Salam Aidilfitri
Hari ini hari raya yang ke empat. Saya telah mula bertugas di pejabat. Seronoknya kerana jalan raya lenggang dan dapatlah saya sampai ke pejabat dengan cepat dan lancar. Selalunya 20 hingga 30 minit tapi hari ini tidak sampai pun 15 minit dah sampai pejabat. Best betul jika hari-hari macam ni.
Di pejabat pula hanya ada beberapa orang pegawai bukan islam yang terpaksa bekerja kerana rakan-rakan mereka yang beragama islam bercuti menyambut hari raya selepas sebulan berpuasa di bulan ramadan. Tahun ini mereka bercuti lama sebab sekolah pun cuti. Tanggal 20 September baru pejabat mula penuh semula. Selalunya waktu begini saya mengambil kesempatan untuk berpuasa di bulan syawal sebab lepas ni banyak sangat sambutan hari raya rumah terbuka.
Di hari yang mulia ini teringat saya kepada beberapa orang rakan survivor yang saya hubungi sebelum menyambut hari raya. Kasihan dan sedih bila di beritahu yang penyakit kanser mereka datang semula. Ada yang recur kali ketiga dan ada kali kedua dan ada pula kansernya telah merebak ke organ lain. Seorang rakan survivor talipon saya baru-baru ini memaklumkan bahawa sakit beliau semakin teruk selepas jatuh dalam tandas. Sekarang sukar untuk berjalan dan berada dalam kemurungan. Beliau telah pun berjumpa dengan doktor pakar di HUKM untuk rawatan.Ini merupakan satu tindakan yang baik. Jika sakit, cepat-cepatlah jumpa doktor.Jadikan doktor sebagai rakan untuk berbincang dan hospital sebagai tempat untuk berlindung.
Saya mendoakan agar mereka semua tabah menghadapi dugaan dan mohonlah kepada Allah agar diringankan bebanan sakit dan mohonlah agar cepat sembuh.Semua dugaan datang dari Allah kerana kita adalah makhluk ciptaan yang Maha Esa. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, mohonlah dan insyaallah akan dimakbulkan. Kata orang cakap memang mudah tapi yang menanggung tu alahai siksanya. Nak buat macam mana lagi sebab semuanya adalah dugaan dari Allah. Mahu tak mahu kita kena redho.
Saya bercakap sebab saya pun mengalaminya. Dalam pertengahan bulan ramadan saya telah dimasukkan ke hospital swasta sebab mengidap demam denggi. Lebih kurang 30 botol air dimasukkan selama beberapa hari di wad. Bukan masuk air sahaja tapi satu hari dua kali di ambil darah untuk diperiksa khususnya pemeriksaan ke atas platelet darah dan sel darah putih. Tak dapat puasa 9 hari sebab dalam rawatan. Doktor merawat saya dengan rapi kerana memandangkan saya adalah kanser survivor. Terima kasih kepada suami yang tunggu saya di wad, anak, menantu dan saudara mara yang memberi sokongan dan berdoa agar saya cepat sembuh.
Bagi orang yang belum kena sakit demam denggi, jagalah agar nyamok tu tidak membiak di rumah dan menyusahkan hidup kita. Jika batuk, selsema dan kena demam panas yang mana badan menggigil(badan panas tapi kaki tangan sejuk dan rasa seram sejuk) dan demam tu sekejap ada dan sekejap tak ada, cepat-cepatlah pergi jumpa doktor sebelum ianya terlambat. Rawatlah sebelum parah kerana demam denggi boleh bawa maut.
Istimewa untuk rakan-rakan survivor yang lain yang masih sihat, mereka perlu berwaspada dan perlu banyak berdoa dan bersyukur kepada Allah atas nikmat kesihatan yang dipinjamkan sekejap ini. Beringatlah sewaktu makan pada hari raya ini agar jangan terlebih makan yang akan memudaratkan diri sendiri juga.
Bagi rakan-rakan yang masih sihat perlu juga jaga pemakanan agar tidak sakit di kemudian hari kelak. Kesihatan amat berharga. Kita akan tahu betapa mahal harganya bila kita sudah sakit. Jagalah kesihatan belum terlambat. Semoga Allah memberi kita kesihatan terbaik sehingga akhir hayat. Insyallah. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Dzahir Batin.
No comments:
Post a Comment