Menurut kata seorang ustaz, bulan ramadan adalah bulan allah. Belum tentu kita dapat menjalani ibadah di bulan ramadan pada tahun hadapan (Program Tanyalah Ustaz). Alhamdulillah, saya sekali lagi telah diberi peluang untuk menjalani ibadah di bulan ramadan pada tahun ini. Syukur, Puasa cukup dan solat terawih di masjid pun cukup kecuali satu malam sahaja kerana menyempurnakan undangan berbuka puasa di pejabat tempat saya berkerja. Tahun lepas, tak cukup sebab masuk hospital kerana di serang demam denggi. Mohon Allah menerima amalan tersebut dan dapat puasa mabrur. Apa yang saya daya adalah melaksanakan perintahnya dan selebihnya terserah kepada Allah semoga menerimanya.
Apa yang menarik ramadan tahun ini untuk dikongsikan bersama ialah tentang perubahan pembantu rumah (PR)anak saya. Setiap pagi beliau akan datang ke rumah saya untuk membantu mengemas rumah saya dan selepas itu akan bergegas kembali ke rumah anak saya (yang tinggal bersebelahan aje) untuk meneruskan tugasannya di sana. Beliau dari tanah seberang dan pernah berkahwin selama tujuh tahun dengan lelaki bukan penganut agama islam. Biasalah, nak kahwin masuk islam lepas tu tak tahulah... Selepas kematian suaminya, mulalah beliau berhijrah ke mari dan bekerja sebagai pembantu rumah kami dengan mendapat dua gaji sebab kerja di dua buah rumah. Selama berumahtangga, beliau tidak mengamalkan cara hidup islam sepenuhnya sebab terpaksa mengikut kehendak suami.
Apabila bekerja dengan kami tidaklah sukar untuk membentuk PR sebab beliau telah ada asas didikan agama dan pandai membaca Alquran. Mula bekerja, kami minta beliau memakai tudung dan menutup aurat. Alhamdulillah dan kami galakkan dengan membelikan dan menghadiahkan tudung-tudung mengikut warna citarasa beliau. Setakat hari ini, nampaknya pembantu rumah ini masih berbudi bahasa, amanah, menutup aurat dan tidak tinggal solat kerana setiap kali diingatkan waktu dan diminta mengerjakan solat sebelum membereskan kerja-kerja rumah.
Setiap pagi apabila beliau datang ke rumah untuk mengemas, saya pastikan beliau mengikuti program TV9, Tanyalah Ustaz. Apalah sangat satu jam off berbanding dengan ilmu agama yang beliau perolehi dan mudah-mudahan menggunakannya. Kadangkala masa menonton program tu beliau boleh buat kerja-kerja ringan seperti potong bawang,mop lantai depan TV dll. Pada waktu petang jika ada masa lapang pula saya minta PR menonton Program Mari Membaca Al Quran supaya momentum tu masih kekal.
Teringat saya semasa beliau akan mula berpuasa di bulan ramadan pada tahun lepas. Maklumlah setelah sekian lama PR meninggalkan puasa, katanya lima tahun tidak berpuasa. Saya minta PR berdoa kepada Allah mohon kekuatan dan memberi PR motivasi untuk lebih confident berpuasa. Saya beri galakan dengan mengurangkan tugasan beliau dan memastikan PR bangun sahur dan makan secukupnya supaya bertenaga sepanjang hari.Saya nasihatkan supaya PR bersedia dengan tuala basah untuk di lap di kepala atau letak di leher jika tidak tahan dengan cuaca panas. Alhamdulillah PR dapat menjalani ibadah puasa dan tinggal hanya enam hari kerana haid. Puasa yang tinggal tu pun saya pastikan di bayar/qadha balik selepas bulan ramadan tahun tersebut.
Alhamdulillah pada tahun ini pula PR hanya tinggal dua hari sahaja kerana haid di awal ramadan. Memandangkan Allah kurniakan kesihatan kepada saya tahun ini, PR juga saya bawa bersama-sama solat terawih di masjid tersebut. Hampir setiap hari saya bertanya kepada PR tentang ibadah puasa dan perkembangannya membaca Al-Quran. Dua hari sebelum menjelang syawal, saya bertanya dan memberi pilihan samada PR hendak balik bercuti di rumah kakaknya atau terus bersama kami untuk solat aidil fitri pada pagi satu syawal nanti. Terkejut saya apabila PR memilih untuk bersama-sama kami bagi menyempurnakan solat di pagi syawal.
Saya beryukur kerana bulan ramadan telah berjaya memadrasahkan/mendidik dan membentuk PR ke jalan Allah dan semoga amalan beliau berkekalan bukan hanya semasa bekerja dengan kami tetapi hendaknya sehingga ke akhir hayat beliau. Insyaallah