Allahyarhamah Hjh Ramlah semasa rawatan di IJN |
Pada tahun 2004, kami sekeluarga berhijrah ke Putrajaya. Pada masa yang sama, suami saya mencari tanah dan Alhamdulillah kami dapat membeli tanah di Tmn. Desa Sentosa. Bersyukur bukan sahaja dapat membeli tanah tersebut untuk kediaman kami tetapi juga mendapat jiran yang sangat baik budi pekerti mereka.
Hjh. Ramlah (HR) isteri kepada Hj. Talib (HT) bukan sahaja seorang jiran tetapi seperti kakak kepada kami. Seorang wanita yang lemah lembut dan sentiasa bersedia untuk mendengar dan membantu kami sekeluarga. Seronoknya ialah bagaimana HR berjaya mendidek ke enam-enam anak mereka hingga kesemuanya berjaya menjejak kaki ke menara gading/universiti. Bukan itu sahaja, tetapi anak, menantu dan cucu beliau semuanya berbudi bahasa dan sentiasa bersatu hati didalam aktiviti yang keluarga mereka adakan. Suka kami melihat kesepakatan diantara mereka terjalin dan riuh rendah bila mereka berkumpul di hujung minggu. Masakan mereka jangan kira, sebab insyaalah makanan akan sampai ke rumah kami. Paling sedap adalah sambal jawa, rendang itik, sambal terung pipit hjh. Ramlah yang tiada tolok bandingnya.
Bertuah HR kerana disamping anak-anak yang berjaya, dua daripada cucunya sekarang sedang menuntut di sekolah Tahfiz, seorang lagi di sekolah pondok Kelantan. Suami hHR, Hj. Talib juga tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan sahabat karib, tempat rujukan dan mentor kepada suami saya. Setiap hari dengan menaiki motosikal HT akan solat berjemaah di surau atau masjid. Jika di taman kami ada kenduri beliaulah kendaratnya dengan sehelai tuala dibahunya memasak bersama-sama ahli taman yang lain. Jika ada kematian , Hj. Talib jugalah orangnya yang menghulurkan bantuan. Beliau merupakan specialist dalam menguruskan kubur di Tanah Perkuburan berdekatan dengan Taman kami. Dalam usia melebihi 70 tahun, beliau memang aktif dan masih menyumbang khidmat baktinya kepada masyarakat.
Bantuan yang dihulurkan kepada kami tidak pernah di minta balasan dari mula kami meminta bantuan untuk menjenguk tanah kami sebelum kami bina rumah lagi.Masih ingat lagi kata-kata haji Talib, "Jika nak beri duit sebagai upah, saya tidak mahu membantu" Tidak kira siang atau malam jiran kami ini bersedia untuk membantu kami. Ada ketika bila alarm rumah kami berbunyi, Haji talib lah orang pertama akan menalipon kami menanya kabar atau sudah tercegat di luar rumah kami untuk membantu.
Tarikh keramat iaitu tanggal 19 Julai 2013 kira-kira jam 8.30 malam, Hjh. Ramlah telah kembali ke rahmatullah di hospital Serdang, Selangor. Sebelum ini HR berada di Institut Jantung Negara kerana menjalani pembedahan. Selepas lebih kurang 40 hari di IJN, HR di pindahkan ke hospital serdang bagi memudahkan beliau untuk menjalani dialysis. Suami arwah HT cuba hubungi kami melalui handphone tetapi gagal kerana kami sedang menunaikan solat terawih di masjid Sungai Merab. Selepas solat terawih dalam pukul 10.30 malam. kami bergegas ke rumah arwah untuk mengemas dan membantu menyediakan tempat untuk menerima jenayah arwah HR. Kami anak beranak dan serta beberapa ahli keluarga HT sibuk mengeluarkan perabot, menyapu, mengemop lantai dan membentang tikar serta karpet. Pada masa itu lah ada pertanyaan yang dilontarkan kepada saya tentang lokasi meletak tilam untuk jenazah kerana pada masa itu saya adalah wanita paling senior disitu. Terperanjat saya dengan pertanyaan tersebut kerana menyedarkan saya bahawa saya dah tua dan dijadikan tempat untuk merujuk. Memang dah tua pun tetapi kadang-kadang lupa dek sibuk dengan aktiviti dunia. Dengan ilmu yang sedikit yang ada pada saya, "Kata saya, menghadap kiblatlah".Kami juga siapkan tempat untuk mandikan jenayah yang akan dilakukan pada pagi esok harinya.
