dan saya kata kepada ibu ini bahawa tugas kerani murni juga, tengoklah tanpa mereka kelam kabut fail-fail di pejabat),seorang lagi sebagai pembantu chef untuk menampung keperluanmu yang sedang sakit kanser dan seorang lagi berhenti belajar untuk menjaga dan membawa kamu ke hospital untuk rawatan. Semasa saya ziarah kawan ini dirumahnya, beliau juga menjaga ibunya yang sudah tua yang sedang terbaring di sofa. Semoga allah merahmati kamu dan memberi ganjaran yang terbaik buat anak-anakmu.

Pada sesiapa yang membaca blog ini, nasihat saya, hargailah ibu mu dalam apa jua bentuk kerana tanpa ibu siapalah kita dan ingatlah shurga di bawah tapak kaki ibu. Tunjukkanlah penghargaanmu dengan hati yang ikhlas kerana tanpa keikhlasan perbuatan/perlakuan yang ditunjukkan akan menjadi kaku dan akan dirasai oleh ibu. Terpikat saya pada sebuah artikel "Aku dan tiga ibu" dalam majallah Anis yang saya baca, menceritakan tentang pengalaman cemas penulis semasa ibu, isteri dan anak beliau hendak bersalin. Kata-kata penulis yang saya catitkan bersama ini betul-betul mencuit hati saya;

"...Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa- pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakannya...kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya..."

"...Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan mengeluarkan segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu 'ijazah' yang melayakkan seorang ibu mendapat ketaatan tiga kali ganda berbanding ayah."

Seperti kata suami saya, hari ibu bukanlah bermusim tapi setiap hari adalah hari ibu. 'Raikan' mereka pada setiap hari. Hampir setiap waktu selepas solat saya menadah tangan dan berdoa kepada allah supaya mencucuri rahmat pada roh ibu, ibu mertua dan ibu-ibu yang telah banyak menabur budi dan jasa kepada saya. insyaallah. Bagi ibu-ibu terutama rakan pesakit kanser yang saya kenali, Selamat Hari Ibu semoga allah akan makbulkan hajat-hajat ibu-ibu semua.Insyaallah.

Untuk renungan bersama, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya,

"Ujian yang tidak henti-hentinya menimpa kaum mukmin,yang menimpa dirinya, hartanya, anaknya, akan tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.(HR. Tarmizi)

No comments:

Post a Comment