Wednesday, May 16, 2012

Ubat Moden Versus Ubat Tradisional

Pada pagi sabtu  10 Mac lalu, kami menonton TV9, Program Nasi Lemak Kopi O sambil saya, suami dan cucu menikmati sarapan pagi. Seronok dan excited betul kerana dapat melihat semula pelakon veteran yang cantik dan sangat terkenal pada suatu ketika dulu dalam lakonan-lakonannya bersama seniman allahyarham Tan Sri P. Ramli. Alhamdulillah pelakon ini masih cantik dan menawan walaupun telah mencecah umur 70 tahun. Apa yang menarik tentang wawancara ini ialah tentang pengalaman pelakon yang mengidap penyakit kanser lidah (tahap awal). Menurut pelakon ini, tanda-tanda awal yang dialaminya adalah lidahnya keras, mata kabur dan kaki sukar untuk bergerak. Penyakit beliau berjaya dikawal/pulih (dengan izin Allah) kerana mengambil ubat tradisional. Alhamdulillah.

Mengikut maklumat dari kawan-kawan saya, bukan semua orang yang mengambil ubat tradisional berjaya dalam memerangi penyakit kanser. Ramai yang tewas kerana mungkin jenis sel kanser yang ada dalam tubuh mereka tidak serasi dan sesuai dengan ubat tersebut. Jangan taksub dengan ubat-ubat tradisional tertentu. Pengalaman saya dulu, saya berubat dengan orang kampong/tradisional, ambil ubat homeopati, jumpa ustaz dan diberi air penawar, tetapi nampaknya tidak serasi dan akhirnya ke hospital juga.

Saya pernah menyuarakan pandangan saya tentang ubat tradisional kepada doktor yang merawat saya dulu tetapi  menurut doktor onkologi saya, ubat-ubatan di hospital telah di buat ujian dan kajian dan ada dosagenya untuk diambil sedangkan ubat tradisional adalah berdasarkan pengalaman sahaja.  Teringat saya pada seorang rakan saya di Ipoh, Perak yang survive kanser lebih dari 20 tahun dengan mengamalkan ubatan tradisional. Tetapi mampukah kita ikut macam dia kerana beliau kuat pantang. Sebagai  contoh beliau tidak makan nasi selama 9 bulan, tidak ambil gula, belacan, perasa, dan macam-macam lagi pantang larangnya dan hanya makan sayur brokoli sahaja setiap hari. Sanggup kah kita? Seorang kawan saya lagi iaitu mendiang Mr. Tan yang masih muda (40han) oleh kerana hendak sangat sihat, beliau menjalani rawatan di hospital dan juga dalam masa yang sama mengambil ubat tradisional cina tetapi akhirnya tewas juga.
Fikir-fikirkanlah, sebab apabila orang dengar kita sakit kanser, ramai yang datang suruh kita beli ubat itu dan ini, nasihat itu dan ini, dengar boleh tapi buatlah  keputusan yang bersandarkan maklumat yang tepat dan fakta yang sahih.  Di samping beriktiar  ke sana sini, dalam negeri, luar negeri, jangan lupa mohon pada Allah.

Walau apa pun , yang penting apabila Allah duga kita dengan penyakit,  take it positively dan seterusnya perlulah kita berusaha dan beriktiar untuk berubat dan jangan pasrah sahaja. Insyaallah

Antara pokok herba penawar kanser:-

Pokok Herba - Sabah Snake Grass / Pokok Belalai Gajah

Pokok Tujuh Jarum - Pereskia Saecnarosa (Chi Sing Zern)



Pokok Pecah Kaca


The Singing Uztaz


Betapa gembiranya saya apabila disekeliling saya sibuk dengan orang-orang yang mendengar ceramah dari ustaz-ustaz yang tumbuh bagaikan cendawan selepas musim hujan. Di TV ada, di radio ada dan di mana-mana masjid pun ada. Hendak atau tidak aje.  Di rumah, pagi-pagi lagi se awal jam 6 pagi TV kita akan menayangkan program yang dikendalikan oleh ustaz. Pilihlah nak mendengar channel mana, asalkan kita mendengar untuk santapan rohani. Kata ustaz rohani kita pun perlu makan. Jika 40 hari tak mendengar bacaan Quran atau ke majlis ilmu, hati kita akan menjadi keras.
Pembantu rumah saya juga tidak ketinggalan kerana setiap pagi  akan mendengar program tanyalah ustaz di TV9. Seronok betul apabila kita dikelilingi oleh orang-orang yang mendengar ceramah-ceramah agama. Melalui pengalaman saya ustaz sekarang berbeza dengan zaman saya dulu. Dulu bila ustaz mula buka kitab, pendengar-pendengar dah mula menguap dan cari dinding untuk bersandar dan menyedapkan badan untuk lelap sebab ianya hanya sehala bukan interaktif,  tidak ada ruang untuk soal-jawab tapi hanya mendengar sahaja.
 Sekarang bagus kerana pendekatan yang digunakan oleh pendakwah mengikut trend dan selera penonton dan target group. Ada beberapa orang ustaz apabila membaca surah berlagukan ala hindustan, ada yang petik gitar sebelum berceramah, ada yang buat tazkirah di taman bunga , ada yang menyelam di laut, ada yang terbang di udara dan bermacam-macam lagi. Tepuk dada, tanya selera. Pilihlah, jangan tak pilih untuk mendengar atau menghadiri majlis ilmu. Sesungguhnya majlis ilmu adalah yang paling baik dari yang baik sebab dalam majlis ilmu Allah beri hidayah kepada orang yang menghadirinya. Ameen




