Dalam perjumpaan yang lalu, saya telah diamanahkan oleh presiden Persatuan Kanser Selangor/Wilayah Persekutuan (KanWork)Prof. Maznah untuk mencari duit bagi mengisi tabung Kanwork supaya aktiviti persatuan sukarela ini dapat berjalan dengan lancar. Persatuan ini boleh dikatakan lebih 99 peratus ahlinya terdiri dari orang melayu islam. Oleh itu dana perlu dicari mengikut garis panduan agama kita.
Walaubagaimanapun saya perlu memikirkan cara untuk mendapat wang untuk mengisi dana persatuan ini bagi membolehkan aktiviti persatuan ini seperti berikut dapat berjalan dengan mudah dan lancar.
Aktiviti Pertama: Kumpulan sokongan (support group)
Kumpulan yang dikendalikan untuk pengidap kanser
untuk berbual, berkongsi pengalaman dan membantu antara satu sama
lain.
Aktiviti Kedua: Lawatan ke wad:
Melawat pesakit kanser yang akan menjalani pembedahan dan/atau
yang telah menjalani pembedahan di hospital.
Aktiviti Ketiga: Pendidikan komuniti:
Pengamal perubatan, golongan profesional dan kanser survivors
berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka tentang perkara-
perkara yang berkaitan dengan kanser bersama ahli-ahli komuniti.
Aktiviti Keempat: Jaringan rakan sebaya.
Jaringan sokongan telefon rakan sebaya akan membantu pemanggil dengan berkongsi pengalaman mereka sendiri berkenaan rawatan, pengamal perubatan, sokongan ahli keluarga dan pelbagai situasi khusus berkenaan kanser.
Aktiviti Kelima: Sokongan Jaringan e-group.
Satu kemudahan e-mail untuk memudahkan komunikasi di kalangan ahli-ahli. Aktiviti ini juga merupakan satu program pendidikan untuk meluaskan pengetahuan IT di kalangan ahli-ahli kumpulan.
Aktiviti Keenam: Aktiviti riadah dan sosial:
Persatuan ini menyediakan guru mengajar Qigong/'Wai Ta Qung'/Aerobic. Sebagai contoh: Senaman Qigong ini diadakan setiap pagi hari Sabtu di Taman Tasek, Bandar Baru Bangi di bawah bimbingan seorang guru berbangsa Tionghua yang berpengalaman.
KanWork juga mengadakan perjumpaan-perjumpaan sosial seperti jamuan hari raya, ceramah bulan ramadan, ceramah-ceramah/ bengkel motivasi/agama bulanan, lawatan sambil belajar dan lain-lain lagi.
Aktiviti Ketujuh: Pusat Sumber kanser:
Pusat yang memuatkan koleksi bahan pendidikan kanser untuk rujukan pesakit dan orang awam di CaRE (Resource CTR for Edu. & Comm. On Cancer - Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, UPM, Next to Hospital Serdang) dan di Hospital Putrajaya. Aktiviti perkhidmatan sokongan untuk pesakit kanser juga dijalankan di sini.
Aktiviti Kelapan: Program sukarelawan:
Sukarelawan dialu-alukan untuk menjalankan aktiviti pentadbiran, perkhidmatan sokongan, 'outreach', acara dan lain-lain peluang. Sehingga hari ini KanWork dapat sokongan dari sukarelawan yang bukan pesakit kanser tetapi masih tidak mencukupi dan masih memerlukan lagi sukarelawan/wati.
Dalam pencarian tadi, kebetulan Pembantu Tadbir Kanan saya di pejabat Puan Zawiyah bte Ibrahim memaklumkan yang beliau telah tamat belajar dan akan menghadiri Majlis Konvokesyen UKM ke 39 pada bulan September 2011 ini. Dengan bantuan beliau, saya dapat berhubung dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pesta Konvokesyen UKM dan terus bergegas ke UKM memohon gerai untuk jualan amal bagi mengisi tabung KanWork. Saya mengisi borang permohonan gerai dan cuba mohon dikecualikan dari bayaran sewa sebanyak RM 1,800.00 bagi tempoh dari 22 hingga 27 September 2011. Maklumlah, persatuan ini bukan mencari untung tapi adalah untuk mengisi dana dengan menjual barangan terpakai yang diperolehi dari kawan-kawan pejabat/jiran/sahabat sejauh dari Melaka dan Johor Bahru.
Alhamdulillah, selepas AJK pesta bermesyuarat saya dimaklumkan bahawa persatuan kami mendapat gerai tersebut secara percuma. Saya mulalah membuat dan memasang posters memohon barangan terpakai yang masih boleh digunakan untuk jualan amal ini. Dengan izin Allah, ramai kawan-kawan menyumbang dan boleh dikatakan sebuah bilik di rumah saya penuh dengan barangan kiriman dari jauh dan dekat.
Tugas seterusnya ialah menyediakan jadual bertugas di gerai dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 malam, kerja-kerja 'sort out'/mengasingkan barangan, membeli beg plastik untuk jualan dan lain-lain tugas yang berkaitan. Maklumlah ini kali pertama persatuan ini buat jualan di pesta konvokesyen. Bagi saya tidak ada masalah sebab ia merupakan kali ketiga saya sekeluarga membuat jualan amal tapi sebelum ini jualan kami hanya untuk satu hari sahaja dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari.
Jadual bertugas di gerai, surat-menyurat dan penyertaan CaRE diuruskan oleh sukarelawan/ seorang pelajar PHD Universiti Putra Malaysia, Puan Marianna. Tanpa beliau dan suami yang sangat supportive mungkin tugas ini lebih sulit lagi sebab saya tidak ramai kenal petugas-petugas CaRE dan ahli-ahli KanWork.
