Pray for Forgiveness
Mohon Pada Allah
Assalamualaikum Puan H. Ingatan kami warga BPP, HQ tertumpu pada Puan. Pada sangkaan kami pembedahan puan dilakukan pada pagi ini. Oleh itu tepat jam 11.00 pagi hari ini tanggal 28 Februari kami warga BPP telah mengadakan bacaan yaassiin khas buat puan mendoakan supaya pembedahan berjalan lancar dan berjaya serta cepat sembuh dan sihat. Kami semua kirimkan semangat tabah untuk puan harungi dugaan ini dengan tenang dan sentiasa mengingati Allah. Selepas tamat bacaan yaassiin, saya terus menalipon suami puan H menanyakan tentang puan. Rupa-rupanya pembedahan akan diadakan pada petang ini, jam 5 petang. Alhamdulillah kami dah pun berdoa kepada Allah memudahkan semua urusan yang akan dilalui oleh puan pada petang ini.
Allah tempat kita memohon dan insyaallah semuanya akan berjalan lancar dan berjaya.
Semalam ada warga BPP yang hendak menziarah puan tetapi saya memberi pandangan supaya kami melawat puan selepas pembedahan nanti. Maklumlah mungkin puan mahu dikelilingi oleh ahli keluarga dan berasa lebih selesa dengan mereka. Kadang-kadang bila ramai datang menziarah sebelum pembedahan membuat kita lebih panik dengan cerita-cerita mereka yang menyeramkan. Pengalaman saya begitulah, lebih selesa didampingi oleh ahli keluarga.
Teringat saya pada kisah abang ipar saya Dato Is yang ada ketumbuhan/tumor di saluran penafasannya. Puas isteri dan anak-anak menasihatkan beliau supaya menjalani pembedahan tetapi dato tetap menolak kerana 50% chance berjaya. Akhirnya anak dato teringatkan saya dan mohon saya nasihatkannya dan alhamdulillah saya berjaya menukar fikirannya. Kata saya, Abang Is kena berjuang sebab hidup mati adalah kuasa Allah. Jangan lepaskan peluang 50% itu. Berjuang dulu disamping berdoa dan akhirnya Abang/Dato Is telah menjalani pembedahannya di Hospital Serdang pada tahun 2010. Alhamdulillah Abang Is sekarang yang umurnya hampir mencecah 70 tahun, sihat walafiat hingga ke hari ini dan menikmati hidup di samping keluarga yang tersayang. Setiap kali jika ada jemputan dari keluarga kami di Bangi, beliau pasti datang dari Melaka.
Kita perlu tawakal dan mohonlah kepada Allah. Hidup adalah satu perjalanan yang menuju kepada satu destinasi yang abadi. Dalam perjalanan ada onak dan duri seperti kata Shahnon Ahmad dalam novelnya "Ranjau Sepanjang Jalan" yang berwatakkan Lahuma dan Leha. Yang penting adalah bagaimana kita menghadapi dugaan dan menyelesaikannya. Tidak ada orang dalam dunia ini tidak diduga tetapi yang penting adalah kita berdepan dan melaluinya dengan mudah dan tenang.
Selagi kita masih bernafas,
Selagi kita dapat melihat bulan , bintang dan matahari,
Selagi kita dapat mencium wanginya bunga mawar,
Selagi kita dapat melihat rumput menghijau,
Selagi kita diberi nikmat boleh makan, minum dan...
Selagi itulah kita perlu mengisi kehidupan kita dengan cara yang dikehendaki oleh Allah. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua. Ameen
No comments:
Post a Comment