Wednesday, December 29, 2010

Hand Guard untuk mengelak lymphedema

perbezaan ketara akibat Lymphedema

Betapa gembiranya apabila saya dapat berita bahawa program bengkel menyediakan Manual prosidur-prosidur kerja dan SOP cawangan saya di langkawi telah diluluskan oleh pehak berwajib jabatan. Seronok rasanya dapat kembali aktif berbengkel di pusat latihan jabatan di sana. Maklumlah cuti sakit 2 tahun dalam rawatan dan dalam pemerhatian doktor setiap 3 minggu telah membataskan pergerakan saya. Dua tahun saya tidak menjejak kaki ke pulau itu.

Tanggal 12 Disember saya bersama rakan-rakan sekerja lain akan menaikki pesawat untuk ke Pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri itu. Teringat saya akan pesanan doktor tentang penjagaan rapi bagi mencegah lymphedema pada tangan kanan saya(kerana pembedahan di sebelah kanan) dalam apa jua situasi sama ada hendak berkebun, membuat kerja-kerja rumah ataupun hendak terbang di awan biru.

Atas pesanan tersebut, saya bergegas ke sebuah kedai yang menjual peralatan/pakaian dalam khas untuk pesakit kanser payudara di Hospital Putrajaya untuk membeli sehelai 'well fitted compression sleeve'. Harganya boleh tahan mahal tetapi sebagai kakitangan kerajaan bolehlah kita mohon tuntutan di atas pembelian tersebut. Compression sleeve ini hendaklah dipakai sebelum menaiki pesawat. Saya difahamkan bahawa, sekiranya penerbangan tersebut mengambil masa yang lama, perlu ada tambahan balutan(bandages) pada tangan/lengan (dari bahu hingga ke pergelangan tangan) berkaitan.

Lymphedema boleh berlaku samaada beberapa bulan, tahun atau melebihi 20 tahun selepas terapi kanser. Berikut saya perturunkan maklumat mengenai cara-cara mencegah lymphedema yang saya perolehi dari risalah National Lymphedema Network.

- Perlu ambil tahu dan ambil tindakan jika terdapat bengkak pada tangan,lengan, jari atau chest wall anda
-Jangan sekali-kali membenarkan suntikan atau mengambil darah dari tangan yang terlibat.
- Ambil tekanan darah (blood pressure) dari tangan yang tidak terlibat dengan pembedahan kanser.
- Pastikan tangan yang terlibat sentiasa bersih. Selepas mandi pastikan tangan,pelipat, lengan, jari kering dan di sapu dengan lotion.
-Jangan membawa barang berat pada tangan berkenaan dan jangan sekali-kali membawa handbeg pada bahu tangan terlibat
- Jangan pakai cincin atau gelang yang ketat pada jari dan tangan terlibat.
- Jauhi tangan anda dari suhu yang panas atau sejuk dan pastikan tidak kena matahari.
- Jauhi tangan anda dari terkena luka atau gigitan serangga.
- Guna sarung tangan jika hendak berkebun.
- Lakukan senaman (bincang dengan doktor anda dulu)seperti berjalan, berenang, aerobic yang ringan,berbasikal dll.
- Jaga berat badan anda dan ambil makanan seimbang.

Selamat menjaga kesihatan dan Mencegah Lebih Baik Dari Merawat.Walau apapun usaha kita, jangan lupa disertai dengan doa. Sesungguhnya setiap penyakit yang Allah beri pasti ada ubatnya.Insyallah

Daun Pecah Kaca (Strobilantes Crispus Plant)


Daun Pecah Kaca


Minggu lepas saya dengan suami memenuhi jemputan Walimatul urus jiran di taman perumahan kami yang diadakan di Taman Warisan, Putrajaya.Saya memang suka ke sana kerana terdapat perbagai species tumbuhan yang boleh kita lihat dan pelajari. Tumbuhan yang paling menarik minat saya pada hari tersebut adalah pokok daun pecah kaca atau nama saintifiknya adalah strobilantes crispus plant. Di Indonesia pokok ini dikenali dengan nama daun pecah beling dan di kalangan orang cina ia dikenali dengan nama Hei Miang Jiang Jun.

Saya sungguh gembira apabila melihat pokok tersebut yang di letak di tepi tangga premis tersebut. Lama saya hendak mencari nama pokok ini tetapi gagal. Asalnya, pokok ini dikirimkan oleh kawan anak saya kepada saya sebagai iktiar untuk mengubati sakit kanser yang saya alami pada tahun 2008. Mereka pun tidak tahu nama pokok ini tetapi katanya telah ada penyelidikan di buat ke atas daun ini di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kegunaannya adalah untuk mengubati sakit kanser, kencing manis, gigitan ular dan batu dalam buah pinggang.

Setelah mendapat tahu nama pokok tersebut saya pun cari maklumat dari internet dan sah bahawa daun pokok ini boleh direbus dan di minum sebagai usaha untuk mengubati atau mencegah kanser. Selain di rebus, daun pecah kaca ini boleh dikeringkan dan diminum macam minuman teh.

Saya telah mencuba dan saya dapati ia enak diminum kerana tidak ada apa-apa rasa yang pelik. Mungkin sedikit rasa seperti kita minum air cincau. Harapan saya pembaca blog ini bolehlah mencuba mencari pokok ini dan tanam dirumah. Pokok ini mudah hidup dan boleh di tanam dalam pasu sebagai hiasan. Amalkanlah meminum air daun pecah kaca ini sebagai iktiar untuk mencegah pelbagai jenis penyakit yang telah dinyatakan tadi terutamanya panyakit kanser yang paling digeruni oleh ramai orang. Selamat mencuba dan jangan lupa berdoa kepada yang Maha Esa agar segala usaha kita dimakbulkannya. Insyaallah