Bukan mudah untuk mencari sukarelawan untuk menjual di gerai kami lebih-lebih lagi di bulan syawal ini yang penuh dengan jemputan rumah terbuka. Last minute ramai yang mohon keluar dari bertugas dengan memberi alasan masalah keluarga dan sebagainya. Tinggallah beberapa orang sahaja iaitu petugas CaRE, dua orang kanser survivors, saya sekeluarga (suami, anak dan menantu) dan mariana serta suami kerana anak-anak mereka masih kecil.
Saya terus berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan kami ini. Kebetulan saya dijemput dan menghadiri majlis baca yaasiin dan rumah terbuka di taman perumahan saya.Tiba-tiba dua orang wanita menghampiri saya bertanya berkenaan jualan amal tersebut. Seorang mohon untuk turut serta dalam jualan tersebut (menjual telekung) dan seorang lagi mohon menjadi sukarelawan. Alhamdulillah, kami sudah ada rakan kongsi dan rakan yang akan membantu menjaga gerai. Saya berbincang dengan setiausaha persatuan dan beliau bersetuju supaya kami ada rakan kongsi. Kami tidak meminta apa-apa kecuali sumbangan ikhlas hasil dari jualan barangan mereka. Di pejabat pula, dua orang rakan datang berjumpa saya mohon untuk turut serta dengan menjual minyak wangi dan tupperware.
Tibalah hari yang ditunggu-tunggu iaitu 22 september 2011. Kami sekeluarga dan Puan Mariana pergi ke gerai untuk membuat persiapan. Pehak penganjur memaklumkan hanya menyediakan sebuah meja dan dua buah kerusi sahaja. Mahu tak mahu terpaksalah kami mohon untuk menyewa empat buah meja, sepuluh buah kerusi dan satu kanvas untuk tutup gerai diwaktu malam. Selepas saya buat rayuan, kami dapat peralatan tersebut secara percuma juga. Terima kasih AJK Pesta Konvo UKM. Semoga Allah merahmati anda semua dan dapat graduan cemerlang. Dengan bantuan rakan jualan kami yang menjual telekung, tupperware dan minyak wangi, jualan amal kami berjalan lancar dan mendapat ramai pengunjung. Bukan sahaja pengunjung datang membeli tetapi juga penjual-penjual gerai lain turut serta memeriahkan pembelian jualan kami.
Setiap hari saya berdoa agar cuaca membantu kami. Maklumlah akhir-akhir ini musim hujan. Cuaca panas untuk beberapa hari tetapi dua hari terakhir hujan lebat membasahi gerai kami. Alhamdulillah tidak banyak barangan kami kena hujan. Pada hari-hari seterusnya, sebelah pagi, suami saya akan membuka kanvas gerai dan menunggu sehingga petugas CaRE (memberi khidmat nasihat dan memberi risalah mengenai kanser) , survivors KanWork, tuanpunya telekung, tuanpunya tupperware dan tuanpunya minyak wangi datang. Pada sebelah malam suami saya, suami Marianna atau menantu saya akan tutup gerai. Begitulah setiap hari sehingga hari terakhir jualan amal kami di mana kami adakan jualan lelong. Jualan kami amat menggalakkan. Seronok menjual terutamanya pada sebelah malam kerana ramai pengunjung datang sehinggakan anak dan menantu yang mengambil alih tempat saya untuk meneruskan jualan terpaksa menutup lampu dulu sebelum menutup gerai pada jam 12.00 malam. Pada sebelah pagi pula sebelum kami buka gerai lagi sudah ada pekerja-pekerja pembersihan di UKM menunggu untuk membeli barangan kami. Alhamdulillah, dapatlah lagi kumpulkan lebih dari RM3,500.00 untuk dana KanWork. Itulah pengalaman kami dan insyaallah kami akan gunakan untuk teruskan jualan amal ini di Pesta Konvokesyen ke 35, Universiti Putra Malaysia pada 14 hingga 19 Oktober 2011.
Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang berikut kerana bermurah hati menyumbang barangan terpakai/baru yang masih cantik dan boleh digunakan oleh orang lain/pembeli-pembeli:
-Professor Maznah (survivor); Y.B. Dato Jalilah bte Mahdan; Pn. Hjjh Siti Zaleha bte Said (Melaka); Pn. Nor Aini bte Zabidi (Johor Bahru); Pn. Wan Hanisah (survivor); Pn. Asmah;Pn. Norlia bte Hashim; Pn. Norehan (survivor); Keluarga Hj. Talib ( Tmn. Desa Sentosa), Pn. Hjh Siti/Hj Karim & keluarga; Hjh Rokiah (survivor) dan Keluarga; Pn. Zawiyah bte Ibrahim; Pn. Mashitah; Pn Roshidah UKM (survivor); Pn. Fatimah; Pn. Siti Rahimah (biskut samprit) dan lain-lain penyumbang. Semoga Allah memberkati, merahmati dan menggandakan lagi rezeki kita semua. Insyaallah.
Terima kasih pada penyumbang tenaga berikut:
Pn. Marianna dan suami; Hj. Rokhani Mangi dan keluarga; Dr. Fakhrulzaman Rokhani dan isteri Dr. Samsuzana serta adiknya Dik Lah; Pn. Fatimah dan En Bidin (telekung); Pn. Mashitah dan Suami (Tupperware); En. Nordin dan pembantunya pn. Rozita (minyak wangi); Pn. Zuraidah (Tmn. Desa Sentosa, Teras Jernang); Dr. Faezah Rokhani serta suami Halian Adi Rizal Bin Halim; Pn. Shaznaz (kanser survivor), Hjh. Rokiah (kanser survivor); petugas CaRE dan lain-lain yang terlibat. Semoga Allah menerima amalan kita dan merahmati kita semua. Ameen.
Monday, October 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment