Monday, October 10, 2011

Senaman Qigong yang diingati


 mari amalkan

Qi Gong di China

Seperti biasa, pada setiap pagi hari sabtu jam 8.00 pagi bertempat di Taman Tasek Perdana, Bangi, Persatuan Kanser Network Negeri selangor dan Wilayah (KanWork) ada menyediakan seorang guru untuk mengajar dan membimbing senaman qigong kepada kanser survivors dan rakan-rakan yang ingin turut serta.

Pada pagi 9 Oktober 2011(Sabtu), selepas selesai mengurus tugas rumahtangga terutamanya menyedia sarapan pagi, saya terus memandu untuk menyertai senaman tersebut. Dalam perjalanan saya telah menerima panggilan telefon dari Prof. Maznah memohon saya membantu memberi motivasi kepada seorang pesakit kanser baru (kanser paru-paru) bernama Puan M yang dalam perjalanan dari Seremban ke tempat senaman kami. Saya bersetuju untuk membantu kerana peluang kedua yang Allah berikan kepada saya sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk membantu orang lain semoga Allah menjauhkan diri saya dari penyakit tersebut berulang lagi.

Sampai di Taman Tasek, kelihatan guru qigong dan beberapa orang survivors sudah ada menunggu dan sedang warming up. Saya pun memaklumkan tentang Puan M dan mohon sokongan dari mereka bagi membantu menaikkan semangat Pn. M. Lebih kurang pada jam 9.30 pagi, Pn. M muncul bersama suaminya. Kami berkenalan dan bersalaman dan dengan cucuran air mata Pn. M memulakan ceritanya. Menurut beliau baru dua hari doktor memaklumkan bahawa beliau mengidap sakit kanser paru-paru. Pn. M masih dalam peringkat shock dan masih belum dapat menerima berita tersebut kerana baru sahaja kembali bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi. Menurut beliau, selepas kembali dari Arab Saudi, beliau berasa sukar untuk bernafas dan pernafasannya seolah-olah tersekat-sekat/tidak lancar dan mudah penat. Andaian beliau mungkin beliau terdedah kepada pancaran X-Ray semasa merawat pesakit di Arab Saudi. Semasa bercakap dengan kami kelihatan Pn. M penat dan termengah-mengah/tidak lancar penafasannya. Saya memaklumkan bahawa memang kebanyakkan dari pesakit kanser tidak dapat menerima hakikat didatangi penyakit kanser di peringkat awal tetapi lama-kelamaan dengan bantuan/sokongan/nasihat kawan-kawan survivors akan dapat merubah pandangan pesakit itu.

Dalam keadaan begini pesakit perlu kuat, perlu sokongan keluarga, dengar ceramah-ceramah motivasi dan agama serta lebih dekatkan diri dengan Allah. Tidak ada seorang pun boleh mengubah pandangan pesakit tentang sakit ini kecuali diri sendiri. Pujuklah diri sendiri untuk menerima hakikat dihinggapi penyakit ini dan kemudiannya terus ikhtiar dan berusaha untuk mencari penawarnya. Realitinya kita kena menerima dugaan ini dan terus cari ubat atau berubat. Hidup mati adalah kehendak Allah. Orang sihat pun boleh mati. Tidak semestinya orang sakit akan mati. Teringat saya kepada kawan saya yang mengidap sakit kanser rahim. Beliau yang sakit dan masih menerima rawatan di HUKM tetapi suaminya yang kelihatan sihat telah kembali ke rahmatullah kerana sakit jantong. Oleh itu, selagi kita hidup, kita perlu berusaha untuk berubat supaya cepat pulih dan sihat. Ingat, bahawa tidak ada sesiapa boleh pujuk diri pesakit kecuali pesakit itu sendiri. Berdoalah semoga diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Semangat perlu kuat kerana hidup perlu diteruskan selagi kita bernafas. Jika pesakit give up, yang merana nanti adalah pesakit itu sendiri dan tempiasnya adalah pada orang-orang terdekat dengannya. Fikir dan renung-renungkanlah sebelum nasi menjadi bubur.

Perbualan diteruskan dan kali ini berkisar kepada topik pemakanan. Menurut Pn. M, beliau memang suka meminum susu pada setiap hari dan akhir-akhir ini terasa sakit beliau semakin bertambah. Dr. Abdullah salah seorang survivor colon cancer dan juga merupakan rakan senaman kami pada setiap minggu, menasihatkan supaya Pn. M berhenti mengambil susu dan produknya. Mengikut pengalaman beliau dan diet yang diamalkan, makanlah banyak sayuran organik atau sayuran kurang kandungan kimia, kurangkan makanan berminyak dan bergula, makan ikan bersisek, banyak minum air dan jus asli buah-buahan.(buat/blend sendiri) dan buat senaman untuk mendapat lebih oksigen.

Guru qigong turut memberi tunjukajar kepada Pn. M cara pernafasan supaya badan beliau dapat banyak oksigen kerana kekurangan oksigen dalam badan boleh menyebabkan sel kanser cepat merebak.

Memandangkan matahari semakin tinggi dan masing-masing ada urusan lain, saya menjemput Pn. M ke rumah untuk mengambil dan mencuba makan daun pokok duri tujuh dan meminum air rebusan daun pecah kaca. Tidak ada guarantee akan baik serta merta tetapi apa salahnya kita mencuba sebelum meneruskan dengan rawatan intensif di hospital. Didoakan semoga Allah memberi kekuatan kepada Puan M untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya sihat semula.

No comments:

Post a Comment