Selepas siap tugas tersebut, suami meminta saya bertanya kepada salah seorang anak arwah tentang makanan sahur untuk keluarga mereka. Dalam keadaan terperanjat, celaru serta sedih kerana tidak menjangka bahawa ibunya secepat itu telah kembali ke rahmatullah,Yan menyerahkan hal tersebut kepada kami. Maklumlah, pengalaman saya , kehilangan seorang ibu umpama kehilangan segala-galanya didunia ini. Dunia ni macam kosong.
Saya dan anak perempuan minta izin untuk balik dan terus masuk ke dapur untuk memasak apa yang ada bagi meringankan beban jiran kami yang berada dalam kesedihan. Sementara itu, anak lelaki kami ke tanah perkuburan untuk membantu mengorek kubur kerana esok pagi jenazah akan dikebumikan. Suami pula sedang membantu di rumah HT kerana tahlil ringkas akan diadakan sejurus jenazah HR sampai kelak. Atas arahan suami, sambil memasak kami menyiapkan juga sedikit makanan di rumah kami untuk orang-orang yang menghadiri tahlil arwah.
Selepas menyediakan juadah untuk orang tahlil, saya kembali ke rumah HT untuk bacaan yaasiin sebab jenazah telah selamat sampai. Masuk aje rumah HT, saya berasa seronok apabila melihat jenazah dikelilingi oleh anak, menantu, cucu dan saudara mara mereka yang sedang membaca yaasiin. Yang menarik perhatian saya adalah cucu lelaki dan perempuan arwah, pelajar tahfiz sedang membaca yaasiin sambil badannya bergerak ke depan dan ke belakang. Bestnya ya Allah. Terbayang pula macam manalah agaknya saya nanti jika terbujur kaku di ruang tamu? Ramai ke yang akan membaca yaasiin untuk saya? Entahlah.........Marilah kita sedekah Al-Fatihah dan doakan semoga roh HR dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Ameen
Alhamdulillah, jam 3.00 pagi kami mula menghidang makanan dan menjemput ahli keluarga arwah yang datang secara bergilir-gilir untuk bersahur. Saya sarankan supaya mereka makan banyak sikit sebab esok pagi banyak lagi urusan dan tugas pengkebumian yang akan dijalankan. Jam 5.00 pagi saya mohon suami dan anak lelaki menunggu tetamu bersahur kerana kepala saya dah mula berpusing. Sempatlah rehat sekejap sebelum menunaikan solat subuh.
Pada pagi tanggal 20 Julai 2013, jenazah HR yang dikasihi dimandikan, dikapan dan disolatkan di rumah arwah sendiri. Lazimnya di taman kami, jenazah akan disembahyangkan di surau kami tetapi kali ini atas permintaan keluarga HT, jenazah disembahyangkan di ruang tamu rumah HT. Lebih kurang jam 9.00 pagi, jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk diasemadikan buat selamanya. Bertuahnya kerana HR meninggal dalam bulan Ramadan dan upacara pengkebumian juga berjalan dengan lancar dan mudah serta diiringi dengan cuaca yang baik. Selepas HR dikebumikan, Ustaz meneruskan dengan bacaan Talkin. Tanpa disedari meleleh airmata keluar kerana bacaan talkin itu sungguh menusuk ke sanubari saya.
Sesungguhnya bacaan talkin tersebut menyedar dan menginsafkan saya kerana akhirnya kita semua akan ke situ juga. Terdetik dalam hati ini, bila pula giliran saya agaknya untuk ditempatkan di dalam Tanah Perkuburan Islam, Teras Jernang ini? Hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Kita merancang tapi Allah SWT yang menentukannya.
Keluarga Bahagia Hj. Talib(T-Shirt Putih)/Arwah Hjh. Ramlah |