Friday, May 4, 2012

Misi yang tidak kesampaian

Pada tanggal 21 April saya diarah bertugas di kaunter KanWork sebagai sukarelawan bagi memberi khidmat nasihat mengenai kanser kepada pengunjung yang datang sempena HEALTHY LIFESTYLE DAY 2012 di Universiti Putra Malaysia. Adalah beberapa orang datang tetapi yang menarik perhatian saya adalah pada seorang wanita muda, namanya Pn. Zai.Beliau mohon saya bantu ibunya yang telah disahkan oleh doktor mengidap kanser payudara. Masalahnya ialah ibu zai tidak mahu berubat dan dalam keadaan murung/depression. Doktor telah menasihatkan Zai samada ibunya dimasukkan ke wad sakit jiwa atau bawa balik ke rumah untuk dijaga sendiri. Zai mohon saya berjumpa dengan ibunya tetapi malangnya ibu zai tinggal di Ipoh, perak. Kebetulan pada minggu berikutnya ibu Zai di bawa balik ke kampungnya untuk berjumpa atuk/nenek di Batu Pahat, Johor.Mereka hendak atuk/nenek Zai menasihatkan ibu Zai tapi nampaknya tidak berjaya.
Pada 1hb. Mei, Zai maklumkan kepada saya yang ibunya berada di rumahnya di Kota Damansara dan mohon saya datang untuk bantu ibunya. Memandangkan Damansara dekat dengan rumah kawan saya Pn. Hjh Wan, juga seorang volunteers, saya talipon beliau dan mohon beliau bantu ibu Zai (Pn. Hami). Hjh wan bersetuju dan pada pagi itu juga beliau pergi ke rumah Zai untuk berkongsi pengalaman dengan Pn. Hami tetapi nampaknya tidak berjaya. Menurut Pn Hjh. Wan, Pn. Hami dalam keadaan baring di atas katil, tutup mata, genggam tangannya dan enggap bercakap. Apabila saya mendapat maklumat itu, saya mengambil keputusan untuk pergi cuba membantu Pn. Hami. Saya ambil daun duri tujuh dan daun pecah kaca yang saya tanam di tepi rumah saya untuk di bawa bersama. Hampir jam 2.30 petang saya yang ditemani oleh anak lelaki, menantu dan cucu sampai di rumah Zai. Saya mohon izin untuk berjumpa dengan Pn. Hami dan di bawa ke bilik tempat beliau berehat.
Pn Hami sedang berbaring di atas katil dan dalam perbualan kami beliau tidak sedikit pun bersuara tetapi hanya berhubung secara bahasa isyarat. Beliau sempat menunjukkan kepada saya benjolan yang ada pada payudara sebelah kirinya. Selama lebih 2 jam saya duduk bersama Pn Hami dan menasihatkan beliau supaya terima dugaan Allah dan pergi berubat sama ada di hospital atau secara tradisional tetapi beliau mesti berubat dan jangan putus asa. Kelihatan linangan air mata di kelopak mata Pn Hami tetapi beliau masih tidak bercakap. Saya pegang tangan beliau dan mohon beliau pertimbangkan untuk berubat awal demi untuk dirinya dan juga keluarga. Menurut seorang ustaz, sekiranya seseorang itu diduga dengan penyakit, orang itu mesti berubat dan tidak boleh serah kepada takdir sahaja.
Sebelum meninggalkan teratak Pn Zai, saya difahamkan oleh suami dan anak-anak Pn Hami bahawa kanser ini telah didiagnose oleh doktor pada bulan Januari 2012 tetapi beliau enggan berubat dan menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Menurut Pn Zai, ibunya rasa bersalah kerana menyusahkan anak-anak dan kerana beliau berkeadaan begitulah anak perempuannya tidak jadi bertunang dan banyak lagi kerisauan-kerisauan dalam diri Pn Hami sehingga keadaan murungnya bertambah teruk.
Berita terbaru saya terima dari Pn. Zai pada 10 Mei yang ibunya yang sekarang berada di Ipoh cuba meminum tinner cat tetapi dapat diselamatkan oleh anaknya..
Saya mohon pada para pembaca blog ini supaya mohon kepada Allah dan mendoakan supaya Pn Hami cepat sihat dan dapat menjalani rawatan dengan segera sebelum sel kanser tersebut merebak ke bahagian organ lain.
Kepada pembaca blog ini, jika berhadapan dengan ahli keluarga/kawan yang baru didiagnose mengidap kanser, jangan salah beri nasihat tetapi berilah nasihat yang betul dari maklumat yang tepat dan beri sokongan yang kuat supaya pesakit confident untuk menjalani rawatan. Bantulah mereka dan Allah akan membantu kita. Insyaallah

Healthy Lifestyle Day 2012